Pelaksanaan Undi 18 akan terus menghantui sesiapa pun yang menjadi kerajaan Malaysia.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN Johor, R. Yuneswaran, Rang
Undang-undang Undi 18 yang telah diluluskan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan
Negara dengan majoriti dua per tiga pada tahun 2019 perlu dilaksanakan seberapa
segera bagi memberikan hak kepada anak muda memilih pemimpin yang mereka
inginkan.
Katanya, tidak wajar Undi 18 tertangguh selepas 2 tahun dan tiada
satu pun usaha untuk merealisasikannya.
"Suruhanjaya Pilihan Raya pernah memberi garis masa untuk
merealisasi Undi 18 pada 1 Julai 2021, dengan menetapkan tempoh selama dua
tahun menyediakan infrastrukturnya bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Kini kita telah pun berada di bulan Ogos 2021, namun tiada
pelaksanaan sehingga hari ini. Adakah Kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri akan
melaksanakannya?" tanyanya dalam kenyataan.
Tegas Yuneswaran, kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini jelas
gagal melaksanakan Undi 18 dalam tempoh 17 bulan pemerintahan mereka.
Malah, katanya, bekas Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yasin juga
menggunakan Undi 18 sebagai tawaran politik dalam pengumuman beliau pada 13
Ogos lalu untuk mendapatkan sokongan pembangkang.
"Adakah Undi 18 menjadi bahan politik? Hak mengundi adalah
perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 119 di mana
perkara ini tidak boleh dipolitikkan sama sekali.
"Semalam 25 Ogos, Perdana Menteri mengadakan perjumpaan
bersama Pemimpin Pakatan Harapan demi kepentingan rakyat dan negara.
"Perjumpaan antara Perdana Menteri dan Pemimpin PH itu
menunjukan satu pendekataan yang progresif untuk membincang usaha-usaha untuk
menyelesaikan krisis pandemik dan ekonomi (yang seharusnya dilanjutkan kepada
Undi 18)," katanya.
Selain itu, Yuneswaran turut menyarankan kerajaan baharu untuk
memulakan langkah menggunakan sistem e-voting terutama ketika pandemik Covid 19
masih belum benar-benar dapat diatasi bagi pengundi berasa selamat mengundi
menerusi kaedah konvensional.
"Kerajaan harus mengkaji sistem undi secara dalam talian
(e-voting) untuk mengalakkan lebih ramai pengundi menyertai proses memilih
pemimpin melalui pilihan raya. Kita seharusnya mengadaptasi sistem e-voting
dalam norma baru. Hampir 30 negara telah mengamalkan sistem ini dan berjaya.
"Perdana Menteri perlu lebih terbuka dalam pelaksanaan Undi
18, tidak lagi memberi alasan untuk menangguhkan pelaksanaan dan
menunjukkan keikhlasan pentadbiran beliau terhadap suara anak-anak
muda dalam sistem demokrasi," katanya lagi.