ELOKLAH BERSARA BOLEH DUDUK DI FRANCE ....

 


Terkini! Nazri nak bersara dari politik?


Terkini! Nazri nak bersara dari politik?


Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang lantang mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, difahamkan sedang menimbang kemungkinan untuk bersara daripada dunia politik.

Perkara itu didedahkan oleh sumber Barisan Nasional (BN) yang rapat dengan beliau, kepada Sinar Premium pada Rabu.

Jelas sumber berkenaan, pertimbangan itu sedang dibuat Mohamed Nazri setelah pihaknya bersama rakan-rakan lain dalam UMNO berjaya menyempurnakan misi mengangkat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu.

Menurut sumber itu lagi, Mohamed Nazri turut terkesan dengan gerakan politik bagi menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berpandangan politik sebegini tidak seharusnya berlaku pada saat negara berdepan krisis pandemik Covid-19.

“Baru-baru ini, Cip Nazri (panggilan mesra Mohamed Nazri) sudah bayangkan hasrat bersara sepenuhnya daripada dunia politik setelah 40 tahun berkecimpung di dalamnya.

“Beliau menjelaskan tugasan dan misi politiknya sudah selesai setelah Ismail Sabri diangkat menjadi Perdana Menteri baharu kerana Ahli Parlimen Bera itu sudah mempunyai angkatan pasukan baharu untuk melindunginya.

“Cip Nazri mengakui lega kerana Ismail Sabri akhirnya dipilih jadi Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin Yassin, justeru beliau merasakan masa untuk bersara sudah tiba,” katanya kepada Sinar Premium.

Terdahulu, beberapa portal berita tempatan mencadangkan Ismail Sabri melantik Mohamed Nazri yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Menteri Pelancongan, dalam senarai jemaah menteri Kabinet baharu kerajaan beliau.

Cadangan itu dikemukakan susulan keperibadian Mohamed Nazri yang dianggap sebagai salah seorang ‘pahlawan’ dalam UMNO dan tidak gentar mempertahankan kerajaan pada saat dikritik pihak lawan.

Bahkan, Mohamed Nazri sebelum ini mengakui beliau merupakan antara mastermind yang mengumpulkan senarai akuan tandatangan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen BN bagi membolehkan seorang TImbalan Perdana Menteri daripada koalisi itu diangkat kerajaan PN sebelum ini.

Sepanjang penglibatan dalam dunia politik, Ketua UMNO bahagian Padang Rengas itu pernah dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO serta Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Mohamed Nazri juga tidak sunyi daripada dikaitkan dengan pelbagai kontroversi termasuk episod pertelingkahan beliau dengan bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), membuat pengakuan terbuka menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pakatan Harapan(PH) mendirikan kerajaan serta mengkritik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selepas kekalahan kerajaan BN.

Mengulas lanjut, sumber BN berkenaan turut memaklumkan hasrat persaraan Mohamed Nazri daripada dunia politik adalah bertujuan memberi peluang kepada generasi baharu mengambil alih tampuk kepimpinan UMNO dan BN.

“Sejujurnya, segala usaha Cip Nazri mempertahankan pendirian kerajaan dan parti bukan atas sebab beliau hendak jawatan, tetapi sekadar mahu menyumbang kepada parti sahaja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, sumber BN berkenaan membayangkan senarai kabinet baharu yang bakal diumumkan Ismail Sabri dalam masa terdekat tidak akan disertai mana-mana ahli Parlimen pembangkang.

Bagaimanapun, susulan pertemuan Ismail Sabri dan ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan (PH) pada Rabu, beliau yakin terdapat kemungkinan ada sebahagian ahli Parlimen koalisi itu yang bakal dilantik dalam Jawatankuasa Khas Pemulihan Ekonomi dan dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

“Bagi pelantikan kabinet baharu pula, saya menjangkakan pemimpin-pemimpin senior dalam UMNO seperti Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar bakal dilantik bagi memantapkan lagi barisan menteri UMNO.

“Mengenai desas-desus Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said bakal dilantik menteri penuh selepas meletak jawatan sebagai Timbalan Speaker Parlimen, itu saya tidak pasti kerana keputusan peletakan jawatan beliau atas arahan parti,” katanya.

Ditanya sama ada Ismail Sabri mampu melepasi ujian penentuan keabsahan sokongan ahli Parlimen terhadap beliau pada sidang Parlimen terdekat, sumber BN berkenaan berkeyakinan Perdana Menteri kesembilan itu mampu mengatasinya dengan cemerlang.

“Insya-ALLAH boleh sebab (pemimpin) yang gila jawatan (dalam UMNO) tidak ramai…Lagi ramai ahli UMNO biasa yang sayang parti daripada individu tertentu,” katanya.

No comments: