Apa lagi yang Umno mahu?

 

Nasib Umno sememangnya baik, amat baik sekali. Selepas lebih tiga tahun saja mereka kalah dalam PRU14, kini mereka kembali berkuasa semula. Ini bukanlah satu igauan. Bukan juga ramalan atau andaian yang mustahil. Tetapi realiti dalam politik negara yang agak sedikit berkecamuk tanpa haluan yang jelas.

Belum pun sepenggal berlalu, sejak PRU14, yang kalah kembali menjadi pemerintah dan yang menang menjadi pembangkang.Umno bernasib baik atau apakah ianya terkait rapat dengan helah permainan politik yang agak unik di Malaysia? Ramai yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini.

Atau apakah ketidaksampaian dan kepincangan pihak yang berkuasa sebelum ini, iaitu PH dan juga PN, untuk menjalin hubungan antara parti-parti kecil dalam mengadakan satu sistem tadbir urus negara yang baik.

Soalnya sekarang, apakah Umno, dalam keghairahan meraikan kembalinya mereka ke tampuk pemerintahan, mempunyai pelan-pelan yang efektif dan konkrit untuk menangani masalah negara ketika ini?

Atau sekadar mengambilalih kuasa kerana kuasa itu dilihat sebagai hak mereka yang hilang, meskipun sebenarnya mereka kalah pada PRU14.

Kerusi dan kepercayaan

Perlu diingati, bahawa Umno kini cuma mempunyai 37 kerusi sahaja di Parlimen (BN 41 kerusi).

Mereka menjadi kerajaan atas dasar keyakinan dan perjanjian (confidence and supply agreement) bersama PN, GPS dan empat Ahli Parlimen bebas, menjadikan jumlah kerusi mereka sebanyak 114 sahaja, satu majoriti yang paling tipis.

Ini amat berlainan dari keadaan sebelum Mei 2018 dimana mereka sebagai BN menguasai 133 dari jumlah 222 kerusi Parlimen.

Kerana itu Perdana Menteri dari Umno harus lebih berhati-hati dalam urus tadbir negara. Mereka tidak boleh beranggapan yang mereka telah kembali berkuasa seperti dahulu kala.

Pra-2018, Umno yang menerajui kerajaan ketika itu, membuat terlalu banyak kesilapan dan kesalahan sehinggakan ramai ahli Parlimen mereka berdepan dengan pelbagai kes-kes jenayah, terutama yang melibatkan kewangan negara, salah guna kuasa, dan masih dalam proses untuk menghadapi keadilan di mahkamah.

Sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri mesti memberi kepastian dan kepercayaan kepada gabungannya dan rakyat bahawa beliau tidak akan campurtangan dalam perjalanan undang-undang negara, walaupun kes-kes ini melibatkan ahli-ahli parti yang agak senior dari beliau sendiri.

Sekiranya kepercayaan itu tidak diberikan dengan jelas, rakyat akan merasa ragu-ragu dan kepimpinannya tidak akan diyakini. Ini amat penting dalam situasi untuk meneruskan keyakinan dan perjanjian pembekalan tersebut untuk terus berkuasa dan tidak segera runtuh.

Perbezaan aspirasi

Aspirasi Perdana Menteri dan aspirasi ahli Umno mungkin jauh berbeza.

Ahli Umno mungkin berpendapat bahawa dengan kuasa baru yang ada, mereka boleh kembali kepada cara lama bekerja dan mentadbir negara.

Ramai dalam kalangan Umno bergiat dalam parti untuk mendapat habuan menerusi projek-projek kerajaan. Ramai yang berjaya dan ramai juga wakil rakyat Umno sendiri yang mempunyai ‘kenderaan’ perniagaan mereka sendiri dan mengambil kesempatan dari kedudukan dan jawatan mereka dalam kerajaan untuk mendapat kontrak-kontrak kerajaan.

Tiada siapa yang melarang mereka dari berbuat sedemikian atau memberi amaran bahawa ini perbuatan yang salah. Inilah budaya Umno yang telah lama dipraktikkan dan telah menjadi sebahagian dari cara mereka bekerja.

Di sini letaknya cabaran pertama kepada Perdana Menteri. Pentadbiran sekarang tidak boleh kembali ke era dahulu dan membuat sebarang keputusan mengikut selera mereka sendiri.

Isu kedua berkait rapat dengan perkauman.

Ramai pemimpin Umno disekolahkan dengan pendekatan membahagi dan memerintah (divide and rule approach). Kerana itu isu perkauman begitu menebal dalam kalangan ahli-ahli Umno.

Dalam Umno itu sendiri terdapat ‘kasta’, kelas, atau kumpulan yang berbeza antara sesama mereka. Ini tidak harus dijadikan panduan oleh Perdana Menteri sekarang kerana kaedah-kaedah begitu tidak lagi sesuai dengan keadaan negara sekarang yang bergerak jauh ke depan tanpa mengira kaum, kelas, asal-usul negeri, dan agama.

Umno mesti beredar dari isu perkauman ini dan memulakan era baru. Inilah satu cabaran yang besar buat Perdana Menteri, kerana jawatan itu ialah untuk semua kaum dan bukan untuk ahli Umno sahaja.

Kebebasan bersuara

Isu ketiga melibatkan kebebasan. Umno juga pernah memerintah dengan ‘kuku besi’ tidak lama dahulu, dengan menggunakan pelbagai kekerasan dan cara yang memaksa.

Pemimpin Umno kerap menggunakan apparatus kerajaan seperti polis, imigresen, pejabat pendaftaran pertubuhan, FRU, Rela, dewan bandaraya dan sebagainya, untuk menunduk lawan politik mereka. Ini tidak harus berlaku di abad sekarang.

Mereka tidak senang menerima kritikan walaupun kritikan itu membina untuk rakyat dan negara. Mereka juga tidak mahu memberi ruang untuk anak-anak muda yang berbeza pendapat (dissent) untuk menunjuk perasaan, turun di jalan dan berdemonstrasi dengan aman.

Zaman anak muda mesti mengikut telunjuk kerajaan telah lama berakhir. Berilah ruang untuk mereka berfikir dan merumuskan pendapat mereka sendiri tanpa sebarang propaganda dari kerajaan. Segala bentuk propaganda untuk anak muda ini mesti diberhentikan.

Penggunaan akta-akta lapuk seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA (dulunya ISA) dan Akta Hasutan, untuk menekan kebebasan bersuara mesti dikaji semula dengan tujuan menghapuskannya.

Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang banyak disalahgunakan oleh pihak berkuasa untuk mengekang kebebasan bersuara menerusi media elektronik, juga mesti di kaji semula.

Tokoh masyarakat tidak sempurna apa lagi ahli politik, jadi mereka mesti terima kritikan dari pihak rakyat yang mengundi mereka.

Isu ekonomi

Ini isu terbesar buat perdana menteri baru.

Apakah melalui Umno beliau mempunyai pemikir (atau think tank) yang cekap dan berupaya untuk memberi pelan-pelan utama demi menangani masalah negara sekarang? Contohnya seperti pelan kesihatan, pelan penstabilan politik serta pelan pemulihan masalah sosio-ekonomi yang dilanda oleh kesan pandemik.

Sekiranya mereka cekap dan dapat belajar daripada kesilapan dan segala kesalahan yang dilakukan selama 17 bulan bawah Muhyiddin, mereka mungkin dapat selesaikan beberapa masalah utama.

Jangan membiarkan perkauman berleluasa. Bukalah ruang ekonomi kepada semua dan sebesar yang mungkin, bukan sekadar kepada golongan Melayu elit sahaja.

Ramai yang tergolong dalam kumpulan bawahan, B40 atau 40% golongan bawahan dari segi pendapatan bulanan. Mereka terdiri dari kaum Bumiputera (termasuk Sabah & Sarawak), dengan majoritinya lebih 65%. Ini bererti lebih dari 12 juta penduduk termasuk di Sabah dan Sarawak masih bawah paras B40 dan hidup dalam kemiskinan tegar.

Jadi polisi kerajaan mestilah untuk membantu semua kaum yang berada di dalam kategori B40 ini, bukan kaum Bumiputera yang sudah kaya-raya. Pemikir Umno harusnya lebih memahami perkara ini.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mereka dukung selama ini tidak berjaya menaikkan taraf ekonomi kaum Bumiputera. Disinilah letaknya kegagalan besar polisi Umno itu.

Sekiranya polisi ini tidak diganti dengan kaedah yang baharu dan lebih inklusif untuk membela semua kaum termiskin, maka Umno akan gagal lagi.

Sebagai langkah permulaan, mungkin Perdana Menteri boleh melihat kembali isu 7 perkara yang dicadangkan oleh Muhyiddin.

Apakah 7 perkara ini mungkin akan menjadi senjata politik yang kuat dan memberi erti yang besar kepada Umno juga.

Mungkin ini yang Umno memerlukan sebenarnya untuk memulihkan negara dan nasib parti sendiri?

No comments: