Guan Eng dedah ini punca beliau bekerjasama dengan PM

 


Guan Eng dedah ini punca beliau bekerjasama dengan PM


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencadangkan dua pelan untuk menang dalam perang melawan Covid-19 dan membantu rakyat mengharungi kemelesetan ekonomi.

Beliau mencadangkan “Pelan Reset Covid-19” untuk melawan peningkatan jumlah jangkitan dan kematian, serta pelan pemulihan ekonomi negara secara dwipartisan bagi membantu rakyat Malaysia yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan akibat kemelesetan ekonomi berpunca daripada pandemik.

“Menyelamatkan nyawa dan mata pencarian dengan memenangi perang melawan Covid-19 dan membantu rakyat Malaysia mengatasi kemelesetan ekonomi serta reformasi institusi yang nyata adalah kunci kepada sebarang kerjasama tulen bersama Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Perkara ini telah disampaikan kepada Ismail dalam pertemuan hampir sejam setengah dengan beliau semalam bersama Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu,” katanya dalam kenyataan.

Lim berkata, vaksinasi dan ujian saringan besar-besaran perlu dipercepatkan untuk menghalang lonjakan kes Covid-19.

“Pakatan Harapan (PH) telah mencadangkan penerapan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam pelaksanaan Cari, Uji, Kesan, Kuarantin dan Sokong serta Vaksinasi (FTTIS + V) berskala besar, dengan menyaring 1% penduduk setiap hari atau menjalankan 320,000 ujian.”

Beliau mendapati RM4 bilion perlu diperuntukkan untuk tujuan itu dan meningkatkan sistem sokongan kesihatan serta tenaga kerja, khasnya katil Unit Rawatan Rapi (ICU) serta penghantaran vaksin.

Bagi pelan pemulihan ekonomi, beliau menggesa kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada golongan terjejas kerana kemelesetan ekonomi menyebabkan kerugian lebih RM500 bilion sejak perintah kawalan pergerakan pertama pada Mac 2020.

Antara bantuan kewangan yang digariskannya ialah suntikan dana langsung RM45 bilion yang perlu disertakan pengecualian faedah bagi moratorium pinjaman bank untuk baki tiga bulan tahun ini, kecuali kumpulan T20.

“Bantuan kebajikan masyarakat perlu dinaikkan kepada RM1,000 setiap bulan, termasuk kepada penganggur yang akan menelan belanja lebih RM1 bilion sebulan.

“RM6 bilion perlu diperuntukkan bagi menawarkan insentif upah dan pengambilan pekerja untuk mewujudkan 300,000 pekerjaan baharu demi mengurangkan kadar pengangguran.

“Perniagaan perlu diberi RM30 bilion dalam bentuk geran, insentif kewangan, subsidi upah, sewa dan utiliti, bukannya pinjaman dan jaminan, demi menyelamatkan pekerjaan dan memperlahankan penutupan perniagaan.”

Semalam, Ismail menemui tiga pemimpin tertinggi PH di Perdana Putra dan mencapai kata sepakat untuk memperkukuhkan fungsi Parlimen sebagai institusi bertanggungjawab menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif.

Anwar mendedahkan pertemuan itu hanya membincangkan ekonomi dan rakyat, manakala isu pelantikan wakil pembangkang dalam Kabinet tidak dibangkitkan.

No comments: