Bagi pihak Majlis Presiden Pakatan Harapan, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada 105 Ahli Parlimen Pembangkang dari WARISAN, PEJUANG, UPKO, PSB, MUDA dan Bebas yang telah mencalonkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri minggu lalu.
Dalam semangat ‘Khemah Besar’ yang dinyatakan di dalam Ketetapan Port Dickson, Pakatan Harapan akan meneruskan serta memperkukuh kerjasama dengan WARISAN, PEJUANG, UPKO, PSB, MUDA dan Bebas demi memastikan blok Pembangkang bertambah berkesan dan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Seperti yang telah diumum sebelum ini, satu pertemuan ketua-ketua parti Pembangkang akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu-isu politik semasa termasuk persiapan menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula pada 6 September nanti.
Pintu Pakatan Harapan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti Pembangkang yang lain, malah kami juga mengalu-alukan sekiranya parti-parti ini membuat permohonan untuk menyertai Pakatan Harapan.
Pada waktu ini, sukacita saya umumkan bahawa Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telah membuat permohonan rasmi untuk menyertai Pakatan Harapan.
Mesyuarat Majlis Presiden hari ini telah membuat keputusan untuk menerima UPKO sebagai salah satu parti komponen Pakatan Harapan.
Pakatan Harapan percaya penyertaan UPKO ini akan terus memperkukuh kerjasama terutama dalam persiapan menuju PRU15.
Saifuddin Nasution Ismail
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan
26 Ogos 2021.