Calon Majlis Kerja Tertinggi Umno yang dikatakan sebagai mendapat persetujuan sebulat suara, Ismail Sabri Yaakob telah pun disahihkan sebagai Perdana Menteri kesembilan, tentunya juga beliau merupakan calon yang direstui oleh Barisan Nasional (BN).
Ismail Sabri telah berjaya mendapat sokongan sebanyak 114 undi dalam kalangan ahli Parlimen. Ini bermakna, secara tidak langsung perjuangan Umno untuk kembali berkuasa, meletakkan Umno menguasai puncak kuasa telah tercapai untuk sementara waktu ini.
Umno yang tersungkur dalam Pilihan Raya Umun ke-14 (PRU-14), nampaknya tidak perlu menunggu lama untuk bangkit kembali. Hayat Umno masih panjang untuk setakat ini.
Bermakna Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sekiranya tidak lagi berlaku percaturan politik yang boleh membawa kepada perubahan landskap politik Malaysia, Umno akan berada dalam status quo sebagaimana dalam PRU-14, menguasai kerajaan, bererti menguasai segala mekanisme dan jentera kerajaan.
Inilah sebenarnya yang diingini oleh Umno. Maka dengan itu Umno mengharapkan sebagai satu kelebihan untuk menguasai undi, khususnuya undi dalam kalangan masyarakat Melayu.
Satu kehendak
Terjemahan sokongan ini tentunya termasuk 15 orang daripada kumpulan Umno Ahmad Zahid Hamidi yang telah menarik sokongan kepada Mahiaddin Yassin menyebabkan Ahli Parlimen Pagoh itu terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri (PM).
Meskipun Ismail Sabri Yaakob adalah individu yang dilihat mempertahankan Mahiaddin Yassin dan Kabinetnya, seolah-olah antara Ahmad Zahid dan Ismail Sabri bercanggah kepentingan, antara kepentingan parti dengan kepentingan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didukung Ismail Sabri Yaakob.
Namun, hakikatnya tidak sedemikian, tindakan kedua-dua kumpulan ini adalah dalam lingkungan satu agenda, satu kemahuan dan satu kehendak.
Berdasarkan sudut pandangan komunikasi politik antara kumpulan 15 Ahmad Zahid dengan kluster menteri, dikepalai Ismail Sabri, sememangnya tidak wujud pertelingkahan hubungan atau pun jurang pemikiran dalam konteks keputusan politik.
Sebaliknya, memperlihatkan wujudnya persefahaman kefahaman dalam usaha untuk mencapai matlamat dan objektif politik Umno, membida keuntungan untuk Umno. Tumpuannya adalah kembalikan status quo Umno menguasai kerajaan.
Inilah kemahiran tingkah laku perang politik yang dirangsang oleh Ahmad Zahid, memanipulasi situasi untuk membina peluang politik bagi mewujudkan gelombang tekanan politik, serta melebarkan tekanan politik supaya menjadi isu nasional yang akan mewujudkan situasi konflik politik terbuka.
Kumpulan 15
Inilah senario yang dihadapi oleh Mahiaddin sehingga menyebabkannya kehilangan fokus untuk bertahan dan akhirnya terpaksa akur dengan momentum tekanan oleh kumpulan Zahid.
Politik pertentangan, hakikatnya sesuatu yang dicipta oleh Zahid dan Umno, bagi menggambarkan seolah-olah wujudnya konflik antara kluster menteri dan kumpulan 15 Zahid.
Padahal, itu adalah tindakan mencipta konflik untuk mewujudkan kekacauan situasi bagi menghakiskan kepercayaan untuk membolehkan satu tuntutan politik diwujudkan.
Berdasarkan alasan ini, Zahid telah menimbulkan keresahan politik dengan tindakannya menarik sokongan terhadap Mahiaddin, meski pun fokusnya terhadap Mahiaddin namun impaknya kepada kestabilan politik nasional, kerana secara tidak langsung telah menghilangkan status majoriti Mahiaddin.
Ternyata strategi yang didilakukan oleh Umno telah membuahkan hasil, usaha berganda mewujudkan tekanan kepada Mahiaddin telah menyebabkan Mahiaddin terpaksa tunduk kepada tekanan yang diterimanya menyebabkannya mengambil keputusan untuk terus berundur sebagai PM.
Matlamat asas Zahid adalah untuk membolehkan Umno menguasai kerajaan. Ini bermakna pengunduran Mahiaddin merupakan satu kemenangan moral kepada Umno dan khususnya kepada Zahid.
Mewujudkan konflik kepercayaan dan tekanan secara dalamam merupakan kaedah perang yang dilakukan dalam konteks perang subsversif. Melancarkan serangan aktif secara terbuka daripada dalaman, pada masa yang sama membuka peluang kepada tindak balas daripada luar, memandangkan situasi di luar juga tidak menyebelahi Mahiaddin.
Tanpa darah
Keadaan ini dilakukan dengan mengambil kira kedudukan Mahiaddin yang berada dalam keadaan terdesak dalam aspek sokongan dan bantuan daripada luar. Hakikat ini begitu jelas apabila tujuh tawaran yang dikemukakan oleh Mahiaddin terhadap pihak luar telah ditolak oleh hampir kesemua parti pembangkang, khususnya dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).
Penolakan ini menjadikan Mahiaddin kehilangan talian hayat, kedudukannya menjadi lemah dan kehilangan keabsahan. Keadaan sebaliknya akan berlaku sekiranya tujuh tawaran tersebut diabsahkan dan dipersetujui oleh parti-parti pembangkang.
Memandangkan Mahiaddin merupakan liabiliti kepada pembangkang berkaitan keterlibatannya dalam gerakan rampasan kuasa “tanpa darah” melalui Langkah Sheraton, maka tawaran tersebut hakikatnya tidak mempunyai nilai kepentingan moral, kembali menyokong “perampas” adalah sesuatu yang menjengkelkan maruah.
Maka, atas kapasiti Mahiaddin sebagai arkitek kepada Langkah Sheraton yang telah mencederakan ramai bekas rakannya dalam PH khususnya, maka penolakan tujuh tawaran tersebut adalah sesuatu yang boleh dianggap sebagai praktikal bersandarkan aspek integriti politik.
Ternyata, Mahiaddin akhirnya terpaksa akur kepada tekanan dalaman yang dilakukan oleh rakan-rakan politik yang pada awalnya menjadi penyokong dan mendukung Mahiaddin untuk meruntuhkan kerajaan PH dahulu, wujudnya fenomena “kawan memerangkap kawan.”
Kembalinya Umno menguasai kerajaan memperlihatkan dengan jelas betapa rapuhnya nilai kejujuran dan kesetiaan dalam pakatan politik. Kejujuran dan kesetiaan seolah-olah tidak wujud dalam pemainan politik, khusunya berkaitan dengan tingkah laku politik dan tanggungjawab politik.
Pertarungan di antara kepentingan kuasa dan peribadi menjadikan kejujuran dan kesetiaan politik sebagai pembunuh kepada watak politik.
Siapa pun mereka, termasuk golongan agamawan politik tidak akan berlaku jujur dengan prinsip kejujuran atau pun nilai kesetiaan, apabila melibatkan kepentingan untuk mempertahankan kuasa, apa lagi untuk melonjak kepentingan agenda peribadi.
Hakikatnya “perjuangan untuk rakyat, demi kestabilan negara,” hanyalah satu jargon politik.
Bahkan, boleh juga digolongkan sebagai helah politik untuk memperlihatkan seolah-olah masih akur dengan akal budi politik, walhal terserlah akan kebejatan moral politiknya, tergadai maruah politik, “cakap tak serupa bikin.”
Memperlekeh kejujuran
Hakikatnya, inilah realiti yang mendasari tindakan Langkah Sheraton dan perang politik yang dicetuskan Umno sehingga terbungkam Mahiaddin.
Apa pun alasannya, seolah-olah kejujuran dan kesetiaan itu tidak terpakai dalam perlakuan politik. Mahiaddin memperlekeh kejujuran dan kesetiaannya terhadap PH dengan membawa lari sokongan terhadap PH.
Mahiaddin telah pun berdepan dengan penarikan kejujuran dan kesetiaan politik oleh rakan-rakan yang dibelanya untuk merealisasikan Langkah Sheraton.
Apa pun keadaannya, sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa Ismail Sabri juga merupakan sebahagian daripada watak kerajaan ciptaan Mahiaddin yang dimomokkan sebagai “kerajaan gagal.”
Ismail Sabri sama ada secara langsung atau pun tidak langsung juga terlibat dalam rampasan kuasa melalui Langkah Sheraton yang dikomplotkan oleh kumpulan yang mengkhianati PH.
Secara jelas, Ismail Sabri juga adalah sebagai sebahagian daripada pihak yang bersekutu dengan para perampas tersebut.
Ini bererti, pelantikan Ismail Sabri sebagai PM, merupakan lanjutan warisan politik Langkah Sheraton yang berkomplot melakukan “pengkhianatan” terhadap PH.
Jelasnya, pemikiran politik berteraskan hipokritisme masih terus bermaharaja lela dalam pentadbiran kerajaan, tentunya usaha untuk melakukan pembaharuan moral politik akan menemui kegagalan.
Soal integriti politik, bukanlah sesuatu yang boleh diharapkan untuk diperjuangkan, apa lagi realitinya Ismail Sabri juga adalah muncul daripada rejim yang membiakkan kumpulan kleptokrat.
Oleh yang demikian untuk mengimpikan realiti pentadbiran dan pengurusan negara berteraskan prinsip moral, kebertanggungjawaban sosial dan kedaulatan undang-undang sesuatu yang amat sukar untuk diyakini.
*DR KAMARUDIN MUSA merupakan Penyelidik Perunding Human Resource Academy.