Anwar ajak pemimpin pembangkang lain sertai PH

 

FMT Reporters

 -

Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) melalui Pengerusinya, Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin utama parti pembangkang dalam masa terdekat.

Menerusi kenyataan Majlis Presiden gabungan tersebut, pertemuan itu juga termasuk bagi menjemput semua parti pembangkang mneyertai atau bekerjasama dengan PH.

“Ini selaras dengan ketetapan pemukiman kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson pada April yang menyatakan keterbukaan PH berunding dan bekerjasama serta menggembleng seluruh tenaga di bawah konsep ‘khemah besar’ demi memantapkan blok pembangkang merangkumi 105 Ahli Parlimen.

“Pertemuan tersebut antara lain akan membincangkan isu-isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 Sept, dengan kemungkinan satu sidang khas diadakan lebih awal untuk membahaskan usul undi percaya terhadap perdana menteri serta mengisikan kekosongan timbalan speaker Dewan Rakyat ekoran peletakan jawatan Azlina Othman Said,” katanya.

Menerusi kenyataan bersama, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, gabungan itu juga akan mempertimbangkan jemputan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas menangani Covid-19.

“PH akan pertimbang jemputan perdana menteri menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas menangani Covid-19 demi memastikan ia dibuat secara ikhlas untuk menangani pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi, bukan sekadar tangkap muat atau menjadi ‘rubber stamp’ kepada pandangan kerajaan semata-mata,” katanya.