Jika sebelum ini Umno menegaskan pendirian mereka ‘no Anwar no DAP’ namun selepas pertemuan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri bersama tiga pimpinan Pakatan Harapan (PH) hari ini pendirian itu terpaksa diketepikan.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Umno sudah menunjukkan perubahan apabila boleh menerima kerjasama antara beliau dengan DAP.
“Ismail mewakili Umno, saya cakap kepada dia sudah boleh bincang dengan Anwar dan DAP, sebelum ini ‘no Anwar no DAP’.
“Nampaknya sudah berubah, jadi Ismail kata demi titah Agong untuk kerjasama tangani COVID-19,” kata Anwar kepada media sebaik sahaja keluar dari pintu pagar Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya petang ini.
Bagi Anwar, perjumpaan ini adalah satu permulaan yang baik untuk menangani masalah pendemik yang melanda negara dengan lebih berkesan.
Pakatan Harapan turut menekankan agar program-program untuk rakyat terutama golongan miskin yang kehilangan pekerjaan perlu diberi keutamaan perdana menteri yang baru ini.
Sebaik ditanya media adakah pertemuan ini ada kaitan dengan tawaran jawatan dalam kabinet, Anwar menegaskan perkara ini tidak berbangkit.
“Isu ini (jawatan kabinet) tidak berbangkit. Kita tidak datang untuk minta jawatan, isu kita adalah ekonomi rakyat dan kebajikan mereka,” tegas Anwar.
Mohamad turut meminta agar perdana menteri memperkenalkan kaedah dan pendekatan yang baru bagi mengatasi masalah pandemik dan tidak perlu lagi menggunakan kaedah yang lama.
Begitu juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang turut membangkitkan permasalahan ekonomi yang terpaksa dihadapi rakyat negara ini ketika pendemik, di mana isu-isu ini perlu diberi keutamaan oleh Ismai Sabri.
Tiga pemimpin utama Pakatan Harapan dengan diketuai oleh pengerusinya Anwar Ibrahim telah dijemput Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub ke pejabatnya pada jam 2 petang tadi.
Dalam ucapan sulung Ismail telah mempelawa parti pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.