Adakah apa-apa menggembirakan daripada PM baharu sebelum Merdeka?

 

Sambutan hari kemerdekaan Malaysia tinggal lima hari namun tiada apa-apa berita gembira yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak mengangkat sumpah jawatan.

Supremo DAP, Kim Kit Siang berkata, rakyat sepatutnya beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara selepas Hari Kebangsaan ini dengan memenuhi tiga syarat iaitu, kurang daripada 500 kes baharu Covid-19, jumlah katil unit rawatan rapi yang mencukupi dan 60% populasi dewasa telah menerima vaksin.

Namun hal berkenaan, jelasnya, tidak kelihatan akan berlaku dalam tempoh terdekat.

"Sejak pengumuman Pelan Pemulihan Negara pada 15 Jun 2021, negara kita tidak pernah mencapai syarat pertama; kurang daripada 4,000 kes harian menjelang hujung bulan Jun, memandangkan selain daripada dua hari pada 21 dan 22 Jun di mana kita mencatatkan 4,611 dan 4,743 kes, kita telah mencatatkan di antara 5,150 kes pada 16 Jun sehingga 9,353 kes pada 7 Julai sebelum mula mencatatkan kes harian dalam julat lima angka dengan angka tertinggi mencecah 23,564 kes pada 20 Ogos 2021.



"Apa yang jelas Pelan Pemulihan Negara mereka yang bertanggungjawab terhadap perang melawan wabak Covid-19 ini tidak menjangkakan langsung angka kes harian akan mencapai lima angka, kerana mereka menjangkakan penurunan di bawah 500 kes sehari selepas Hari Kebangsaan.

"Perkara ini adalah satu pengajaran amat mahal yang kita perlu insafi, daripada 15 Jun sehingga hari ini, terdapat 925,726 kes baharu yang memberikan purata sebanyak 13,224 kes sehari 10,484 kematian akibat Covid-19, purata sebanyak 150 kematian sehari, dan bukannya penurunan kepada julat di bawah 500 kes sehari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Kit Siang, dari segi penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) pula, kadar pesakit ICU masih lagi melebihi empat angka, perkara ini pertama kali dicatatkan pada 26 Julai 2021, dengan jumlah kes aktif mencapai kemuncak baharu 262,713 kes

Hanya kadar vaksinasi dalam Pelan Pemulihan Negara, katanya yang kelihatan boleh dicapai, terutamanya di negeri seperti Labuan (92.4% divaksinasi sepenuhnya), Sarawak (85.4%), Lembah Klang (85.2%), Negeri Sembilan (72.3%), Perlis (62.4%), sementara di negeri-negeri lain, kadar vaksinasi masih rendah seperti Pulau Pinang (47.1% ), Melaka (46.8%), Terengganu (42.7%), Perak (41.4%), Johor (38.8%), Kedah (38.3%), Kelantan (37.6%) dan Sabah (31.4%) yang memerlukan pecutan segera program vaksinasi.

"Tetapi, angka ini hanya mewakili populasi dewasa, iaitu mereka yang berusia 18 tahun ke atas yang terdiri daripada kira-kira 70% jumlah populasi negara.

"Oleh itu, keadaan buruk Covid-19 di negara kita memerlukan dasar, strategi, dan pendekatan baharu yang mesti melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

"Memandangkan negara kita bakal memecahkan siling 1.6 juta kes terkumpul Covid-19 hari ini, dan bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-64 yang amat suram dalam masa seminggu lagi, dengan lebih daripada 1.7 juta kes Covid-19 dan hampir 16,000 kematian akibat Covid-19 ini meletakkan Malaysia di tangga ke-23 di dunia, dengan jumlah kes terkumpul tertinggi," katanya.

Dalam pada itu, Kit Siang mahu PM baharu lebih peka dalam melantik pasukan yang lebih baik menangani Covid dan tidak mengharapkan pasukan kabinet Mahiaddin lalu dan telah gagal melaksanakan tanggungjawab.

"Perdana Menteri ke 9 telah pun masuk ke pejabatnya dengan jangkaan terendah daripada rakyat, tetapi saya bersedia untuk menggantung penilaian saya kepada beliau untuk memberikan peluang membuktikan semua suara sinis tersilap dan beliau mampu mencipta keadaan untuk membolehkan satu konsensus kebangsaan baharu dibina, bagi membantu negara kita berhadapan cabaran yang dihadapi 12 ke 18 bulan mendatang untuk menyatukan semua rakyat sebagai satu “Keluarga Malaysia”," katanya lagi.

Bagai Kit Siang, ujian pertama kepada Ismail akan tiba apabila beliau mengumumkan senarai Kabinet dan tindakan-tindakan beliau sebelum undian sokongan majoriti di Parlimen pada bulan hadapan.


No comments: