Ahli parlimen Dap dakwa ditawar RM30 juta dan jawatan menteri

 


Panas! Ahli parlimen Dap dakwa ditawar RM30 juta dan jawatan menteri


Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat individu tidak dikenali cuba menyogoknya menyokong Perikatan Nasional (PN) dengan menawarkan habuan wang tunai bernilai RM30 juta serta dilantik menteri.

Kulasegaran berkata, individu berkenaan bertindak menghantar dua mesej melalui WhatsApp menerusi Setiausaha Sulitnya, Jeremy Chuah.

“Kandungan kedua-dua mesej berkenaan adalah mengenai tawaran posisi menteri, wang, peruntukan penuh kepada konstituensi Ipoh Barat dan lain-lain insentif.

“Ini sangat jelas membuktikan bahawa perbuatan ini mengandungi unsur rasuah untuk ‘membeli’ Ahli Parlimen Ipoh Barat,” katanya ketika hadir untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini, hari ini.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP itu berkata, individu terbabit sudah beberapa kali cuba menghubunginya dan juga Setiausaha Sulitnya itu namun tidak dilayan sehingga individu berkenaan dikatakan bertindak mahu bertemu empat mata hari ini.

“Kita ini dipilih rakyat, maka rakyatlah yang membuat keputusan dan kita di sini sebagai wakil rakyat bukan untuk dijual beli.

“Malah, kita percaya penuh bahawa dalam DAP kesemua 42 Ahli Parlimen yang sebelum ini berada dalam kerajaan dan ketika ini menjadi pembangkang tidak pernah lari dan akan berkhidmat untuk rakyat.

“Jadi, kita tidak perlu semua ganjaran ini dan kita akan kekal pada posisi ini sehinggalah mungkin nanti kita akan dilantik semula sebagai kerajaan,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap polis membuat penyiasatan penuh terhadap kes berkenaan kerana ia adalah satu kesalahan yang besar.

No comments: