SETELAH SAH TIADA KEABSAHAN, AGONG KINI DIPOHON BERI TITAH BARU KEPADA MAHIADDIN

 

Kedudukan Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri yang tiada sokongan majoriti kini bukanlah suatu rahsia lagi.

Sidang media tanpa peduli SOP oleh Ismail Sabri Yaakob yang baru tidak sampai sebulan dibuai keseronokan diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri di DBKL semalam dengan sendirinya memberi malu dan mengesahkan di mata dunia bahawa Mahiaddin adalah Perdana Menteri tanpa majoriti.

Sekarang ini, bukan saja rakyat termasuk budak-budak sekolah dapat memahami Mahiaddin tiada lagi majoriti, bahkan Puan Sri Norainee Abdul Rahman yang tidur di sebelahnya pun tentu turut sedar suaminya sudah pun kehilangan seri.

Jika orang bermoral dan berintegiti tinggi, dalam keadaan ini tentunya pilihan yang diambil ialah meletak jawatan atau mengundurkan diri.

Tidak cukup dengan tiada majoriti, perletakan jawatan dua menteri setakat ini – Shamsul Anuar Nasarah dan Noraini Ahmad – lebih memberikan tamparan kepada Mahiaddin.

Yang Dipertuan Agong pula, sementara dimaklumkan oleh Mahiaddin pada Rabu lalu bahawa beliau masih memiliki sokongan mencukupi, pastinya juga mula sedar keadaan semasa yang sudah berubah kini.

Kabinet ini kelihatannya mula tempang, barangkali hanya menunggu masa untuk lebih ramai mengambil pendirian yang sama.

Apa pun, dengan kesahihan Perdana Menteri yang sah tiada majoriti dan seorang demi seorang menteri meletak jawatan, kerajaan PN ini akan terus jadi tidak stabil dalam urusan sehariannya mentadbir negara.

Rakyat sendiri tentunya malu dan tidak mahu ditadbir kerajaan tanpa majoriti ini.

Menjelang tempoh sebulan lagi sebelum sidang Parlimen diadakan di mana Mahiaddin sudah tiada pilihan untuk akur membenarkan usul undi percaya dibentangkan terhadapnya, yang paling malang sekali tentunya ialah nasib dan sengsara rakyat yang akan terus tidak dipeduli.

Ini kerana dalam tempoh sebulan ini, Mahiaddin dan menteri-menteri kerajaan tentu saja lebih sibuk mengisi masa mereka dengan pelbagai aktiviti dan perancangan untuk memenangi usul undi percaya itu berbanding menjaga perut dan poket rakyat.

Selain Mahiaddin pastinya lebih sibuk agar tidak dijatuhkan dan seterusnya hilang kuasa, Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri dan beberapa menteri sendiri pada semalam telah memperlihatkan keutamaan mereka lebih mempertahankan kuasa apabila sanggup berkumpul beramai-ramai di Auditorium DBKL hanya semata-mata atas agenda politik.

Selepas ini entah berapa banyak lagi mesyuarat siang dan malam, termasuk bertemu di rumah Mahiaddin bagi kerja-kerja politik yang tujuannya mempertahankan kuasa itu.

Akhirnya, dengan gaji, elaun lumayan dan pengiring yang diterima melalui wang pembayar cukai, bukanlah rakyat yang dijaga diutama, sebaliknya hanya perut dan jawatan sendiri.

Dalam hal ini, bagi mengelakkan pembaziran dan negara terus dalam ketidak-tentuan dalam tempoh sebulan akan datang iaitu sebelum sidang Parlimen diadakan, adalah benar-benar dipohon agar Agong selaku ketua negara dapat campurtangan dengan segera.

Demi untuk kebaikan negara, adalah anat menggembirakan rakyat kiranya Agong dapat menasihatkan Mahiaddin agar meletakkan jawatan saja berikutan ketiadaan majoritinya kini bukan lagi rahsia atau pilihan lain, mengadakan sidang khas Parlimen harus diadakan pada kadar segera dan secepat mungkin dengan agenda khusus hanya berkaitan usul undi percaya saja.

Agong dengan ini boleh menarik balik perkenan baginda atas cadangan Mahiaddin yang mahu ujian keabsahannya dilakukan pada sidang Parlimen September nanti.

Negara ini tidak boleh dibiarkan lebih lama dalam kecelaruan dan kekalutan tentang pertikaian tiada majoriti yang dimiliki oleh Perdana Menterinya.

Penyelesaiannya mesti disegerakan agar pemimpin yang benar-benar dibuktikan keabsahan yang berhak mengendalikan urusan negara dan menjaga rakyat.

Perdana Menteri yang tiada majoriti, kalau memiliki masa, hanya akan sibuk menggunakannya untuk mencari dan membeli undi berbanding memastikan rakyat memiliki wang untuk membeli makanan.

Bimbang jika September nanti baru keabsahan mahu ditentukan, lebih banyak kerosakan dan kehancuran makin tak terbendung.

Sekali lagi, bersama kedegilan Mahiaddin dengan pelbagai helah serta alasanya, sehelai kenyataan media titah Istana Negara barangkali adalah ubat kelegaan bagi rakyat agar negara ini dapat segera keluar daripada kekalutan dan ketidaktentuan yang sudah lama berlarutan.

(ShahbudinHusin 07/08/2021)



No comments: