SULTAN BUKAN TUHAN
Tamrin Tun Ghafar
Isnin 05/03/18
(1-36)
1. “Jika you batalkan juga pindaan
ini , saya akan tentang you habis-habisan. You tahu kan negara ini hak siapa .
Yes, hak rakyat , bukan hak mereka.
2. “Mereka ini kena patuh Perlembagaan dan
undang-undang . Mereka bukan Raja Mutlak saperti Raja-Raja Arab .
Rakyat yang meletakkan mereka di situ”.
3. Saya tersentak melihat wajah serius dan
kata-kata tegas ayah saya, Pak Ghafar ( arwah Tun ) apabila Dr.
Mahathir ( Tun ) menelefon beliau memaklumkan hasratnya tidak mahu meneruskan
cadangan meminda Perlembagaan Negara berhubung kuasa Raja-Raja.
4. Ketika itu Pak Ghafar ialah Pengerusi
Kompleks Kewangan yang juga salah seorang Naib Presiden UMNO.
5. Pak Ghafar minta saya rahsiakan perkara
ini kerana tidak mahu rakyat hilang keyakinan terhadap Dr. Mahathir.
6. Arwah pernah juga memberitahu saya
sebab-sebab beliau enggan menerima Bintang-Bintang Kebesaran atas alasan beliau
tidak mahu tangan beliau terikat andainya jika berlaku pertikian diantara
rakyat dengan Raja.
Katanya lagi mungkin satu hari nanti
anak-anak Raja yang tak senang dengan kita , mereka akan sewenang-wenangnya
tarik balik pingat yang diberi oleh bapa mereka kepada kita . Lagi pun,
sambung beliau, itu semua (Pingat dan Gelaran) bukan boleh membantu kita
di dalam kubur nanti.
7. Ayahanda Tun Ghafar meninggal pada
23hb April 2006 pada umur 81 tahun. ALFATIHAH.
8. Rahsia ini terpaksa saya kongsikan
bersama kerana kebelakangan ini saya lihat ada di kalangan Raja-Raja sama ada
mungkin terlupa atau tidak tahu punca mengapa dua kali Perlembagaan
Negara TERPAKSA dipinda, justeri mereka terus berdendam dan
menyalahkan Tun Dr. Mahathir seolah-olah beliau sesuka hati dan beria-ia
sangat yang mahu kedua dua Perkara dalam Perlembagaan itu dipinda.
9. Perlu saya berterus terang selepas
meninggalkan UMNO dan PAS dan Deklarasi Rakyat yang dipimpin sendiri oleh Tun
Mahathir, saya tidak lagi menganggotai mana-mana parti politik mahu pun NGO.
Perkara ini pernah saya maklumkan juga
kepada YAB Datuk Seri Najib sendiri.
10. Saya lebih senang begini, memberi
pandangan dan teguran2 secara bebas.
11. Terserahlah kepada sesiapa membuat
andaian dan interpretasi terhadap tulisan-tulisan saya.
Kita semua bukan maksum. Tegur menegur dan
ingat mengingat adalah amalan baik yang dituntut oleh agama.
12. Niat saya hanya
mahu melihat negara kita terus maju dan
dihormati oleh dunia dan rakyat hidup aman damai tanpa kira kaum dan agama.
13. Setelah berbincang beberapa kali,
akhirnya pada 1hb Ogos 1983, Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu
telah membentangkan usul meminda Perkara 66 Perlembagaan Negara.
14. Walaupun Parlimen telah meluluskan
Pindaan tersebut tetapi Raja-Raja masih enggan memberi persetujuan kerana
mengikut Perkara 38 ( 4 ) 2 Raja-Raja MESTI bersetuju dengan
mana-mana pindaan Perlembagaan yang ada kaitan dengan kedudukan mereka.
15. Rakyat jelata mula marah diatas
keenganan Raja-Raja memberi persetujuan. Perhimpunan demi perhimpunan membantah
sikap Raja-Raja telah diadakan.
16. Segala rahsia dan kelemahan Raja-Raja
dan keluarga mereka ditelanjangkan. Terdapat juga suara-suara dan cadangan yang
ekstrim disuarakan. Itulah perasaan rakyat terhadap Raja-Raja ketika itu.
17. Di sini Dr.Mahathir telah berjaya
mententeramkan keadaan, jika tidak, mungkin hari ini tidak
ada lagi Raja-Raja seperti yang pernah berlaku pada Negeri Melaka
sejak tahun 1699 iaitu kira-kira 320 tahun dahulu atau yang pernah
berlaku di negara-negara Eropah suatu masa dulu.
18. Bagi mengatasi kemelut itu, Majlis
Tertinggi UMNO telah melantik Pak Ghafar mengetuai rombongan UMNO bagi
berbincang dengan kesemua Raja-Raja. Ia berlangsung di Istana Kayangan ,
Selangor. Turut dalam rombongan itu ialah Datuk Harun Idris ( bekas MB Selangor
), Datuk Kamaruddin Md. Isa ( bekas MB Perak ), Datuk Mustapha Jabar (
Setiausaha Agung ) dan Puan Marina Yusoff.
Raja-Raja pula dibantu oleh Raja Aziz
Addrause, seorang pakar undang-undang yang terkenal.
19. Akhirnya mereka (Raja-Raj dan
peguam mereka) bersetuju dengan hujah Pak Ghafar bahawa TIDAK ADA
terdapat mana-mana perkara dalam Perlembagaan yang mengatakan
Raja-Raja berhak atau punyai kuasa menolak mana-mana Bill yang diluluskan
oleh Parlimen, justeru mereka ( Raja2 ) BERSETUJU dengan Pindaan Perkara
66 Perlembagaan itu.
20. TIDAK ADA RAJA
JIKA TIDAK ADA RAKYAT kerana rakyatlah
yang mengangkat seseorang itu menjadi Raja.
21. Saya pernah dengar
cakap-cakap kononnya ada terdapat amalan di mana
Raja-Raja perlu meneliti dan meluluskan senarai calon dari parti
memerintah sama ada sipolan-sipolan itu boleh bertanding atau sebaliknya .
Begitu juga kononnya sama ada sesorang itu boleh dilantik sebagai EXCO
atau tidak turut ditentukan oleh Raja berkenaan.
Semua amalan ini termasuk meminta mana-nana
parti yang telah mendapat kepercayaan dan mandat rakyat menghantar 3 nama
kepada Raja untuk dipilih sebagai Menteri Besar dan cakap-cakap kononnya ada
Raja yang TIDAK AKAN melantik sipolan-sipolan sebagai Ketua
Pentadbir Kerajaan jika parti yang menang tidak digemarinya - ini semua
adalah amalan yang terang-terang bertentangan dengan Perlembagaan dan
Undang-Undang negara.
22. Jika amalan ini berterusan , maka
Pilihanraya adalah sia-sia sahaja. Lebih baik Raja lantik sahaja sesiapa yang
mereka suka sebagai Bendahara ( Ketua Kerajaan ) sepertimana yang pernah
dilakukan oleh Raja-Raja di zaman Kesultanan Melaka dahulu.
23. Lagi pun cuba bayangkan di mana
Raja-Raja nak letakan diri jika sekiranya parti yang mereka tak minat itu
mendapat sokongan majoriti rakyat bagi mentadbir Negara atau Negeri.
24. Pindaan Perlembagaan kedua berlaku
apabila seorang rakyat biasa, Douglas Gomez dipukul dengan teruk
oleh Sultan Mahmod Iskandar dari Johor. Insiden ini berlaku di Istana Johor
pada 30hb November 1992.
25. Usul yang dibawa oleh Pak Ghafar dan
diluluskan pada 10hb Disember 1992 adalah bagi mewujudkan Mahkamah
Khas untuk membicarakan mana-mana Raja yang melanggar Perlembagaan dan
Undang-Undang. Jika didapati bersalah, hukuman keatasnya adalah mengikut
undang-undang yang sedia ada.
26. Ekoran penubuhan Mahkamah Khas itu,
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah adalah Raja yang pertama sekali diheret ke
Mahkmah. Ia berlaku pada 1995.
27. Adalah tidak ruginya jika
sekiranya Raja-Raja membincangkan sesama sendiri perkara-perkara yang boleh dan
yang tidak boleh dilakukan mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Negara.
28. Raja-Raja mestilah menunjukkan contoh
dan teladan yang baik yang boleh diikuti oleh rakyat jelata.
29. Anak ketam tidak akan dapat berlari
betul selagi bapa ketam tidak berjalan betul terlebih dahulu.
30. Jika sekiranya mana-mana Raja merasakan
mereka boleh berkhidmat lebih hebat untuk rakyat, maka jalan yang
sebaik-baiknya ialah mereka turun takhta dan bertanding dalam
pilihanraya.
31. Saya masih teringat kata-kata Sultan
Mahmod Iskandar dari Johor yang berbunyi -
"AKU BUKAN TUHAN
YANG PATUT DISEMBAH"
32. Saya memohon maaf jika terdapat
sebarang kesilapan fakta dalam tulisan ini.
33. Tulisan ini akan saya serahkan kepada
Raja-Raja melalui Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam masa terdekat ini.
34. Saya bertanggungjawab di atas tulisan
ini.
35. HAK MENGUNDI IALAH
HAK RAKYAT.
36. Mohon dikongsikan kepada mereka yang
cintakan sistem Raja Berperlembagaan seperti yang kita amalkan sekarang.
Terima Kasih.