Sektor industri sah penyumbang terbesar kluster Covid 19, Azmin kelirukan Parlimen?

 


Kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor semalam yang mendakwa sektor perkilangan sebagai penyumbang terbesar kluster Covid 19 di Selangor cukup untuk menolak penjelasan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Parlimen minggu lalu, bahawa sektor perkilangan bukan penyumbang utama kluster Covid di Malaysia.



Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Chua Wei Kiat, ciapan di Twitter rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia semalam mendedahkan segala-galanya yang amat ditakuti oleh warga Selangor sejak sekian lama.



"Dalam satu ciapan di Twitter rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (@KKMPutrajaya), Pengarah JKN Selangor memaklumkan sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar kluster di Selangor. Ia juga mendakwa tiada satu pun kluster di Selangor berpunca daripada sambutan perayaan.



"Ciapan yang disiarkan pada jam 10.53 pagi Jumaat itu jelas menunjukkan kekhuatiran yang disuarakan sebelum ini oleh pihak pembangkang adalah benar," kata Chua dalam satu kenyataan.



Tambah ADUN Rawang itu, sebelum ini AMK telah mendesak pihak kerajaan untuk menutup sektor industri buat sementara waktu termasuk meminta Kerajaan Negeri untuk menggunakan kuasa negeri menutup sementara operasi kilang.



Namun katanya, Menteri MITI, Azmin Ali memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan jika Kerajaan Negeri melangkaui keputusan kerajaan pusat membenarkan kilang-kilang berkenaan terus beroperasi.



"Malah Azmin juga menafikan sektor perkilangan menjadi penyumbang kluster terbesar. Ini jelas beliau telah mengelirukan dewan (Parlimen minggu lalu)



"Demi menaikkan semula ekonomi dengan pelan yang tidak jelas, kerajaan hanya menjadikan keadaan semakin teruk.



"Negeri Selangor atau Lembah Klang amnya telah lumpuh dengan mencatatkan kes harian lebih 10,000 sehari. Dalam tempoh dua minggu sahaja kawasan ini menyumbang 100,000 kes positif serta kes kematian tertinggi.



"Jelas kerajaan hari ini bukan sahaja gagal dalam menjaga keselamatan rakyat, malah kerajaan tidak peduli akan kesihatan rakyat dengan mengerah rakyat berdepan wabak pembunuh demi menaikkan ekonomi," kata Chua.



Menurut beliau, pelan imunisasi Covid 19 kebangsaan tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk membuka sektor industri seluas-luasnya kerana tiada data lengkap mengenai jumlah pekerja sektor industri yang telah divaksin.



"Kerancakan Program Imunisasi Kebangsaan tidak boleh dijadikan kayu ukur dan justifikasi untuk sektor perkilangan terus beroperasi dalam skala besar di seluruh negara terutama di Selangor.



"AMK juga menggesa kerajaan mengeluarkan data jumlah pekerja kilang yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19.



"Ini adalah penting agar umum tahu dalam keghairahan kerajaan membenarkan sektor perkilangan terus beroperasi, adakah para pekerja ini diberi keutamaan dalam Program Imunisasi Kebangsaan atau mereka hanya dikerah untuk menjana ekonomi tanpa perlindungan sewajarnya," kata beliau lagi.

 


No comments: