20 ahli Parlimen pembangkang dirakam keterangan setakat ini By Kumara Sabapatty - 7 August 2021

 MGF07082021_OCIPDDANGWANGIBARU07

Ketua Polis Daerah Dang Wangi baharu ACP Noor Dellhan Yahaya bercakap pada Majlis Penghargaan kepada Pengamal Media di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi , Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI,07 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Seramai 20 ahli Parlimen pembangkang yang menyertai perhimpunan Solidariti bersama Anwar Ibrahim yang membantah penggantungan persidangan Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu telah dirakam keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellan Yahaya berkata, proses rakaman keterangan itu bermula sejak 4 Ogos yang lalu.

“Ia termasuklah tiga lagi ahli Parlimen pembangkang yang tampil dan memberi keterangan di IPD jam 10 pagi tadi iaitu Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen PKR Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengesahkan dua lagi pemimpin tertinggi pembangkang turut dirakam keterangan oleh pegawai penyiasatnya pada hari ini.

Mereka adalah Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen PKR Pandan.

“Anwar dan Wan Azizah juga termasuk dalam 20 ahli Parlimen itu yang dirakam keterangan sehingga hari ini.

“Pegawai penyiasat kami dari Dang Wangi telah pergi ke Ibu Pejabat PKR di Tropicana Petaling Jaya dan merakam keterangan daripada kedua-dua pemimpin itu bermula jam 11 pagi tadi,” katanya.

Semalam Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ahli Parlimen Ipoh Barat Kulasegaran hadir ke IPD Dang Wangi di sebelah pagi dann petang dan selesai memberi keterangan kepada polis.

Turut dirakam keterangan semalam adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub.-

No comments: