UMNO MAKIN KELIRU DENGAN PARTI SENDIRI

 


MKT Umno ada kuasa mutlak tangguh pemilihan parti, kata Ahmad Maslan



Ahmad Maslan berkata beliau berharap penjelasan itu menyelesaikan polemik antara Umno dan JPPM.

PETALING JAYA: Peguam Umno berpandangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mempunyai kuasa mutlak untuk menangguhkan pemilihan Umno selama 18 bulan seperti pemakluman dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, ini selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno.

“Keputusan mesyuarat MKT pada 7 Julai 2021 yang dimaklumkan kepada JPPM melalui surat Umno bertarikh 30 Julai 2021 hanyalah untuk mengesahkan keputusan yang dibuat melalui resolusi pekeliling pada 18 Jun 2021.

“Pentafsiran yang diberikan oleh peguam cara Umno terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan Umno dengan jelas menyatakan bahawa penangguhan pemilihan Umno adalah kuasa mutlak MKT. Oleh sebab itu, Umno hanya perlu memaklumkan kepada pihak JPPM,” katanya ketika sidang media khas menjelaskan isu penangguhan pemilihan parti antara Umno dengan JPPM.

Ahmad turut memaklumkan, isu yang dibangkitkan JPPM dalam surat bertarikh 6 Ogos 2021, bahawa tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021, tidak lagi berbangkit.

Semalam Ketua Pengarah JPPM Jasri Kasim dilaporkan berkata, keputusan MKT Umno menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah kerana dibuat selepas tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Sehubungan itu, Jasri meminta Umno membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan, dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada JPPM dalam tempoh terdekat.

Ahmad Maslan turut memaklumkan berdasarkan kronologi, MKT Umno mula memutuskan penangguhan pemilihan parti tahun ini pada 19 Februari lalu, sebelum merujuknya kepada ROS, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) antara 27 April dan 24 Mei.

Katanya, MKT secara bersemuka pada 25 April 2021 di Aras 39, Menara Dato Onn, membuat keputusan untuk merujuk kepada JPPM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan pandangan berhubung mengadakan mesyuarat dan pemilihan parti dalam suasana pandemik Covid-19 di Malaysia.

Pada 18 Jun lalu, 52 daripada 56 ahli MKT Umno secara resolusi edaran bersetuju menangguhkan pemilihan parti kerana tidak pernah melaksanakannya secara maya.

“Pihak JPPM juga telah memperakui penerimaan surat Umno bertarikh 24 Jun 2021 melalui surat ROS bertarikh 19 Julai 2021 yang antara lain menyatakan bahawa JPPM tiada halangan terhadap penangguhan pemilihan parti Umno.

“Keputusan ini mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan Umno.”

Ahmad Maslan berkata, beliau berharap penjelasan berkenaan dapat menyelesaikan polemik antara Umno dan JPPM.

No comments: