Asyraf Wajdi Dusuki
KUALA LUMPUR – Perbankan Islam mesti tunjuk contoh tawarkan
moratorium tanpa keuntungan terakru bukan ambil kesempatan dalam kesempitan
hidup rakyat.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
berkata, pihaknya ada menerima aduan seorang individu berkenaan perkara itu.
“Seorang hamba Allah mengadu kepada
Pemuda UMNO untuk perjuangkan nasib mereka kerana dalam keadaan terdesak untuk
mengambil moratorium enam bulan, beliau akan terpaksa membayar tambahan RM9,212
akibat penangguhan yang diberikan.
“Secara prinsipnya sudah ada elemen-elemen berbaur riba
melainkan wujud perubahan akad yang dimeteraikan
“Menggunakan perkataan interest servicing dalam surat pemakluman
Penjadualan Semula Pembiyaan juga merupakan satu kesalahan serius,” katanya
dalam satu kenyataan malam tadi.
Menurutnya, jika ketika beliau menjadi
Pengerusi Shariah merangkap Ahli Lembaga Pengarah sebuah perbankan Islam dulu
pasti, pegawai bank yang keluarkan surat ini akan dipanggilnya.
Jelasnya, sudah berulang kali Pemuda UMNO bangkitkan dan desak
agar Menteri Kewangan yang sudah dinaikkan pangkat kepada Menteri Penyelaras
Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk ambil tindakan menyelaras kaedah penawaran
moratorium termasuk mekanisme pengiraan keuntungan/faedah.
“Pemuda UMNO minta agar kerajaan melalui Menteri Kewangan Tengku
Zafrul guna kuasa yang ada melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021,
Akta Bank Negara 2009 dan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 bagi mengarahkan
bank-bank sama ada konvensional mahupun Islamik agar memansuhkan elemen
Keuntungan/Faedah Terakru dalam moratorium yang ditawarkan,” tambahnya.
Justeru kata Asyraf, Pemuda UMNO
mengharapkan ada tindakan positif sebagaimana jaminan yang diberikan Timbalan
Perdana Menteri yang baru kepadanya dalam pertemuan semalam ketika beliau
datang mengunjungi Presiden UMNO.
Menurutnya, inilah masanya perbankan Islam mesti ditampilkan
berbeza daripada amalan konvensional.
“Dengan menzahirkan nilai-nilai ihsan dan rasa
kebertanggungjawaban sosial yang tinggi dengan menawarkan moratorium tanpa
keuntungan terakru terutamanya ketika umat dilanda musibah Covid-19 dan
Perintah Kawalan Pergerakan yang mengekang mereka daripada bekerja dan
memperoleh pendapatan sebagaimana biasa,” katanya.- MalaysiaGazette