Guna sidang Parlimen 5 hari sebaiknya, kata penganalisis kepada pembangkang

 

Sidang Dewan Rakyat selama lima hari itu dijangka menguji sokongan majoriti ahli parlimen terhadap Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Menjelang sidang Parlimen yang dijadualkan akan kembali, Ahli Parlimen pembangkang digesa menggunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya dan memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap setiap keputusan serta dasar dibuat sejak persidangan lalu, kata penganalisis politik.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang adalah pada 17 Dis lalu.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Ahli Parlimen pembangkang harus bersedia dengan banyak soalan dan meneliti setiap dasar dibuat oleh kerajaan dalam pengurusan pandemik Covid-19.

“Ahli Parlimen pembangkang mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan. Mereka mesti mempersoalkan keputusan keputusan kerajaan dan maklum balas mereka direkodkan,” katanya kepada FMT.

Selain dasar, Oh berkata Ahli Parlimen pembangkang juga harus membincangkan ordinan yang diluluskan ketika Darurat, terutamanya ordinan anti-berita palsu.

“Sekiranya pembangkang boleh menolak ordinan itu, ia akan memberi kelebihan besar kepada mereka dari segi politiknya,” katanya.

Beliau percaya perpecahan antara pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad adalah punca utama kurangnya kekuatan secara kolektif di kalangan parti pembangkang.

“Perpecahan Anwar-Mahathir inilah yang menjadi penyebab mengapa mereka (pembangkang) senyap,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan bahawa Muhyiddin Yassin menasihatkan Yang di-Pertuan Agong memanggil persidangan Dewan Rakyat selama lima hari yang bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos.

Persidangan lima hari itu juga akan menguji sokongan majoriti ahli parlimen terhadap Muhyiddin.

Ia selepas Umno mengumumkan penarikan semula sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri dan presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi mendesaknya meletak jawatan selepas mengadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi selama lebih empat jam.

Selain itu, Oh berkata persidangan semula Parlimen bagaimanapun tidak akan mengubah situasi politik ketika ini.

“Selagi keadaan darurat itu berlaku, undang-undang boleh diluluskan tanpa melalui proses pengundian. Ini kerana kerajaan boleh menggunakan kuasa darurat untuk mengisytiharkan undang-undang dalam bentuk ordinan.

“Kerajaan sentiasa boleh menggunakan kelebihan ini untuk menghalang sebarang usul tidak percaya daripada diluluskan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Marzuki Mohamad memberi jaminan bahawa ahli parlimen boleh berhujah dan mengundi ketika lima hari persidangan khas terbabit.

Namun, beliau tidak menjelaskan mengenai semua perkara dalam agenda yang akan dihujah atau diundi itu.