Moratorium tak bermakna jika tidak bebas faedah, kata Guan Eng


Moratorium pinjaman bank selama enam bulan tidak dapat mengurangkan beban kewangan peminjam sekiranya mereka perlu membayar faedah terakru lebih tinggi selepas moratorium, kata Lim Guan Eng.

PETALING JAYA: Moratorium selama enam bulan dianggap tidak bermakna dan tidak boleh mengurangkan beban rakyat Malaysia jika ia tidak bebas faedah bagi semua kecuali bagi mereka dalam kumpulan T20, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau mengingatkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz yang baru dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) bahawa moratorium pinjaman bank itu hanya membantu masalah kewangan pekerja dan perniagaan sekiranya ia bebas faedah.

Lim menggesa Perikatan Nasional (PN) supaya lebih berani dan mengarahkan Bank Negara (BNM) meminta bank mengecualikan faedah sepanjang moratorium kecuali bagi kategori T20.

“Tidak ada gunanya bagi kerajaan memberi moratorium pinjaman bank selama enam bulan sekiranya peminjam masih perlu membayar faedah terakru selepas moratorium. Kos keseluruhan pinjaman yang tinggi bagi mereka yang memilih moratorium ini telah diketengahkan oleh BNM.

“Ia memberi amaran kepada peminjam bahawa ketika bank mengecualikan faedah terkompaun atau faedah penalti, bayaran ditangguhkan, faedah masih terakru pada jumlah yang ditangguhkan itu,” kata bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walaupun pandemik Covid-19, bank tetap untung dan mereka sepatutnya melakukan tanggungjawab sosial korporat kepada lapan juta peminjam yang memohon moratorium itu.

Lim berkata, rakyat Malaysia sama ada mengalami pengurangan pendapatan atau langsung hilang mata pencarian manakala banyak perniagaan juga berdepan pengurangan aliran tunai yang drastik akibat penutupannya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata situasi semakin parah apabila kerajaan sendiri melaporkan terdapat lebih 90% perusahaan mikro, kecil dan sederhana berisiko gulung tikar, sementara Persatuan Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mendedahkan 100,000 perniagaan ditutup tahun lalu dengan lebih 50,000 akan mengalami nasib sama akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, beberapa bank masih mencatatkan keuntungan dalam tempoh suku pertama tahun ini dan terus memperolehi keuntungan selepas cukai yang memberangsangkan berjumlah RM32.3 bilion dan lebih RM23 bilion masing-masing pada 2019 dan 2020.

“Walaupun begitu, mereka tidak mengecualikan faedah terhadap pinjaman sewa-beli seperti moratorium pertama tahun lalu,” katanya.

No comments: