Kesusahan rakyat sekarang amat luar biasa,
syarat moratorium perlu dikaji balik. Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin mengumumkan tujuh pakej rangsangan ekonomi dan bantuan
bernilai RM380 bilion. Baru-baru ini, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan
Ekonomi (Pemulih) merupakan pakej rangsangan kelapan diumumkan di era pandemik
Covid-19 ini. Nama Pemulih juga adalah selari dengan nama pelan yang diumumkan
oleh kerajaan baru-baru ini iaitu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pakej
Pemulih bernilai RM150 bilion dan merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan
sebanyak RM10 bilion. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pakej rangsangan
ekonomi dan bantuan yang diumumkan oleh kerajaan adalah berjumlah RM530 bilion
iaitu lebih daripada separuh trillion.
Sekiranya
dicampur dengan Belanjawan 2021 iaitu RM322.5 bilion, maka jumlah keseluruhan
adalah bernilai RM852.5 bilion. Ini merupakan perbelanjaan terbesar dalam
sejarah negara iaitu dari Mac 2020 sehingga Disember 2021 bagi berhadapan cabaran
ekonomi terbesar yang dihadapi selepas kemerdekaan yang turut melibatkan dua
krisis yang berlaku secara serentak pada ketika ini iaitu krisis kesihatan dan
ekonomi.
Perkara ini berlarutan lebih 15
bulan dan ia akan berterusan sehingga tercapai sepenuhnya tiga indikator yang
ditetapkan oleh kerajaan melalui PPN iaitu bilangan kes harian Covid-19, kadar
penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan rakyat yang telah
lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
Melalui
Pemulih, ia berjaya memberikan nafas kelegaan kepada semua rakyat dengan
bantuan lebih menyeluruh mencakupi semua aspek penting yang perlu diberikan
penekanan dalam konteks Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat, Menyokong Perniagaan
dan Meningkat Vaksinasi.
Pemulih
dilihat sebagai satu inisiatif serampang dua mata iaitu dari satu kaca mata, ia
mengangkat beban yang dipikul oleh rakyat antaranya dalam konteks penangguhan
pembayaran pinjaman, menangani isu kenaikan harga minyak masak serta memberikan
diskaun bayaran bil elektrik.
Dari sudut lain selepas kerajaan mengangkat
beban sebahagian besar pinjaman yang dipikul oleh rakyat semasa tempoh enam
bulan ini, maka kerajaan memberikan bantuan tunai kepada rakyat yang sebahagian
besarnya terkesan dengan pandemik Covid-19 dan berkurangan sumber pendapatan
untuk berbelanja khususnya membeli barangan keperluan harian dan makanan.
Saya
memberikan fokus kepada usaha mengangkat beban paling utama ditanggung oleh
rakyat pada ketika ini dalam berhadapan kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
3.0 iaitu memberikan moratorium selama enam bulan melalui kerjasama pihak bank
kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20 dan
usahawan mikro tanpa sebarang syarat dan tanpa sebarang dokumentasi diperlukan.
Ini merupakan antara kelegaan terbesar dirasai rakyat pada ketika ini yang
tertekan dengan pinjaman ditanggung oleh mereka dalam keadaan pengurangan
pendapatan dan kehilangan pekerjaan.
Namun,
dalam pelaksanaan moratorium kali ini, beberapa penambahbaikan perlu diberikan
perhatian oleh kerajaan melibatkan empat perkara utama. Pertama, walaupun bank
tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada
peminjam, namun ia dikatakan masih bukan sifar kadar faedah. Pada ketika ini,
rakyat berhadapan kesukaran amat luar biasa dan memerlukan lebih banyak
pertolongan dan bantuan daripada kerajaan agar dapat mengangkat semua faedah
dalam moratorium yang diberikan selama enam bulan ini.
Pelaksanaan
ini juga dijangka tidak memberikan kesan besar kepada institusi perbankan
dengan mengambil kira impak pelaksanaan moratorium semasa PKP 1.0 yang juga
selama enam bulan iaitu dari 1 April 2020 hingga 30 September 2020 dan bank
masih memperoleh keuntungan bersih bagi 2020. Terdapat juga bank yang mana
keuntungan bersih mereka pada 2020 adalah lebih daripada RM6 bilion. Walaupun
keuntungan mereka berkurangan pada 2020 jika dibandingkan dengan 2019, namun
pada ketika rakyat amat tertekan dengan masalah kewangan, pelaksanaan
moratorium enam bulan tanpa sebarang syarat, tanpa sebarang dokumentasi dan ia
perlu ditambah tanpa sebarang faedah agar usaha daripada kerajaan dilihat
bertepatan dengan keadaan semasa yang amat mencabar.
KOPERASI
Kedua,
kerajan perlu mengadakan rundingan dengan institusi kewangan bukan bank yang
tidak terikat dengan pelaksanaan moratorium seperti syarikat kredit, koperasi
dan lain-lain. Perkara ini penting disebabkan ramai kumpulan B40 dan M40
termasuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membuat pinjaman
dengan institusi kewangan bukan bank walaupun sebahagian besar pinjaman adalah
berskala kecil.
Ketiga, bayaran penggunaan kad kredit. Bank
akan menawarkan moratorium enam bulan untuk bayaran ansuran semua kemudahan
pinjaman kecuali kad kredit. Oleh yang demikian, disebabkan kadar faedah kad
kredit adalah amat tinggi iaitu sekitar 17 hingga 18 peratus, maka bank tanpa
menunggu perlu segera menukar baki tunggakan kad kredit kepada pinjaman atau
pembiayaan dengan kadar keuntungan atau faedah dikurangkan menjadi empat hingga
lima peratus sahaja. Ia akan dapat mengurangkan kadar faedah sekurang-kurangnya
sehingga 12 hingga 13 peratus dan membantu meringankan beban rakyat.
Terakhir,
salah satu perkara penting yang perlu diberikan pertimbangan oleh kerajaan dan
bank yang mana sebelum ini pelaksanaan moratorium tidak diberikan kepada akaun
pembiayaan yang sudah melebihi tunggakan 90 hari. Perkara ini perlu
dipertimbangkan semula disebabkan mereka yang tidak mampu untuk membayar
ansuran sebelum pelaksanaan PKP 3.0, maka tentu sekali mereka juga hampir pasti
sukar untuk membayar ansuran pada ketika ini. Oleh yang demikian, kerajaan dan
bank boleh pertimbangkan untuk diberikan moratorium sekurang-kurangnya selama
tiga bulan kepada mereka yang mempunyai tunggakan melebihi 90 hari.
Hal
ini disebabkan oleh semakin tinggi tunggakan bayaran ansuran mereka maka
semakin tinggi tekanan dan beban yang ditanggung. Usaha memberikan moratorium
sekurang-kurangnya tiga bulan ini sedikit sebanyak boleh mengurangkan tekanan
dan beban yang ditanggung oleh mereka. Walaupun diakui bank tidak menerima
ansuran daripada mereka selama lebih 90 hari, namun dalam situasi luar biasa
ini bank boleh berkorban sedikit untuk memberikan pertimbangan bagi membantu
kumpulan ini.
Selain
itu, kerajaan juga memperluaskan penangguhan pembayaran termasuk dalam konteks
pinjaman pendidikan iaitu dengan memberikan moratorium bersasar selama tiga
bulan kepada peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN), menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima
biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan, menangguhkan bayaran balik pinjaman
pelajaran Mara untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik
pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan serta
menangguhkan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran
(PTPK) selama tiga bulan.
Pemberian diskaun elektrik juga sesuatu yang
amat dinantikan oleh rakyat pada ketika ini dan kerajaan telah mengambil
tindakan yang tepat dengan memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga
40 peratus selama tiga bulan berdasarkan kadar penggunaan elektrik ditetapkan.
Fokus
kerajaan seterusnya dalam mengangkat beban rakyat adalah melaksanakan
pengawalan harga barang. Di saat rakyat berhadapan masalah kewangan, maka tidak
sepatutnya berlaku kenaikan harga barang. Justeru, kerajaan mengambil langkah
bertepatan dalam melaksanakan program harga kawalan berasaskan nilai ambang
Crude Palm Oil agar minyak masak botol lima kilogram dapat dikawal supaya tidak
melebihi RM30 sebotol serta peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion agar rakyat
masih dapat membeli minyak masak pek polibeg satu kilogram pada harga
bersubsidi RM2.50. Ia akan dapat membantu rakyat khususnya penjaja kecil yang kerap
menggunakan minyak masak dalam perniagaan termasuk mereka yang terjejas
pendapatan mereka.
Profesor
Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan
dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Berita Penuh : https://www.utusan.