SIFAT TERTUTUP MAHIADDIN LEBIH MUDAH MEMBAWA JATUHNYA KERAJAAN PN

 

Sepertimana pernah saya tulis sebelum ini, terdapat pemimpin Bersatu sendiri mengakui kerajaan PN pimpinan Mahiaddin Md Yasin sekarang memang sedang terumbang-ambing dan tidak mustahil akan terbalik jika PRU diadakan dalam waktu terdekat ini.

Antara punca keadaan itu ialah kegagalan Mahiaddin sendiri tampil dengan segera dan pantas menjawab sebarang isu yang timbul dan yang menjadi pertikaian dalam masyarakat.

Apabila isu-isu tidak dijawab dan Mahiaddin pula ebih selesa dengan sikap membisunya, barah kemarahan rakyat akan terus merebak dan akhirnya sukar diubati sama sekali.

Bagi pemimpin Bersatu berkenaan, ramai dalam partinya juga turut rimas dengan keadaan yang berlaku sekarang di mana bukan saja asakan tambah berterusan, bahkan dengan jelas memperlihatkan kegagalan PN sebagai sebuah kerajaan.

Tetapi, katanya, sebagai orang parti, bukanlah mudah bagi beliau dan sesiapa saja daripada Bersatu untuk memberi pendapat atau pandangan kepada Mahiaddin untuk tujuan memperbaiki keadaan buruk sedia ada ini.

“Beliau adalah pemimpin yang tertutup dan tidak suka orang lain memberi pandangan yang berbeza, apa lagi jika pandangan itu dilihat seperti mahu mengajarnya untuk bertindak atau melakukan sesuatu,” tambah pemimpin berkenaan lagi.

Dengan itu, katanya, bukan semua orang boleh melontarkan pandangan yang tidak sesuai halwa telinga Mahiaddin.

Ujar beliau, penampilan Mahiaddin dalam bual bicara khas baru-baru ini yang tak kisah dirinya dianggap bodoh adalah gambaran sifat tertutupnya itu.

“Nama mahu akur kepada pandangan dan kehendak ramai adalah tidak mungkin sama sekali, beliau malah lebih rela dianggap bodoh asalkan dapat mengekalkan pendiriannya,” demikian hujah pemimpin Bersatu berkenaan.

Katanya, beliau juga pernah mendengar ada pemimpin Bersatu lain yang cuba “memberi nasihat” kepada Mahiaddin berhubung isu politik semasa, tetapi kena bidas akhirnya.

Mahiaddin dikatakan membidas pemimpin tersebut dengan berkata, beliau mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam politik dan tahu apa yang harus dilakukannya untuk menangani apa saja kemelut yang timbul.

Awak ingat saya tak tahu apa-apa, demikian antara kata-kata Mahiaddin kepada pemimpin yang cuba memberi nasihat kepadanya itu.

Dengan perkara itu bukan lagi menjadi rahsia di kalangan pimpinan Bersatu, tiada sesiapa lagi yang berani memberi apa-apa pandangan kepada Mahiaddin.

Begitu pun, beliau tidak menafikan mereka yang mungkin masih berpeluang memberi pandangan atau pendapat kepada Mahiaddin hanyalah orang tertentu di sekelilingnya yang sebahagiannya ada kepentingan peribadi dengan Perdana Menteri.

“Sudahnya itulah yang berlaku dalam kerajaan sekarang, sedangkan kita sebagai pemimpin parti mahu melihat Bersatu dan PN ini kekal lebih lama lagi sebagai kerajaan,” ujar beliau dengan nada kecewa.

Seorang bekas pegawai yang pernah bekerja dengan Mahiaddin di sebuah kementerian mengakui Presiden Bersatu itu adalah seorang yang mempunyai ego agak tinggi, sukar menerima pendapat yang berbeza, apa lagi yang berbentuk nasihat atau kritikan kepadanya.

Kata beliau, Mahiaddin yang dikenalinya adalah seorang yang tidak suka orang lain cuba menunjuk ajar atau memberi nasihat kepadanya, memberitahunya bagaimana harus melakukan sesuatu atau banyak cakap di depannya.

“Beliau lebih suka dengan orang yang diam, akur dan tidak banyak cakap dan hanya bercakap apabila diminta saja.

“Jangan cuba-cuba memberi apa-apa nasihat kepadanya jika tidak diminta.

“Semasa jadi menteri pun egonya cukup tinggi, setelah jadi Perdana Menteri sekarang, saya percaya egonya pasti lebih tinggi,” kata bekas pegawai itu lagi.

Dengan asakan ternadap kerajaan kian bertambah dan berterusan serta banyak isu yang menghakis keyakinan rakyat muncul tanpa henti, sementara Mahiaddin kekal dengan sifat tertutupnya itu, pemimpin Bersatu itu bimbang ia akan lebih menyumbang kepada mudahnya lagi kerajaan PN ini dijatuhkan.

Katanya, untuk berlawan dengan kebangkitan rakyat, ia memerlukan penglibatan banyak pihak, bukan cukup dengan pemikiran seorang Perdana Menteri atau kelompok kecil saja yang memberi idea, pandangan serta nasihat kepadanya. 


(ShahbudinHusin 26/05/2021)


No comments: