KES COVID19 TERUS MENINGKAT, INI SURAT TERBUKA UNTUK ELIT BERKUASA

 

Berita Antarabangsa CNN tengahari ini menyatakan Parlimen United Kingdom akan menyiasat Kerajaan United Kingdom pimpinan Perdana Menteri Boris Johnson dalam hal bagaimana Kerajaan UK itu menangani Pandemik Covid-19.

Ini adalah satu contoh proses semak dan imbang antara badang perundangan Parlimen dengan badan kerajaan yang dipanggil Eksekutif.

Ini juga satu contoh prinsip pengasingan kuasa antara Parlimen dengan Eksekutif.

Ini juga amalan yang dipakai dalam sistem demokrasi berparlimen.

Parlimen United Kingdom yang telah berusia 800 tahun itu bukanlah satu contoh ideal, unggul dan sempurna.Banyak kekurangan dan kelemahannya juga.

Walaubagaimana pun, hakikatnya Parlimen Malaysia menggunapakai dan mengamalkan sistem demokrasi parlimen corak dan bentuk Parlimen United Kingdom itu.

Bezanya, Kerajaan United Kingdom pimpinan PM Boris Johnson mempunyai keabsahan atau legitimasi. Manakala Kerajaan PM Mayuddin Yassin di Malaysia tidak ada keabsahan atau legitimasi.

Kerajaan Konservatif di United Kingdom sekarang memiliki majoriti yang lebih dari cukup di Parlimen.Manakala Kerajaan Perikatan Nasional di Malaysia tidak ada majoriti dan takut menghadapi Undi percaya atau undi tidak percaya di Parlimen.

Kerajaan United Kingdom tidak mengisytiharkan Darurat untuk menangani Pandemik Covid-19. Mereka mengutamakan program vaksinasi yang segera, dan meluas di seluruh negara mereka. Manakala di Malaysia Darurat diisytiharkan tetapi krisis Covid-19 semakin teruk dan jumlah kematian semakin bertambah.Program vaksinasi di Malaysia antara yang paling lembab dan perlahan di Asia Tenggara sehingga meresahkan rakyat.

United Kingdom sama ada sistem monarkinya di Buckingham Palace, institusi parlimennya di Westminster dan Kerajaan kolonialnya yang berpusat di No.10 Downing Street semuanya mempunyai dosa menjajah wilayah dan umat manusia hampir separuh planet bumi pada satu ketika dulu termasuk tanahair kita, Malaysia.

Hakikat itu kita tidak pernah lupa dan tidak pernah kita maafkan.

Namun dalam segala yang buruk dan menjengkelkan itu masih ada yang positif dan yang waras lahir dari United Kingdom iaitu PM Boris Johnson dan Queen Elizebeth II tidak mengisytiharkan Darurat di UK dan tidak menggantung Parlimen UK.

Dalam krisis Covid-19 yang semakin buruk di Malaysia, saya Hassan Abdul Karim meminta supaya Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara mengeluarkan satu dekri supaya Parlimen segera dibuka dan Darurat ditamatkan.

Sebagai seorang ahli parlimen yang menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan, saya telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru. Saya telah memohon melalui Judicial Review atau Semakan Kehakiman supaya Darurat segera ditamatkan dan Parlimen dibuka.

Malangnya permohonan saya itu telah ditolak oleh Mahkamah. Saya telah membuat rayuan seterusnya di Mahkamah Rayuan Malaysia.

Saya bimbang rayuan saya itu akhirnya menjadi akademik semata-mata. Saya sudah tidak sanggup menutup mata, memekakkan telinga dan mengunci mulut ketika setiap hari semakin ramai rakyat mati kerana Covid-19.

Angka jangkitan positif sudah melebihi setengah juta, tetapi peratusan rakyat menerima suntikan vaksin terlalu sedikit.Krisis kesihatan awam sekarang di Malaysia menghampiri keadaan malapetaka.

Saya percaya tugas dan tanggungjawab ahli parlimen sebagai wakil rakyat ialah bersuara untuk rakyat.Maka inilah yang saya lakukan.

Surat terbuka ini saya tujukan kepada Golongan Elit yang berkuasa sekarang.Sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

26 Mei 2021 (Rabu).

No comments: