Tajuddin Rahman, letak jawatan; reformasi pelantikan GLC segera!


Tajuddin Rahman

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendesak agar pengerusi Prasarana Malaysia Berhad Tajuddin Rahman, yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak meletak jawatan dengan segera berikutan sikap beliau yang tidak profesional dan kompeten dalam menangani kemalangan LRT Kelana Jaya baru-baru ini.

Sikap beliau yang tidak semenggah dan profesional menunjukkan bahawa pelantikan ahli politik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan akan menatijahkan kesan yang serius terutamanya apabila ahli politik yang dilantik tidak mempunyai kelayakan sama sekali untuk menerajui badan yang penting seperti Prasarana.

Sidang media yang dikendalikan oleh beliau jelas menunjukkan beliau tidak ada idea yang kukuh untuk membela mangsa yang terlibat, malah seperti memandang enteng kemalangan yang melibatkan 213 orang penumpang di mana seramai 47 penumpang cedera parah dan 166 lagi cedera ringan.

Adakah masuk akal negara perlu membazirkan jutaan ringgit hanya untuk menjaga ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar sesetengah pihak terus memegang tampuk kekuasaan? Sangat terang lagi bersuluh bahawa lantikan politik sebegini tidak memberi keuntungan kepada rakyat dan perkara ini perlu diubah dengan segera.

Justeru, Bersih 2.0 menggesa agar suatu siasatan bebas dilakukan segera untuk menyiasat punca kemalangan dan membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan. Pampasan dengan jumlah yang wajar juga perlu diberikan kepada semua mangsa terutamanya mereka yang cedera parah dalam kemalangan tersebut.

Bersih 2.0 juga mengajak semua rakyat Malaysia untuk mendesak kerajaan persekutuan agar segera menggubal akta syarikat berkaitan kerajaan supaya ahli politik terutamanya wakil rakyat tidak lagi dilantik ke dalam syarikat berkaitan kerajaan sebagai habuan sokongan kepada kerajaan.

Kita boleh memulakan usaha mulia untuk mendesak agar Tajuddin Rahman meletakkan jawatan sebagai pengerusi Prasaran dengan segera dengan menandatangani petisyen di https://www.change.org/p/prasarana-letakjawatantajuddin

Bersih 2.0 telah melancarkan satu laporan kajian untuk mereformasikan proses pelantikan pengarah atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan badan berkanun yang komersial.

Akta syarikat berkaitan kerajaan ini penting bagi memastikan calon yang benar-benar berkelayakan secara profesional serta berintegriti dipilih dan dilantik melalui proses yang telus, adil dan berakauntabiliti. Laporan tersebut boleh dimuat turun di pautan ini. – Bersih 2.0

No comments: