Astro Awani
Mei 26, 2021
Gerhana bulan penuh atau dipanggil Super Flower Blood Moon akan menyebabkan Bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 14 minit. - Foto Agensi Angkasa Malaysia
KUALA LUMPUR: Fenomena gerhana bulan penuh atau 'bulan berdarah' dijangka dapat disaksikan bermula sekitar jam 4.47 petang ini dan berakhir kira-kira jam 9.50 malam.
Rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak berpeluang menyaksikan fenomena tersebut ketika ia mencapai fasa gerhana separa manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya kelihatan ketika fasa gerhana telah maksimum.
Menerusi laman webnya, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, fenomena gerhana bulan penuh atau dipanggil Super Flower Blood Moon akan menyebabkan Bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 14 minit pada fasa gerhana penuh.
Fenomena gerhana ini akan berlaku selepas beberapa jam Bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi (perigee).
Ia berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra.
Umbra adalah bahagian bayang yang sangat gelap manakala penumbra, bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah.
Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih bersinar kepada kemerahan. Kesan umbra ini boleh dilihat dengan mata kasar.
Kemudahan teleskop di Planetarium Negara tidak dibuka susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun orang ramai boleh menyaksikan penstriman langsung di akaun media sosial Facebook dan YouTube Planetarium Negara.
Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, arahan Nabi Muhammad ialah, apabila melihat gerhana maka disunatkan untuk melakukan beberapa perkara.
Antaranya termasuk menunaikan solat sunat gerhana bulan (solat sunat khusuf), berzikir mengingati Allah, berdoa dan beristighfar memohon keampunan Allah.