RENCANA KHAS
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggelarkan
Pas sebagai parti pelacur politik. Gelaran itu diberi memandangkan sikap dan
tindak tanduk parti berkenaan yang tidak ada prinsip dan maruah dengan
mengadakan kerjasama politik dengan sesiapa sahaja.
Gelaran dibuat Tengku
Razaleigh itu tentu melihat kepada realiti yang berlaku. Satu masa parti itu
menentang Umno dan kini menerima Umno sebagai pakatan politik yang strategik.
Begitu juga satu masa parti itu bermusuhan dengan DAP, kemudian berpakat
kemudian bermusuh balik. Malahan dari semua aspek politik Pas meletakkan DAP
sebagai pendosa.
Sikap tidak istiqamah Pas
itu menyebabkan Tengku Razaleigh menggelar Pas sebagai pelacur politik. Lebih
sadis dari itu beliau minta agar dilawan (dikalahkan) dalam Piraum ke-15
kelak.
Ahli Parlimen itu mempunyai
bukti dan tawarikh panjang dalam mengenali hati budi munafik Pas serta
sifat-sifat jijiknya. Beliau adalah antara tokoh politik yang cukup arif dengan
telatah dan cara Pas berpolitik. Beliau terlibat sendiri baik ketika melawan
dan berkawan dengan Pas.
Tahun 1990 beliau pernah
berkerjasama dengan Pas ketika memimpin Parti Semangat Melayu 46,
mewujudkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Hasil kerjasama
itulah membolehkan Pas memerintah semula Kelantan setelah kerajaannya dirampas
Umno dalam Piraum 1978.
Antara dimeterai dalam
kerjasama itu, Pas bersetuju untuk menubuh kerajaan bersama dengan APU. Salah
satu janji adalah untuk memberi jawatan Timbalan Menteri Besar (TMB) kepada
Semangat 46 diikuti beberapa kerusi Exco dan jawatan eksekutif dalam GLC lainnya.
Tetapi saat kerajaan ditubuhkan janji itu dimungkiri. Jawatan
TMB diberikan kepada wakil Pas, (Abdul Halim Abdul Rahman) sementara wakil
Semangat 46 dilantik menjadi TMB ke-II (Mohd Rozali Ishok) yang tidak ada pun
dalam Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan. Kemungkiran Pas itu memberi
pengalaman pahit pertama buat Tengku Razaleigh macam mana Pas melanggar
janjinya sendiri.
Pengalaman itu menjadi
Ahli Parlimen Gua Musang itu sangat mengenali Pas yang menjadikan beliau tidak
mempercayai Pas. Namun Tengku Razaleigh seorang yang bersikap tasamuh,
beliau mesra kawan dan bersahabat dengan pemimpin Pas tetapi tidak lagi tidur
dalam perut Pas lagi.
Bertolak daripada sejarah
itulah, maka Tengku Razaleigh sangsi dengan Muafakat Nasional yang
dibentuk oleh Umno dengan Pas kini. Kesangsian Tengku Razaleigh itu berasas
apabila Pas kini lebih intim dengan PBBM berbanding dengan Umno, sedang Pas
terlebih dahulu mengadakan tahalul siyasi (ta'awun) dengan
Umno kemudian diikuti dengan pembentukan Mufakat Nasional dengan
Umno.
Malahan apa dinamakan
sebagai Piagam Muafakat Nasional pun ditanda tangani dengan Umno yang saksikan
ahli kedua-dua parti tersebut, ia dilangsungkan di PWTC. Tetapi apabila hadir
PBBM selepas rampasan kerajaan PH, Pas menjadi intim dengan PBBM. Pas mengubah
haluan dan cinta kasihnya daripada Umno kepada PBBM. Pas terpesona dengan
kedudukan dan jawatan. Celaka.
Tidak ada masalah kalau
pun Pas rapat dengan sesiapa sahaja. Itu strategi politik yang dihalalkan dalam
sistem demokrasi Barat aliran Machiavellisme. Tetapi apa yang
tidak disenangi dan mengilankan Tengku Razaleigh dan sesetengah pemimpin Umno
lain, apabila PBBM secara diam dan nyata bertujuan untuk membunuh Umno. Apabila
Pas seperti tidak membela Umno bahkan memberi sokongan kepada PBBM, inilah
menyebabkan timbul kemarahan dan kesangsian Tengku Razaleigh dan lain-lain
pemimpin terhadap setiakawan Pas yang dilihat secara langsung ikut mengizinkan
PPBM untuk membunuh Umno kepada Pas.
Saking marah itu, Tengku
Razaleigh mendesak partinya segera meninggalkan kerajaan PN dan serentak itu
memberi pukulan kepada Pas dengan menyokong penuh kalau Umno melawan Pas dalam
pilihan raya akan datang. Dalam erti kata lain secara peribadi Tengku Razaleigh
menolak kerjasama Umno dengan Pas.
Apakah harapan dan kemahuan
Tengku Razaleigh itu ikhlas atau setakat ocoh-ocohan semata-mata? Sekiranya apa
disebut Tengku Razaleigh itu sesuatu yang serius, dalam konteks Kelantan wajar
sekali kalau Pas ditewaskan dalam Piraum akan datang. Cadangan Tengku Razaleigh
itu suatu yang sangat terdesak. Dengan kegagalan Pas membangunkan Kelantan dan
menggunakan kepercayaan rakyat selama lebih 30 tahun, wajar kalau kerajaan Pas
ditukar ganti.
Justeru saranan Tengku
Razaleigh itu sangat bertepatan. Saranan itu juga akan disokong oleh rakyat
Kelantan yang waras dan sudah melihat dan sedar akan ketidak-mampuan Pas untuk
terus memerintah Kelantan. Banyak isu-isu yang tidak terungkap dan ditangani
Pas sedangkan parti itu sudah memerintah selama 32 campur 18 = 50 tahun.
Kegagalan Pas itu menyebabkan rakyat Kelantan merasa tertipu atau pun mandat
mereka disia-siakan sahaja.
Isu dan masalah klasik.
Isu klasik atau masalah
rakyat yang gagal diatasi banyak, antaranya seperti masalah kemudahan air
bersih dan beberapa prasarana lain yang setanding dengan negeri-negeri lain.
"Kelewehan" Pas dalam menjaga alam sekitar, mengawal pembalakan dan
perlombongan yang menyebabkan setiap tahun berlaku "banjir ajaib" di
Kelantan.
Begitu juga kegagalan Pas
memanfaatkan wang royalti Petroleum bernilai berbillion ringgit mengecewakan.
Belum ada apa-apa projek sebagai tanda mata yang dibangunkan dengan wang
royalti tersebut. Rakyat tidak nampak apakah manfaat dibangunkan untuk mereka
hasil daripada royalti.
Apa yang ada dan
kelihatan berubah ialah para pemimpin misalnya wakil rakyat dibelikan Mercedes
Benz (14 buah) bernilai jutaan ringgit dan diberikan wang saku (peruntukan)
sebanyak RM50,000 tiap seorang.
Bukan itu sahaja taraf
sosial rakyat Kelantan juga masih terkebawah berbanding dengan negeri-negeri
lain. Kelantan masih kekal menduduki negeri kedua termiskin di Malaysia selepas
Sabah. Status ini memalukan dan jelas menunjukkan ketidak-mampuan kerajaan Pas
Kelantan melonjakkan pembangunan material dan pembangunan sosial-ekonomi di
Kelantan. Kadar pengangguran, jenayah dadah, jenayah sex luar tabii
(membabitkan agamawan) dan lain-lain tidak menunjukkan pengurangan bahkan
bertambah dari tahun ke tahun.
"Kelemauan"
kerajaan Kelantan itu membimbangkan sekali. Ia tidak boleh dibiarkan berterusan
kerana menganiayakan rakyat Kelantan. Justeru jalan terbaik ialah kerajaan
Kelantan perlu diubah, Pas tidak seharusnya diberi mandat lagi untuk terus
memerintah Kelantan Piraum ke-15 kelak.
Apa lagi kalau ditakdir
Pas menang dan Mohd Amar Nik Abdullah dilantik menjadi MB,
banyak lagi kelukaan dan kesedihan yang berlaku dan dialami oleh rakyat
Kelantan. Apakah rakyat Kelantan sanggup menelan hujah-hujah dan helah bodoh
dan simplistik yang Pandir diberikan oleh Mohd Amar setiap kali dihadapkan
masalah kepadanya?
Bukan mudah.
Persoalannya kini, untuk
melakukan itu bukan semudah yang disebut dan difikirkan. Paling merumitkan
apabila rakyat Kelantan seperti sudah selesa dan menerima hakikat apa yang ada
di Kelantan kini. Keunikan rakyat Kelantan yang disebut dan dibanggakan masih
berlaku dalam politik, mereka terus unik dalam memilih kerajaan, berbeza dengan
rakyat negeri lain.
Itu tidak boleh
disalahkan kepada rakyat Kelantan. Sebagai masyarakat yang didendangkan dengan
jaminan Syurga mereka sanggup menghirup debu dan memakan embun asalkan
dijanjikan Syurga di akhirat. Doktrin Pas sejak tahun 1960 sudah, atau 70 tahun
lalu cukup hebat. Secara psikologi dan sosiologi perlu dirombak doktrin
berkenaan kalau tidak mahu lihat Pas menjadi kerajaan. Tetapi itu bukan mudah.
Doktrin yang dilekat di
minda rakyat Kelantan itu baru akan berubah apabila berlakunya perubahan
kerajaan. Perubahan kerajaan menyebabkan projek atau program indoktrinasi
akan tergencat dan perlahan-lahan akan ludes (runtuh). Itulah cara
terbaik dan paling pantas.
Kebimbangan ini
sebenarnya sudah disedari sejak dua atau tiga puluh tahun lepas. Lantaran itu
usaha untuk menukarkan kerajaan telah dilakukan oleh Umno sejak zaman Nik Abdul
Aziz Nik Mat jadi MB Kelantan lagi. Namun ia gagal. Rakyat Kelantan
teruja dengan agenda Islam dan saksiah Nik Aziz sebagai pemimpin. Peluang
terbaik untuk ditukar kerajaan ialah pada tahun 2004 dan terbaharu dalam Piraum
ke-14 lalu, tetapi gagal.
Tahun 2004 kerajaan
Pas sudah hampir-hampir ghuyub. Pas memerintah dengan dua kerusi sahaja.
Bagaimana pun kekalahan itu diperbaiki hingga Pas mendapat majoriti 2/3 semula
pada Piraum berikutnya. Dan terbaharu ialah pada Piraum lalu. Arus perubahan
dan tsunami politik yang sudah melanda Pantai Barat, Selatan dan Utara tidak
terbabas ke Kelantan. Kelantan dan Terengganu terselamat, terus dalam
rangkulan Pas. Kelantan dan Terengganu diselamat oleh banjaran
Titiwangsa.
Kekalahan atau kegagalan
untuk merampas Kelantan dalam pilihan raya lalu, sebenarnya tidak perlu
ditakuti atau dijadikan suatu mitos yang kerajaan Pas tidak boleh digugat.
Mengatakan Pas tidak boleh dikalahkan satu khurafat, sebab Pas pernah ditumbang
pada tahun 1978. Sesungguhnya kerajaan Pas boleh ditumbangkan sekiranya ada
kerjasama yang memberi impak dalam pilihan raya akan datang.
Bentuk team khas.
Di sini ada formula macam
mana untuk menukar kerajaan Kelantan pada Piraum akan datang. Jika pun kerajaan
Pas tidak jatuh ia boleh menggugat kerajaan berusia 32 tahun itu untuk tidak
mendapat majoriti di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Formulanya adalah perlu
dibentuk satu team untuk menentang Pas dalam Piraum akan datang.
Team itu itu boleh
diumpamakan Team Bolasepak. Anggap politik di Kelantan sebagai game bolasepak.
Sejarah telah mencatatkan team sepak bola di Kelantan pernah mencapai kejayaan
gemilang dengan merangkul tiga tiga piala, triple. Siapa pun tidak pernah
terfikir team bolasepak Kelantan mampu sampai ke tahap itu. Tetapi itu sudah
direkod dan dilakarkan.
Nah begitulah team
politik yang hendak tumbangkan Pas di Kelantan harus kental seperti team bola
sepak Kelantan semasa dipimpin Annuar Musa itu. Sekiranya
Annuar Musa masih seperti dahulu sudah tentu Annuar Musa akan dimasukan dalam
team untuk merampas Kelantan ini. Tetapi sayang kini Annuar Musa lebih menjaga
dirinya daripada nasib rakyat Kelantan.
Kekuatan dan kejayaan
bola sepak Kelantan dahulu, bukan diuruskan oleh Kafa, yakni Persatuan
Bolasepak Kelantan, tetapi oleh Red Warrior, sebuah
syarikat. Dalam erti kata lain, ia diswastakan. Kalau ia diuruskan
oleh Kafa mungkin bola sepak Kelantan tidak berbah dan berdaya maju mustahil
dapat merangkul piala.
Begitu juga dalam
politik, harus diswastakan untuk menumbangkan Kelantan jangan diserahkan kepada
mana-mana parti secara bersendirian. Makanya untuk menghadapi pilihan raya akan
datang perlu dibentuk team khas yang terdiri daripada beberapa parti utama dan
ia bukan diserahkan kepada sesebuah parti sahaja.
Jika ia diserahkan kepada
sesebuah parti katakan kepada Umno, ia tidak akan dapat menandingi Pas. Umno
tidak mampu berhadapan Pas dengan bersendirian. Begitu juga kalau diserahkan
kepada parti-parti dalam PH ia tidak dapat menguggatkan Pas. Apa lagi
pencapaian PH dalam pilihan raya lalu di Kelantan sangat menyedihkan.
Sekiranya ada hasrat
serius untuk merubahkan kerajaan Kelantan perlu diwujudkan satu team atau
pasukan khas ini. Ia tidak boleh dilawan Pas secara bersendirian atau pun
mengguna pakai pakatan sebelum ini atau tektikal sama. PH tidak mampu untuk
mendepani Pas. Apa lagi kalau Pas benar akan berkolaborosi dengan PBBM, semakin
sulit. Mereka yang berada dalam team atau muafakat ini hendaklah sejati dan
mempunyai niat yang sama untuk membela Kelantan dengan menafikan Pas daripada
terus berkuasa di Kelantan.
Ada beberapa individu
atau tokoh politik yang dilihat mempunyai aura dan mempunyai pengaruh peribadi
masing-masing. Mereka ini boleh bergabung dalam team ini. Dengan ada ura-ura
yang Umno ingin bekerjasama dengan PH di Kelantan ia satu peluang terbaik untuk
membawa dimensi politik baru di Kelantan. Kerjasama ini boleh digagaskan Team
Pembela Rakyat Kelantan Piraum 15.
Perlu disedari juga
kemantapan team ini akan mempengaruhi pengundi di Kelantan khasnya mereka yang
berada diluar Kelantan, perantau. Anak Kelantan yang berada diluar dan mengundi
di Kelantan sekitar 160,000 hingga 200,000. Mereka adalah menjadi penentu
kepada kemenangan mana-mana parti atau pakatan di Kelantan. Kemenangan Pas di
Kelantan dalam beberapa pilihan raya lalu adalah kerana sokongan pengundi
luar.
Parti politik menjadikan
pengundi luar ini sebagai "gunda" mereka. Beberapa pilihan raya Umno
gagal untuk mempengaruhi pengundi luar ini kerana itu parti itu gagal untuk
merampas Kelantan, dan kalah di malam terakhir. Kenapa ini berlaku ialah kerana
beberapa faktor. Antaranya kerana mereka lihat Pas lebih bersih daripada Umno.
Selain itu mereka juga takut kalau memilih Umno akan terhumban ke dalam neraka.
Tetapi anggapan itu sudah tidak ada lagi apabila Pas telah "menyamak"
pendirian politiknya, sudah boleh bergabung dengan sesiapa sahaja, perubahan
kepercayaan ini peluang baik buat pembangkang di Kelantan.
Untuk mewujudkan team
yang mantap dan diyakini ini saya lihat ada beberapa individu perlu bergabung
tenaga. Bergabung atas satu niat. Saya melihat mereka ini ada aura dan pengaruh
tersendiri. Mereka juga ada kepakaran dan track record sebagai
politis tersendiri, setidak-tidaknya diharap untuk memimpin Kelantan.
Mereka ialah Tengku
Razaleigh Hamzah, Ibrahim Ali, Husam Musa, Wan Abdul Rahim dan Ahmad
Jazlan Yaacob. Kebetulan mereka ini adalah pemain utama dan menjadi
pemimpin parti, seperti Ahmad Jazlan menjadi Pengerusi Umno Kelantan. Wan Rahim
adalah penasihat Parti Amanah Negara (Amanah). Manakala Tengku Razaleigh dan
Husam walaupun hanya selaku ketua bahagian dan kawasan tetapi mereka yang cukup
dikenali di Kelantan dan menjadi ikonik politik di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Begitu juga dengan
Ibrahim Ali selaku presiden parti Putra, seorang tokoh yang dilihat
menghabiskan usianya dengan berbakti kepada rakyat Kelantan menerusi politik.
Jika diumpamakan mereka
sebagai team bola sepak Kelantan, Tengku Razaleigh merupakan penasihat, Husam
sebagai jurulatih, Ibrahim sebagai pengurus teknikal, Wan Rahim pula sebagai
pelatih fizikal dan Jazlan pula selaku Bendahari. Selain mereka itu, mereka
akan dibantu oleh pemain profesional lain seperti Ramzi Abdul Rahman, Alwi
Che Ahmad, Fatmi Che Salleh, Abdul Aziz Drasid, Adhan
Awang Kecil dan lain-lain sebagai pemain.
Kalau individu ini ikhlas,
insaf dan bersedia untuk sepakat team pembela Kelantan itu boleh dibentuk. Kita
percaya team ini yang terdiri daripada professional akan diyakini oleh pengundi
luar. Pasti bila diadakan perlawanan nanti mereka akan kembali dan akan
memenuhi Stadium Sultan Muhammad ke IV untuk memberi sokongan. Golll.....
Namun sekiranya dalam
pilihan raya akan datang mereka akan turun padang (pilihan raya) dengan pasukan
mereka masing-masing, menggunakan team lama yang sudah beberapa kali tewas,
mereka bukan sahaja tidak akan berjaya merangkul piala kemungkinan mereka juga
akan turun di division atau terkeluar terus dari liga bola sepak. [wm.kl.
10:09 pm 12/03/2021]