Jawatankuasa Pendidikan Blok Pembangkang mengkritik cara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam mengendalikan maklumat jangkitan Covid 19 di sekolah.

Menurut jawatankuasa itu, KPM perlu lebih telus membekalkan maklumat kepada para ibu bapa dan memberi autonomi kepada sekolah-sekolah menentukan sama ada boleh dibuka atau ditutup berdasarkan situasi di sesebuah sekolah.

"KPM perlu telus dalam memberikan maklumat kepada awam mengenai kes Covid-19 di sekolah. Perkongsian data akan memudahkan semua pihak untuk menjadi lebih bersedia melawan Covid-19 di kawasan mereka.

"Satu-satunya cara untuk melindungi sekolah dan anak-anak kita adalah dengan ketelusan dari pihak KPM serta komitmen untuk memperkasakan pemegang taruh tempatan termasuk ibu bapa dalam usaha tersebut.

"Jawatankuasa ini pada 20 Februari lalu telah menggesa kerajaan memberi autonomi kepada pihak sekolah yang merangkumi pengurusan sekolah, PIBG dan Lembaga Pengarah (jika ada) untuk membuat keputusan bersama dalam menentukan buka atau tutup sekolah mengambil kira keadaan dan kadar kes di kawasan masing-masing. Ini perlu dilaksanakan dengan segera," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut jawatankuasa itu lagi, kegagalan KPM berkongsi maklumat segera menimbulkan spekulasi liar dan tidak diingini dalam kalangan keluarga murid.

Menurut mereka, spekulasi yang tidak wajar mungkin menakutkan para ibu-bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

"Ibu bapa dan masyarakat tempatan pasti berasa resah jika sekolah menjadi pusat penyebaran jangkitan dan mewujudkan kluster baharu.

"Punca keresahan ini timbul kerana tiadanya perkongsian data oleh pihak KPM berkenaan sekolah yang terlibat dengan jangkitan Covid-19 dan tiada ruang untuk masyarakat setempat melibatkan diri dalam melindungi sekolah di kawasan masing-masing.

"Kerajaan menyeru rakyat untuk memberi kerjasama melawan Covid-19 namun rakyat dan dalam isu ini, warga sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat tidak diberi kuasa, ruang dan sumber untuk melibatkan diri dalam usaha melindungi sekolah dan anak-anak kita," kata mereka lagi.

Untuk rekod, baru-baru ini Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cempaka, Tampoi, Johor Bahru diarah tutup sehingga 25 Mac berikutan jangkitan Covid-19.

Turut ditutup ialah SK Abang Ali dan SK St Mary, di Sibu, selepas peningkatan kes kumulatif kepada 52 dan 43 masing-masing pada 18 Mac lalu.

 

No comments: