RIBUT DALAM CAWAN KOPI KEADILAN PASIR GUDANG

 


Saya ingin jadi Orang Tua yang tidak terlibat tetapi ingin jadi pendamai yang neutral dalam taufan kecil dunia politik Parti Keadilan Rakyat di Pasir Gudang. Sebenarnya krisis ini kecil sahaja ibarat ribut dalam cawan kopi tetapi badai tempiasnya terpukul juga kepada Majlis Pimpinan Keadilan Johor (MPN).

2. Tidak baik sebetulnya, mendedahkan masalah rumah tangga sendiri - keluarga Keadilan Johor dan Pasir Gudang- ini di khalayak ramai, ibarat mendobi baju di tepi Lebuhraya Pasir Gudang yang banyak berlubang itu. Tetapi apabila ribut dalam cawan kopi ini telah tular dan virel ke seluruh sudut planet bumi angkara internet tanpa sempadan ini, lalu saya terpaksa bercakap juga.

3. Saya dijemput ke Mesyuarat Permuafakatan pada 25 Mac ini untuk menyelesaikan satu masalah berbangkit tentang perlantikan Timbalan Ketua Cabang menjadi Ketua Cabang Parti Keadilan Pasir Gudang berikutan kematian Ketua Cabang yang terdahulu baru-baru ini. Sebenarnya perkara penggantian Ketua Cabang ini mudah sahaja, tetapi kerana salah ditangani, lalu ia menjadi ribut kecil tak pasal-pasal.

4. Tetapi itulah politik. Jika tiada krisis, maka bukan politik namanya.Politik peringkat akar umbi ini kita boleh namakan politik cabang.Politik peringkat cabang ini berlaku di mana-mana dalam Parti demokrasi terbesar di Malaysia iaitu Parti Keadilan Rakyat. Biarkanlah aktivis-aktivis politik di peringkat akar umbi ini sedikit kebebasan berpencak silat atau bertaichi dan belajar mengasah gigi dan senjata politik, untuk mendapat kemahiran basic, sebelum masuk ke arena atau gelanggang politik yang lebih besar, ibarat sangkar singa, bak kata Pramodeya Anantatoer, Sasterawan terkenal Indonesia dalam Novelnya berjodol Rumah Kaca.

5.Kembali kepada Ribut Dalam Cawan Kopi di Pasir Gudang, saya percaya ianya boleh diselesaikan dengan baik. Dengan semangat setiakawan seperjuangan dalam Parti Keadilan, maka satu rumusan muafakat akan dapat dicapai berlandaskan perundangan di bawah Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat yang kaya dengan amalan konvensyennya yang dinamik. Anggota Keadilan sudah matang menghadapi pertentangan. Yang mana pertentangan hidup mati, atau berkerat rotan; berpatah arang. Yang mana pula pertentangan antara sesama rakan sama parti dan seperjuangan yang bersifat: Carik-carik bulu ayam; akhirnya bertaut juga. Atau air dicincang tidak akan putus.

6. Untuk sementara waktu, menjelang perundingan pada malam Khamis 25 Mac nanti, saya sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang menyeru semua pihak supaya bertenang dan bersabar. Berilah peluang kepada saya dan Pengerusi MPN Johor, Ahli Parlimen Ledang mencari jalan penyelesaian.

Sekian

Hassan Abdul Karim

21 Mac 2021 (Ahad)