19.MAC
Petang tadi sambil
diapit Azizah, saya menziarahi Prof Emeritus Abu Bakar Hamid di Hospital UM.
Beliau adalah seorang sarjana sastera, mantan Ketua Pena guru dan juga seorang
sahabat baik. Mendoakan aafiyah buat beliau dan semoga lekas diberi kesembuhan,
inshaAllah.
20 MAC
Hari ini di Pulau Pinang untuk memenuhi beberapa acara.
Sudah semestinya Permatang Pauh merupakan tempat yang waj ib saya
singgah, dan ianya menjadi ruang untuk saya ketemu teman-teman lama di Taman
Guar Perahu, Penanti.
Saya sempat singkap sejarah dan nostalgia di Permatang Pauh yang
mewarnai sebahagian besar hidup saya, selain menyentuh beberapa isu dan
persoalan semasa yang memberi kesan kepada rakyat terbanyak, terutamanya
masalah ekonomi, kemiskinan dan pengangguran yang semakin meruncing saat ini.
20 MAC
Bersama pimpinan KEADILAN Pulau Pinang di Teluk Bahang malam
ini.
Saya tekankan keperluan untuk para pimpinan tingkatkan kerja dan
prestasi jentera, sekaligus mengukuhkan kekuatan KEADILAN di negeri ini yang
menjadi kubu kuat kita sejak 2008.
Pimpinan mesti sentiasa mengangkat suara rakyat keseluruhannya,
serta terus mendukung mereka yang terkesan tatkala wabak COVID-19 terus
menyerang.
KEADILAN mesti terus berpasak pada denyut dan derita rakyat.
Suara rakyat mesti diperteguhkan serta hak mereka mesti terus dibela.
Warisan Melayu Pulau Pinang harus dipertahankan, sambil tidak
meremehkan suara kaum Cina dan India kerana kemajmukan ini mesti kita pertahan
dan terus semarakkannya.
20 MAC
Sekalung penghargaan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki kerana sedia bertemu
saya pada hari Isnin ini bertarikh 22 Mac 2021 pada jam 3.00 petang bertempat
di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Saya percaya usaha membanteras rasuah dan salahguna kuasa serta
kedudukan adalah isu serius dan memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk dari
kalangan pembangkang dan masyarakat madani.
Semoga usaha ini menjadi titik mula ke arah Malaysia yang lebih
baik, InshaAllah.
ANWAR IBRAHIM
Hari ini Ahli-ahli
Parlimen pembangkang sepakat menggesa pemerintah memanggil Sidang Parlimen
sesegera mungkin dan untuk #TamatDarurat.
Alhamdulillah, hari ini saya telah ke Ibu Pejabat Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah (SPRM) di Putrajaya.
Rencana pertemuan saya bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu
Datuk Seri Mohd Azam Baki tadi adalah bagi menyampaikan serta menyuarakan
kebimbangan kami di barisan pembangkang dan masyarakat madani.
Isu rasuah dan salahguna kedudukan adalah isu yang sangat
penting kerana ia akan menentukan jatuh bangun bangsa ini, tergantung pada
tekad dan iltizam kita dalam menyanggahnya.
Selainnya, saya turut berkongsi dengan Datuk Seri Azam Baki
bahawa terdapat percubaan dari pihak pemerintah melalui seorang ‘Menteri Kanan’
yang menggunakan ugutan serta tekanan kepada beberapa orang ahli Parlimen
pembangkang demi untuk terus berpaut pada kuasa, dan ia memerlukan tindakan dan
siasatan menyeluruh berhubung ini.
SPRM wajar diberi kebebasan dan kepercayaan bahawa badan itu
adalah badan yang punya integriti serta keupayaan untuk menyiasat kes-kes
rasuah tanpa rasa gentar dan pandang bulu.