Secara tiba-tiba, di sebalik hiruk-pikuk dalam UMNO berikutan ketetapan PAU Ahad lalu, Khairy Jamaluddin atau KJ menggesa agar pemilihan UMNO disegerakan sebelum PRU15 diadakan.
Melalui catatan di media sosialnya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menulis seperti berikut:-
“Hanya satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman UMNO. Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum.
“Sepatutnya pemilihan diadakan tahun ini. UMNO mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat yang jelas dan yang boleh mendapat sokongan rakyat.
“Segerakan pemilihan parti. Do the right thing, Majlis Tertinggi. You know we cannot continue like this”.
Rasanya tiada siapa membantah mengenai keperluan untuk UMNO mengadakan pemilihan tersebut, lagi pun memang tahun 2021 adalah tahun pemilihan bagi UMNO setelah pemilihan sebelumnya adalah pada 2018 lalu.
Dalam pemilihan 2018 itu, KJ yang turut bertanding jawatan Presiden UMNO bersama Tengku Razaleigh Hamzah, telah ditewaskan oleh Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid Hamidi mendapat 99 undi, KJ 61 undi dan Ku Li 30 undi.
Tetapi, harus diingat, PAU yang baru berakhir Ahad lalu adalah PAU bagi tahun 2020 yang dianjakkan tarikhnya berikutan pandemik Covid19.
Untuk itu, bagi PAU tahun 2021, oleh kerana sekarang sudah penghujung Mac, mustahil ia dapat disegerakan atau diawalkan sebagaimana diminta KJ itu.
Paling mungkin PAU tahun 2021 yang bersekali dengan pemilihan UMNO hanya akan diadakan menjelang hujung tahun ini.
Ia berikutan persidangan tahunan cawangan dan mesyuarat perwakilan bahagian perlu diadakan terlebih dahulu sebelum PAU 2021 hendak diadakan.
Dan sememangnya sebelum ini, Zahid Hamidi telah memberi jaminan pemilihan UMNO tidak akan ditangguhkan seperti sebelum-sebelum ini.
Katanya, walaupun tarikh pemilihan parti belum ditentukan, namun ia akan diadakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
“Perhimpunan agung parti wajib diadakan setiap tahun, namun Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang sepatutnya diadakan tahun lalu terpaksa ditangguhkan ke tahun ini berikutan pandemik COVID-19.
“Tetapi saya sudah berjanji dan memberi jaminan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan nasional akan tetap diadakan tahun ini,” katanya lagi.
Kalau UMNO tarik sokongan lebih cepat terhadap kerajaan PN dan ia berlaku dalam waktu terdekat ini, terpaksalah berdepan PRU15 dulu sebelum pemilihan UMNO, tetapi sekiranya UMNO mampu bertahan lama lagi dalam kerajaan ini, mungkinlah sempat pemilihan UMNO dahulu sebelum PRU diadakan.
Jadi, kepada KJ, tidak kira sama ada beliau mahu mencuba sekali lagi merebut jawatan Presiden UMNO atau tidak, sabar-sabarlah sikit ya…
(Shahbudindotcom 30/03/2021)