Adilkah laksanakan Pilihan Raya Umum dalam suasana Covid 19?

 


Kemungkinan Umno mengarahkan para pemimpinnya yang berada di dalam kabinet berundur dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Ogos ini hangat diperkatakan.

Sekiranya ketetapan Perhimpunan Agung Umno pada hujung minggu lalu dikuatkuasakan dan darurat tamat pada Ogos maka tidak mustahil kerajaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan tumbang.

Jatuhnya kerajaan PN akan membuka jalan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dilaksanakan.

Namun bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid satu persoalan yang perlu ditanyakan, adakah adil kepada rakyat sekiranya PRU diadakan dalam suasana pandemik Covid 19 yang belum reda?

"Kita (KEADILAN) anytime (bila-bila masa), tiada masalah soal itu tetapi adakah adil dalam keadaan Covid dan isu vaksinasi (yang belum selesai ini)?

"Persoalan ini perlu dijawab dahulu, jika tidak adil tidak boleh.

"Adilkah sekiranya kita adakan PRU sekarang dalam keadaan Covid yang tidak selesai?" katanya ketika dihubungi.

Menurut Abdullah, KEADILAN lebih mengutamakan agenda rakyat yang perlu diuruskan terlebih dahulu sebelum sebarang PRU diadakan.

Katanya, biar pun Umno ingin diadakan PRU sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 lagi namun terdapat pilihan lain untuk memastikan rakyat boleh mendapat vaksin terlebih dahulu sebelum diadakan pilihan raya bagi menghindari risiko kesihatan.

Pilihan itu termasuklah, melantik Ahli Parlimen yang mendapat majoriti terbanyak dan diyakini oleh Ahli-ahli Parlimen untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu sehingga ke satu tempoh yang sesuai diadakan PRU.



No comments: