Majoriti negara OIC benar undi 18 tahun, apa penjelasan Abdul Hadi?

 

Oleh B. Suffian

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang meminta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan sebab parti itu menarik sokongan terhadap pelaksanaan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Kit Siang berkata, sebahagian besar daripada 57 negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mempunyai had umur mengundi pada usia 18 tahun termasuk Arab Saudi, Iran, Iraq, Turki, Jordan, Algeria, Libya dan Palestin.

“Saya amat terkejut dengan pendirian Abdul Hadi, yang menentang usaha untuk memberikan hak pengundi kepada rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun sedangkan saya telah perjuangkan perkara ini di Parlimen 50 tahun lalu.

“Perkara ini bermakna, sokongan yang ditunjukkan Abdul Hadi di Parlimen pada 2019 semasa meluluskan rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk membolehkan individu berusia seawal 18 tahun untuk keluar mengundi, bukanlah sokongan yang benar-benar jujur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Abdul Hadi yang bersetuju terhadap penangguhan pelaksanaan undi 18 kerana usia itu bukan penentu kematangan bagi rakyat negara ini memilih kerajaan.

Pada masa sama beliau menegaskan, penangguhan undi 18 tahun tidak akan memberi kesan kepada Pas.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, pada sekitar tahun 2000, sejumlah negara sudah mula mempertimbangkan sama ada had umur mengundi patut diturunkan kepada 16 tahun.

Pada tahun 2007, tambahnya, Austria menjadi negara pertama yang membenarkan remaja berusia 16 dan 17 tahun untuk mengundi dalam pilihan raya, sebelum ia diperkembangkan buat pertama kali pada pilihan raya Parlimen Eropah 2009.

Menurutnya, kajian terhadap pola sikap anak muda berhubung pengundian menunjukkan mereka sebenarnya mampu menggalas tugas sebagai pengundi seperti mana pengundi dewasa dalam menyatakan pandangan mereka dan membuang undi sesuai dengan cita rasa mereka.

“Pengetahuan tentang proses politik yang dimiliki mereka juga tidak kurang hebat berbanding dengan pengundi yang lebih dewasa, malah anak muda dilihat mempunyai keyakinan yang lebih terhadap sistem demokrasi dan lebih bersedia untuk melibatkan diri dalam proses demokrasi,” katanya.

Negara yang mempunyai had umur mengundi 16 tahun termasuklah Austria, Brazil, Ecuador, Cuba, Nicaragua, Scotland dan Argentina, tambahnya.