BAIK PKP ATAU LARANGAN RENTAS NEGERI, SEMUANYA SUDAH TIDAK DIPEDULI, TAPI…..

 


Semalam diumumkan PKPB dan PKPP di seluruh negara bersambung lagi sehingga 14 April depan.

Sekaligus dengan itu, larangan rentas negeri terus dikuatkuasakan lagi.

Tetapi, jika kita perhati, inilah pengumuman PKP oleh Ismail Sabri Yaakob yang paling tidak dipedulikan sekali.

Selepas pengumuman semalam, hampir tiada yang bercakap mengenainya di warung kopi atau menulis untuk mengeluh serta merungut di media sosial.

Tiada yang peduli lagi.

Rakyat sebenarnya sudah tidak peduli, baik PKP, PKPB, PKPP atau apa jadah ungkapan sekali pun yang digunakan, semuanya bagi mereka sama saja.

Berbanding cerita PAU dua hari sebelumnya, ia lebih banyak diperbual, diperkata dan ditulis oleh rakyat jelata.

Rakyat lebih peduli cerita PAU berbanding cerita PKP dan Covid19.

Kenapa rakyat makin tidak peduli?

Rakyat sebenarnya makin benci, lalu lebih baik mereka ambil sikap tidak peduli.

Mereka benci kerana di sebalik PKP, PKPB, PKPP dan entah-entah apa lagi, makin banyak perkara lain seperti tiada larangan apa-apa buat golongan terpilih.

Menteri-menteri masih bebas ke sana sini tanpa pelitup muka dan tanpa menjaga penjarakan diri.

Ada yang pergi majlis kahwin di negeri lain, menikahkan selebriti macam sudah jadi menteri nikah kahwin dalam cerita Musang Berjanggut, menghadiri program dan macam-macam lagi dengan bebas saja sesuka hati.

Di waktu yang sama, rakyat ditakutkan dengan denda langgar SOP sehingga RM10 ribu tingginya.

Orang lain balik daripada luar negara kena kuarantin di tempat yang disediakan kerajaan, tetapi timbalan menteri balik bercuti 55 hari hanya perlu kuarantin di rumah sendiri.

Menteri dan orang kayangan di waktu PKP ini seolah-olah tiada larangan, malah ada keistimewaan, walhal rakyat nak merentas negeri menjenguk ibu bapa di kampung sebeum ketibaan Ramadan yang dijangka pada 13 April pun tiada kesempatan.

Ketidakadilan ini menjadikan rakyat tambah benci, benci dan kekal benci.

Selepas 14 April nanti, kalau merentas negeri masih tidak dibenarkan pun rakyat tetap tidak peduli.

Bahkan, kalau tidak dibenarkan merentas negeri untuk menyambut Hari Raya kali ini juga rakyat tidak peduli.

Benar, memang rakyat sudah tidak peduli.

Benar, memang rakyat jadi semakin benci.

Tapi, siap kau bila tiba masa mengundi nanti!!


 (Shahbudindotcon 31/03/2021)





No comments: