PEGUAM KRITIK MUFTI PERLIS

 


Terkini! Peguam kritik Mufti Perlis

Terkini! Peguam kritik Mufti Perlis

MUFTI

Pada 2018, Mufti Perlis pernah mencadangkan agar dikawal gelaran ustaz dan ulama kerana dibimbangi menyebabkan masyarakat akan terkeliru dan menyangka fakta yang salah itu benar kerana gelaran berkenaan.

“Saya rasa perkataan yang paling bahaya digunakan ialah ulama. Ini seperti tokoh ulama, dewan ulama, majlis ulama, syura ulama dan seumpamanya.

“Tokoh besar dunia pun takut untuk memanggil diri mereka ulama. Di Malaysia, dengan mudah wujud istilah ini. Jika memang ada latar ilmu yang memadai, maka tidak mengapalah digunakan. Bimbang sebaliknya,” kata Mufti Perlis itu.

Saya menyokong penuh cadangan beliau itu tanpa bahas. Tetapi saya rasa, selain ustaz dan ulama, beliau sewajarnya menyebut juga mengenai mufti.

Mufti mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Islam. Ia boleh merujuk kepada gelaran yang diberikan kepada ulama yang sudah mencapai tahap seorang faqih seperti yang diberikan kepada Maulana Taqi Uthmani dan ulama-ulama besar di benua India. Ia juga boleh merujuk kepada suatu jawatan dan institusi yang dibentuk oleh kerajaan seperti di Malaysia dan kebanyakkan negara umat Islam.

Bukan semua ulama layak menjadi mufti. Hanya mereka yang telah menguasai dan memahami dalil-dalil hukum dan berbagai disiplin ilmu Islam seperti Quran, Hadis, fiqh dan ilmu-ilmu alat termasuk bahasa arab, mantiq, balaghah dan sebagainya layak untuk diangkat menjadi mufti.

Imam Syafi’i pernah berkata, “Tidak boleh seseorang berfatwa kecuali dia mengetahui kitabullah, nasikh dan mansukhnya, muhkam dan mutasyabihnya, takwil dan tanzilnya, makkiyah dan madaniyahnya, sebab turun ayat, hadis rasulullah, bahasa arab, perbezaan pendapat para ulama….” (Rujuk: Khatib Al-Baghdadi, Al-Faqih wal Mutafaqqih)

Imam Ahmad pula pernah berkata, “Tidak sepatutnya seseorang meletakkan dirinya pada jawatan mufti sehingga dia memenuhi 5 kriteria:- (1) Memiliki niat yang baik. Jika tidak, maka tidak ada cahaya pada diri dan ucapannya. (2) Memiliki sifat sopan, berwibawa dan memiliki pembawaan yang tenang. (3) Bersikap tegas dalam menangani masalah yang dirujuk kepadanya. (4) Mempunyai keperluan material yang mencukupi dan (5) Bersikap mesra dengan masyarakat. (Rujuk: Ibnul Qayyim, I’lamul Muwaqqi’in)

Maknanya, menguasai ilmu pengetahuan saja tidak mencukupi. Seorang mufti mesti memiliki akhlak yang baik disamping penguasaan ilmu yang luas. Imam Hasan Al-Basri pernah berkata, “Apakah kamu mengetahui apa itu al-Faqih? Al-Faqih ialah seorang yg warak dan zuhud, yang tidak meremehkan orang di bawahnya dan tidak mencacatkan orang di atasnya serta tidak menjadikan ilmu sebagai barang dunia yang tidak berguna” (Rujuk: Khatib al-Baghdadi, al-Faqih wal Mutafaqqih)

Memahami kedudukannya yang tinggi, seorang mufti tidak sewajarnya menyibukkan dirinya dalam perdebatan yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat samada yang berkait dengan persoalan agama ataupun tidak.

Ketika Syeikh Yusuf al-Qaradhawi sedang mengajar di dalam masjid, ada orang bertanya kepada beliau nama kakak Nabi Musa yang disebut dalam al-Quran. Syeikh al-Qaradhawi lalu menjawab, “Kenapa kamu sibuk nak tahu namanya? Kamu nak meminang dia ke? Letaklah namanya Maryam atau Zulaiha atau Maria sekalipun, apakah nama tersebut bermanfaat kepada kamu? Allah tidak sebut nama kakak Nabi Musa dalam Quran, Nabi Muhammad S.A.W juga tidak jelaskan siapa nama dia, mengapa kita pula menyusahkan diri dalam hal yang Allah telah hindarkan kita darinya dan tidak bermanfaat bagi kita supaya kita berehat tanpa memikirkannya?” (Rujuk: Yusuf al-Qaradhawi, al-Fatwa Bainal Indhibat wat Tasayyub)

Apatah lagi yang berkait dengan pertemuan seorang ulama dari India dengan seorang bekas menteri agama, maka tidak selayaknya seorang mufti mencampuri urusan dan perdebatan tersebut kerana jelas ia tidak memberi apa-apa manfaat sedikit pun kepada ummah dan masyarakat.

Wallahu a’lam

#kitajagakita

Mohd Fitri Asmuni
Peguam

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/09/473481/kawal-gelaran-ustaz-ulama-mufti-perlis



No comments: