Pembela bidas PAS, UMNO tak berfungsi duduk dalam kerajaan

 Pembela bidas PAS, UMNO tak berfungsi duduk dalam kerajaan

Sepatutnya Umno dan PAS tidak perlu membuat rayuan atau gesaan kepada kerajaan agar penghakiman penggunaan kalimah Allah ke Mahkamah Rayuan, kata Pertubuhan Pembela Islam (Pembela).

Hal itu kerana, kata Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya, berkata kedua-dua parti terbabit menyertai kerajaan Perikatan Nasional, justeru apa yang perlu dilakukan ialah bertindak segera.

“Mereka (PAS dan Umno) sebahagian daripada kerajaan, jadi sepatutnya mereka terus ambil tindakan, tak payah nak suruh-suruh lagi.

“Menteri agama orang dia (kerajaan) dan banyak menteri-menteri (lain juga wakil PAS dan Umno). Jadi mereka sepatutnya dengan segera (mengambil tindakan), tak perlu merayu-rayu lagi,” katanya.

Menurut Aminuddin pihak yang sepatutnya membuat rayuan ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pembela sebaliknya Umno dan PAS patut mengambil tindakan secepat mungkin.

Aminuddin berkata dalam sidang media Pembela bagi mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing, berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Masing hari ini membidas pemimpin Umno dan PAS kerana menggesa kerajaan merayu keputusan mahkamah semalam. Menurut Masing ahli politik kedua parti itu tidak patut mencampuri urusan kehakiman negara.

Dia juga menganggap tuntutan Umno dan PAS itu sebagai tidak masuk akal.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada masyarakat bukan Islam pada 1986.

Desak bentuk jawatankuasa

Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian etnik Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Hakim Nor Bee Ariffin membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) petang ini menyatakan kerajaan akan menentukan tindakan selanjutnya selepas menerima penghakiman bertulis berhubung isu berkenaan.

Ekoran keputusan mahkamah semalam Aminuddin berkata Pembela menuntut empat perkara kepada kerajaan.

Pertama katanya Pembela mendesak pihak berkuasa, khususnya majlis agama Islam negeri dan KDN merayu keputusan tersebut ke peringkat lebih tinggi dengan kadar segera.

 

“Kedua, mendesak menteri agama (Zulkifli Mohamad), menteri undang-undang (Takiyuddin Hassan), menteri dalam negeri (Hamzah Zainudin) dan menteri perpaduan negara (Halimah Mohamed Sadique) segera membentuk jawatankuasa khas menangani isu itu serta isu-isu lain yang dianggap cuba untuk merendah-rendahkan Islam.

“Ketiga, Pembela menyarankan setiap organisasi dan persatuan Islam mengambil serius perihal isu ini kerana ia membawa implikasi besar kepada umat Islam dalam negara.

“Dan seterusnya memohon perkenan Raja-raja Melayu selaku ketua Islam bagi negeri masing-masing mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan supaya Islam tak terus dihina dan dipermainkan,” katanya.

Selain itu, Aminuddin juga berkata Pembela juga akan menganjurkan pertemuan tergempar dengan NGO bagi membincangkan isu kalimah Allah pada Ahad ini.

Justeru Aminuddin berharap semua NGO Islam yang prihatin dapat bersama Pembela menyatakan rasa prihatin mereka.

“Kita juga berharap dari situ kita akan menyusun strategi mengikut lunas-lunas undang-undang dan perlembagan bagi memastikan tidak ada lagi cabaran-cabaran menghakis keabsahan Islam dapat dilakukan,” katanya. 




No comments: