ADUN Senggarang, Khairuddin A. Rahim menganggap keputusannya untuk
menyertai KEADILAN dari Amanah sebagai satu 'hijrah' demi kemenangan yang lebih
besar buat Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau mengakui, akan ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati
dengan tindakannya.
"Pada dasarnya, apa yang saya lakukan adalah hijrah. Ini
bukan keputusan yang mudah, tetapi saya berharap orang ramai dapat menerimanya
kerana saya melakukannya untuk rakyat dan negara," katanya.
Bagaimanapun, Khairuddin berkata beliau telah pun menjelaskan
keputusannya untuk meninggalkan Amanah kepada timbalan presiden parti itu,
Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Malah, beliau menegaskan bahawa tindakannya itu tidak sama seperti
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong.
"Saya masih setia kepada Pakatan Harapan dan saya tidak
menganggap tindakan saya sebagai satu pengkhianatan.
"Saya juga tidak mempunyai masalah dengan bekas rakan sekerja
Amanah dan saya percaya bahawa kita masih boleh bekerjasama dalam kapasiti baru
saya," katanya.
Salah satu faktor Khairuddin membuat keputusan untuk menyertai
KEADILAN adalah menjadi calon Ahli Parlimen, memandangkan kerusi Senggarang
yang disandangnya terletak di bawah kerusi Parlimen Batu Pahat.
Beliau melihatnya sebagai satu peluang untuk membantu KEADILAN
merampas semula kerusi itu, setelah penyandangnya, Rashid Hasnon berpaling
tadah apabila menjadi antara individu yang menjayakan Langkah Sheraton dan kini
merupakan ahli Bersatu dan sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional
(PN).
"Saya merasakan bahawa ini adalah masa yang tepat untuk saya
menyertai KEADILAN dan pada masa yang sama bekerja keras untuk merampas semula
Batu Pahat untuk PH sekiranya diadakan pilihan raya umum akan datang,"
katanya.
Parlimen Batu Pahat dijangka menjadi salah satu kerusi yang akan
menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru antara Umno, Bersatu dan PH.