Undang-undang berita palsu baharu buat kita tak ubah seperti Myanmar, kata Guan Eng

 

Lim Guan Eng berkata, undang-undang baharu itu menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan media dan hak bersuara masyarakat.

PETALING JAYA: Dua orang kuat DAP menyelar undang-undang baharu berita palsu, dengan seorang menyifatkannya seolah-oleh mengheret Malaysia ke tahap Myanmar, manakala seorang lagi menganggapnya berbahaya.

Kedua-duanya mahu Parlimen bersidang untuk membahaskannya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, undang-undang berita palsu yang baru diwartakan di bawah kuasa darurat menyebabkan negara seolah-oleh “jatuh ke tahap sama seperti Myanmar” dalam menyekat perbezaan pendapat dan melumpuhkan demokrasi.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, undang-undang itu juga menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan media dan hak bersuara masyarakat.

Beliau turut menyindir sama ada undang-undang bertujuan membendung berita palsu berkaitan Covid-19 itu dapat mengekang virus tersebut.

Kerajaan hari ini memperkenalkan undang-undang baharu yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000, penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu yang didapati bersalah menghasil, menyiar atau menyebarkan berita palsu.

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang berkuat kuasa esok menyatakan berita atau maklumat yang “keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu berhubung Covid-19 atau proklamasi darurat” boleh dipertimbangkan di bawah undang-undang itu.

Denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara enam tahun turut akan dikenakan ke atas mereka yang menyediakan bantuan kewangan secara langsung atau tidak langsung untuk menghasil atau menyebarkan berita palsu tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata ,undang-undang baharu itu bersifat terlalu regresif sehingga kenyataan boleh diperolehi daripada seseorang menggunakan “ancaman atau seksaan” mengikut Seksyen 10 ordinan berkenaan.

“Kini, kenyataan yang diperoleh secara sukarela atau di bawah tekanan dan paksaan boleh digunakan terhadap anda di mahkamah. Ia satu duluan kehakiman yang sangat berbahaya,” katanya ketika dihubungi.

Ramkarpal berkata, Parlimen harus bersidang agar undang-undang itu dapat dibahaskan.

Katanya, satu lagi kebimbangan adalah syarat pembelaan harus diajukan sebelum kes didengar di mahkamah, yang bertentangan norma undang-undang jenayah, di mana pembelaan datang setelah pendakwaan.

‘Rejim autoritarian’

Ahli Parlimen Selayang, William Leong daripada PKR berkata, undang-undang baharu itu mengubah kerajaan kini menjadi “rejim autoritarian” yang berusaha mengekang kebebasan bersuara.

Beliau berkata, hukuman berat yang dijatuhkan akan menyebabkan orang ramai berdiam diri dan menimbulkan lebih banyak ketidakpastian kerana kurangnya maklumat, terutama perkara berkaitan vaksin.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, tindakan drastik itu dilihat seperti kembalinya Akta Anti-berita Tidak Benar yang dimansuhkan pada 2019.

“Ia menimbulkan pelbagai soalan, termasuk apakah semua undang-undang sedia ada tidak memadai?

“Apakah insiden yang telah berlaku yang tidak dapat ditangani dengan undang-undang sedia ada sehingga ordinan sebegini rupa terpaksa diwarta.”

Pengarah komunikasi PKR itu turut mempersoalkan jaminan kerajaan bagi mengelakkan penyalahgunaan undang-undang baharu itu untuk mendiamkan musuh politik atau mengekang kebebasan media.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang juga daripada PKR menyifatkan ia ordinan “pintu belakang” yang mengembalikan Akta Anti-berita Tidak Benar 2018 dengan lebih banyak tambahan “drakonian”.

“Bukan hanya berita yang disiarkan, tetapi aplikasi yang mengandungi berita palsu juga terbabit. Mengapa kerajaan ini asyik menghalang mereka yang memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi.

“Pindaan itu sama seperti mendiamkan penulis, wartawan, blogger, aktivis hak asasi manusia, pengulas dan ahli politik pembangkang.”



No comments: