Berikut merupakan kenyataan beberapa orang Ahli Parlimen Pembangkang demi memastikan pendidikan anak-anak hari ini diutamakan:
Kami, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, mengambil maklum keputusan mengejut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meneruskan kembali sesi persekolahan awal Mac ini.
Keputusan KPM ini dilihat seperti kurang peka dengan pergelutan rakyat terutamanya ibu bapa dan para guru disebalik keputusan pukul rata (‘blanket decision’) ini.
Setelah hampir setahun pandemik COVID-19 melanda, seharusnya KPM lebih teliti dan mendengar suara pemegang-pemegang taruh dalam sektor pendidikan terutama ibu bapa dan guru. Ketidakcekapan dalam membuat keputusan-keputusan besar yang melibatkan seluruh rakyat seharusnya tidak berulang lagi.
Kebanyakan ibu bapa sudah mengeluarkan belanja membelikan kelengkapan belajar secara dalam talian buat anak-anak mereka, dan Perdana Menteri juga telah melancarkan Didik TV selang dua hari sebelum YBMK Pendidikan mengumumkan pembukaan semula sekolah.
Deretan pengumuman yang bercanggah dan mengelirukan ini amat memberi kesan kepada rakyat terutamanya mereka yang bergelut dengan keadaan ekonomi semasa.
Mempertimbang keputusan ini dan mengambil kira keresahan rakyat, kami menggesa agar:
- KPM berhenti membuat keputusan secara tidak terancang dan bersikap reaktif tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.
- KPM merujuk kepada cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh JK Pendidikan PH pada 20 Februari berkaitan isu yang sama.
- Pihak KPM juga hendaklah memberikan kelonggaran terhadap isu pakaian rasmi sekolah. Ramai ibu bapa yang telah terbeban dengan pandemik dan telah berbelanja besar untuk pendidikan anak-anak. Kelonggaran untuk berpakaian bebas harus diberikan sekurang-kurangnya untuk tahun ini memandangkan adanya kebarangkalian sekolah akan ditutup kembali jika PKP dilaksanakan semula.
- Pengukuhan sistem pembelajaran berasaskan teknologi sama ada di dalam atau di luar bilik darjah, seperti penggunaan portal sophia.my, pelaksanaan secara meluas program pengagihan peranti, juga penambahbaikan akses internet di sekolah termasuklah memperkenalkan pakej internet untuk pelajar di rumah perlu diteruskan.
- Para guru dan kakitangan sekolah wajib diberikan keutamaan di dalam menerima vaksin sepertimana petugas barisan hadapan yang lain.
Kami berharap cadangan ini mendapat pertimbangan sewajarnya oleh pihak KPM demi memastikan pendidikan anak-anak terus diberikan keutamaan.
YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan
YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Teo Nie Ching, Democratic Action Party (DAP)
YB Datuk Dr Hasan Baharom, Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Parti Malaysian United Democratic Alliance (MUDA)
YB Amiruddin Hamzah, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG)
YB Isnaraissah Munirah Majilis, Parti Warisan Sabah (WARISAN)