Seperti dilaporkan media, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin akan menjadi rakyat Malaysia pertama menerima suntikan vaksin Covid19.
Beliau akan menerima suntikan tersebut di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya pada Jumaat, 26 Februari ini.
Diberitakan Muhyiddin sendiri membuat keputusan untuk menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin Covid19 bagi memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa vaksin tersebut selamat digunakan.
Jika tujuan menjadikan Muhyiddin penerima pertama vaksin untuk maksud memberi keyakinan kepada rakyat, ia adalah keputusan yang tidak tepat kerana kedudukannya sendiri sebagai Perdana Menteri tidak lagi diyakini.
Bagaimanakah seorang yang tidak lagi diyakini mampu memberi keyakinan kepada orang ramai untuk meyakini apa yang dilakukannya?
Tidak mustahil, dengan Muhyiddin menjadi orang pertama disuntik vaksin, lebih ramai yang enggan membenarkan badan mereka disuntik dengan vaksin Covid19.
Muhyiddin bukanlah seperti Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong atau Presiden Indonesia, Joko Widodo yang sangat diterima baik oleh rakyat kedua-dua negara itu sehingga apa saja yang mereka lakukan lebih mudah menjadi ikutan.
Sebab itu, kewajaran Lee Hsien Loong dan Jokowi menjadi orang pertama di negara mereka menerima suntikan vaksin Covid19 tidak diragukan manfaatnya.
Berbeza dengan Muhyiddin, berikutan kedudukan beliau yang sarat dengan pertikaian, selain ramai yang ragu-ragu dengan vaksin itu sendiri, berharap kepada Perdana Menteri sebagai model ikutan mungkin akan menghasilkan natijah yang sia-sia saja.
Malah, dengan Muhyiddin menjadi orang pertama disuntik, kemudian diikuti dengan petugas-petugas barisan hadapan, beliau kini turut dipersendakan pelbagai pihak agar membawa sekali kesemua 220 Ahli Parlimen untuk menerima suntikan tersebut.
Selepas itu, diharapkan tiadalah masalah lagi untuk beliau membenarkan Parlimen bersidang kerana kesemua Ahli Parlimen sudah dilindungi daripada sebarang jangkitan Covid19.
Tetapi, adakah mungkin Muhyiddin akan melakukannya?
Kecuali jika Muhyiddin benar-benar ada perasaan malu dalam dirinya, perkara yang pertama yang harus dilakukannya ialah membenarkan Parlimen bersidang lantaran keabsahan dan majoriti dimilikinya sedang menjadi pertikaian ramai.
Malangnya, dalam sejarah Malaysia, Muhyiddin inilah Perdana Menteri yang paling tidak malu atau tidak mempunyai perasaan malu dalam dirinya berbanding semua penyandang sebelumnya.
Selepas menangguh-nangguh sidang Parlimen kerana tidak yakin dengan majoritinya, menolak sebarang usul tidak percaya atau usul percaya, beliau kemudian mencadangkan darurat yang tujuan pokoknya ialah menggantung Parlimen apabila terlihat beberapa Ahli Parlimen mula menarik sokongan terhadapnya.
Darurat yang kononnya untuk menangani Covid19, walaupun PKP telah dilaksanakan, akhirnya difahami majoriti rakyat hanyalah untuk melindungi kuasanya semata-mata.
Ini kerana, secara perlahan-lahan banyak sektor kegiatan manusia seperti pasar malam, sekolah, kilang-kilang, aktiviti sukan, restoran dan segala macamnya lainnya sudah pun dibuka pada waktu ini.
Namun, di sebalik semua sudah dibuka, Parlimen tetap ditutup seolah-olah di bangunan itulah tempat bersarangnya segala mak bapak virus Covid19.
Susulannya, tidak kurang yang menyindir Muhyiddin agar membenarkan Ahli Parlimen bersidang di dewan sekolah atau di tapak pasar malam saja.
Pokoknya, segala kebejatan yang ada dalam negara sekarang ini tidak lain adalah kerana kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak punya perasaan malu lagi dalam dirinya.
Kalau Muhyiddin ada perasaan itu, tentu beliau sangat malu mengekalkan lagi dirinya sebagai Perdana Menteri, menerima gaji, memberi makan anak isteri dan keluarganya serta muncul di khalayak ramai melalui pengekalan kuasa dengan cara yang tidak demokratik serta bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi.
Untuk itu, jika ada suntikan pertama yang patut diterima Muhyiddin ketika ini, ia tidak lain ialah vaksin yang boleh memahamkannya erti malu, seterusnya menjadikan sifat malu itu perisai keutamaan dalam dirinya sebagai seorang manusia dan juga pemimpin. (Shahbudindotcom 23/02/2021)