Kes dera meningkat, di mana Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat?

 



Srikandi KEADILAN Selangor, J Karen Kasturi mempersoalkan keberadaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tatkala kes penderaan di negara ini semakin meningkat.

Ini terutamanya selepas seorang kanak-kanak berusia 4 tahun meninggal dunia akibat penderaan.

"Saya amat sedih dan bersimpati di atas kematian adik Dhevanesh yang berumur 4 tahun dipercayai akibat penderaan.

"Penderaan kanak- kanak di Malaysia semakin meningkat dan kerajaan seharusnya memandang serius akan peningkatan kes penderaan kanak- kanak terutamanya penderaan yang melibatkan ibubapa atau penjaga," katanya.

Justeru, Karen menganggap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu segera mempunyai pelan tindakan yang holistik bagi menangani isu penderaan kanak-kanak khususnya yang melibatkan ibubapa atau penjaga.

"Kanak-Kanak seperti adik Dhevanesh tidak mungkin boleh menghubungi Pihak Polis, Talian Kasih atau Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk meminta pertolongan untuk menyelamatkan diri.

"Adakah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat mempunyai pelan tindakan untuk memudahkan mangsa penderaan khususnya kanak-kanak seperti adik Dhevanesh untuk mendapatkan pertolongan daripada pihak berkuasa?"

Pada masa sama, Karen berpandangan bahawa ibu bapa dan penjaga yang mempunyai masalah tekanan emosi atau rumah tangga perlu segera diberi kaunseling atau bantuan agar anak-anak mereka tidak dijadikan tempat untuk mereka melepaskan segala emosi yang tidak terkawal.

"Saya berharap kerajaan dan semua pihak bertanggungjawab memandang serius akan isu ini dan segera usahakan mencari satu jalan penyelesaian yang berkesan. Tindakan dan hukuman yang lebih tegas dan berat juga perlu diambil terhadap pelaku.

"Saya juga menggesa orang ramai terutamanya jiran-jiran setempat untuk lebih peka dan mengambil berat terhadap isu-isu sebegini dengan melaporkan atau menghubungi serta-merta pihak polis berdekatan atau membuat aduan di talian kasih 15999 atau whatsapp di 019-261 5999, sekiranya berlaku kes penderaan di tempat mereka.

"Saya mohon semua pihak bekerjasama untuk mengatasi kes-kes penderaan khususnya yang melibatkan kanak-kanak," katanya.


No comments: