Bina semula, reformasikan ekonomi: Negara perlu pakej ransangan tambahan RM45 b

 


POSTED BY AMIR WRLR


Malaysia memerlukan Pakej Rangsangan Tambahan bagi memperbaiki kehidupan rakyat dan sektor perniagaan.

Menurut kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), negara ini perlukan pakej tambahan sebanyak RM45 bilion bagi menyelamat, membina semula dan mereformasikan ekonomi sewaktu pandemik Covid 19.

"Rakyat mesti dibantu dengan pakej rangsangan tambahan sebanyak RM45 bilion, iaitu tambahan kepada RM15 bilion yang diumum awal tahun ini. Kami masih menunggu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengotakan janji bantuan kebajikan bulanan RM1,000 yang perlu dipanjangkan kepada golongan yang menganggur.

"Secara dasar, cara terbaik untuk menyelamatkan ekonomi ialah dengan membendung pandemik. Kerajaan Perikatan perlu segera tingkatkan perbelanjaan untuk ujian Covid-19, rawatan dan pengesanan kontak, serta pelaksanaan pemberian vaksin. Kita masih melaksanakan di antara 50,000 ke 70,000 ujian sehari, dengan kadar positif sekitar 6%. Jumlah ujian saringan perlu ditingkatkan lima kali ganda jika kita benar-benar mahu membendung pandemik ini.

"Untuk mengendalikan ujian sebanyak itu dalam tiga bulan akan menelan belanja dalam RM2 bilion. Jumlahnya kecil jika dibandingkan dengan pakej rangsangan ekonomi terkini, tetapi mampu meninggalkan kesan yang lebih mendalam.

"Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, jumlah kluster berkait tempat kerja telah meningkat. Banyak syarikat termasuk sektor pengilangan teragak-agak untuk melakukan ujian saringan kerana kos yang membebankan. Kerajaan wajar menyediakan subsidi sebahagian dari kos ujian untuk syarikat-syarikat secara tetap terutama bagi yang menggunakan pekerja asing dan tinggal di hostel beramai-ramai.



"Kos kepada kerajaan untuk subsidi ujian-ujian saringan ini sebenarnya lebih rendah berbanding kos kepada ekonomi yang ditanggung syarikat-syarikat, terutama PKS sewaktu PKP 2.0," kata kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas mesyuarat Majlis Presiden PH, petang tadi.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri pemimpin kanan DAP serta Amanah itu juga membincangkan mengenai kemuraman ekonomi yang dihadapi negara.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar tahun lalu menguncup 5.6%, iaitu lebih teruk dari anggaran 4.5% di dalam Belanjawan 2021 Kerajaan.

Kadar pengangguran meningkat ke 4.5% - jumlah paling buruk sejak 1993 - dan 4.8% pada Disember, walaupun terdapat peningkatan aktiviti perniagaan pada hujung tahun. Kesan angka-angka ekonomi yang teruk itu paling dirasai golongan B40, termasuk dari kalangan M40 yang telah jatuh ke dalam kategori B40.

Majlis Presiden juga melahirkan kebimbangan ke atas industri pelancongan yang dianggarkan kehilangan pendapatan RM100 bilion pada 2020, dan keadaan masih sangat buruk di mana banyak pengusaha hotel dan pengendali pelancong terpaksa tutup kedai. Pelbagai sektor lain dari pembinaan ke peruncitan juga turut terjejas.

Sebagai jalan keluar, mereka menyeru agar kerajaan meneruskan program subsidi upah bagi membantu majikan yang terjejas.

"Program subsidi upah amat penting untuk majikan, kerana program ini membantu mereka mengekalkan jumlah pekerja, manakala subsidi bagi mengupah pekerja baharu perlu dinaikkan terutama bagi golongan muda yang merupakan antara kumpulan paling terkesan dalam krisis ini.

"Daripada menghentikan Program Subsidi Upah (PSU) seperti yang diisyaratkan PERKESO beberapa minggu lalu, Kerajaan perlu tingkatkan PSU sewaktu dan selepas PKP 2.0, untuk memberi bantuan yang amat diperlukan syarikat-syarikat terutama PKS.

"Syarikat-syarikat yang telah beroperasi di bawah keadaan PKP selama setahun rata-rata telah kehabisan simpanan. Kita bakal berdepan gelombang kemuflisan dalam bulan-bulan yang akan datang jika sokongan yang diperlukan tidak diberi.

"Setidak-tidaknya moratorium pinjaman bank perlu dipanjangkan secara automatik dan tanpa syarat, mengurangkan beban kos tetap seperti sewaan dan bayaran utiliti dengan pemberian subsidi, pinjaman kredit dan geran.

"Kelangsungan syarikat-syarikat dan ekonomi negara kita bergantung kepada bantuan-bantuan seperti ini," kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, PH juga melahirkan keprihatinan mengenai nasib yang bakal menimpa satu generasi anak muda Malaysia yang akan mengalami pengurangan pendapatan dan ketidaktentuan ekonomi akibat gangguan terhadap proses pembelajaran mereka pada waktu pandemik.

Menurut PH, pelancaran DidikTV masih belum mencukupi dan tidak mampu menggantikan pembelajaran secara bersemuka di sekolah.

"Namun yang lebih mengejutkan ialah pengumuman bahawa sekolah-sekolah akan mula dibuka bermula 1 Mac, yang memberi tekanan kepada ibu bapa untuk menyiapkan perkakas sekolah, dan membuat mereka yang telah membeli komputer riba dan tablet tertanya-tanya 'apakah boleh menggunakan duit yang telah dibelanjakan itu ke arah perkara-perkara lain'.

"Dasar membuat pengumuman tergempar seperti ini wajib dihentikan, dan kerajaan perlu menyatakan perancangan untuk menyelamatkan anak-anak ini yang disebut sebagai ‘generasi yang hilang’," kata mereka.

Majlis Presiden juga mengulangi kecaman terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang mengalih tanggungjawab kegagalan membendung pandemik Covid-19 dengan mendapatkan perisytiharan Darurat dan menggantung Parlimen.

"Satu-satunya kerajaan lain di dunia yang melakukan perkara sama ialah Myanmar, yang jelas fokusnya bukan mengalahkan Covid-19 tetapi rampasan kuasa oleh kelompok tentera yang mahu kekal berkuasa dan menjatuhkan mandat rakyat.

"Kerajaan Malaysia tidak banyak bezanya, terutama selepas kehilangan majoriti di Parlimen. Jika kerajaan (darurat) sedia ada gagal menyelamat, membina semula dan mereformasikan ekonomi, demokrasi berparlimen perlu dikembalikan bagi membolehkan sebuah kerajaan yang mempunyai keabsahan untuk melaksanakan reformasi yang diperlukan," kata kenyataan itu lagi.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

 


No comments: