Mengenal prinsip pejuangan Anwar PART 1

 

Mengenal prinsip pejuangan Anwar

RENCANA

Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgEeKq427_0h2LNHJDRRDQ9fm1fGxzRBT4CwNEo2XXcgiSNKoiGuBjjM7e7on-9IY7XmjV3CajKhaeaEBbw7I_Jf7o19XKXWdNDsgj6NWszjzFnUzfvqMzLoiDqpfSHDX8BSWjq9DTe6GEz/s320/Anwar+anak+anak.jpg

WALAUPUN nama Anwar Ibrahim sudah tidak asing lagi dikenali sebagai ahli politik bukan sahaja di negara ini bahkan ke seantero dunia di Timur dan Barat, namun tidak semua orang dapat mengenali dengan selumat-lumatnya. Bayangan dan noda yang dicipta untuk mengambusinya menjadikan orang keliru dan samar tentangnya.

 
Apa lagi generasi muda berusia dibawah 20 tahun yang dizahirkan selepas pasca Reformasi (selepas tahun tahun 1998), tidak begitu mengenali dan mengetahui denai-denai perjuangannya. Apa lagi mereka yang malas membaca, malas menelaah, waima yang berminat dengan politik pun tidak mudah mengenali Anwar yang telah begitu banyak dinodai dengan persepsi buruk angkara politik. Mereka lebih banyak mengetahui sisi gelap yang disogok daripada sisi putih yang perlu diselidiki.

 

 Berbeza bagi generasi sebelumnya, cukup mengenali Anwar yang bererti “sinar” atau “cahaya” itu sebagai seorang pejuang dan pembela rakyat. Anwar adalah pelopor dalam gerakan mahasiswa, belia, gerakan Islam dan reformis politik. Penglibatannya dalam hal ini tidak boleh dinafikan. Peranan dan tanggungjawab ini tidak boleh diremeh atau dipadamkan sesiapa pun. Usah bercakap soal mehnah perjuangan dan onak ranjau dilalui sang pejuang, semua tidak terlawan apa yang dilalui Anwar. Beliau sudah menghabisi separuh daripada hidupnya demi rakyat.

Bukan itu sahaja, beliau juga seorang yang tidak tahu mengaku kalah dan reti berputus asa. Beliau seorang yang penuh dan kental dengan azam. Pejuang yang degil. Meskipun dipenjara sebanyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (1974 dan 1998) dan menerusi kes jenayah yang direkayasa, namun tidak pernah menjadikan ia mengeluh dan mengalah dengan segala tribulasi tertakdir kepadanya itu. Sebaliknya cabaran dan halangannya dijadikan pupuk untuk beliau menyubur perjuangannya.

Obsesi membela rakyat.

Menarik untuk mengetahui kenapa beliau obses untuk membela rakyat. Perlu diketahui agar kita tidak sesat dalam mengenali liku-liku perjuangannya. Latar belakang kehidupan di kampungnya di Cheruk Tok Kun banyak mempengaruhinya. Parti Umno yang dianggotai oleh kedua orang tuanya (Ibrahim Abdul Rahman dan Che Yan Hamid) yang ditubuhkan untuk membela Melayu pada tahun 1946 menjadinya terpanggil ikut sama mahu mencapai aspirasi Umno.

Umno ditubuhkan untuk membela nasib rakyat (Melayu) dan memerdekakan negara daripada penjajah. Barangkali tidak salah kalau dikatakan Anwar semasa kanak-kanaknya mengenali penderitaan rakyat daripada pengkisahan tentang penderitaan dan kesengsaraan rakyat di bawah penjajah daripada kedua orang tuanya. Ibunya, Che Yan seorang aktivis Kaum Ibu Umno di Pulau Pinang. History ini juga tidak pelik kalau Anwar mempunyai sentimental value yang tinggi dengan Umno.

Latar belakang itulah menjadikan beliau hampir dan memahami denyut nadi rakyat miskin yang akhirnya meninggalkan benih kesedaran dan keinsafan untuk membela nasib bangsanya sendiri.

Bertolak dari latar itu, sepanjang kehidupan baik sejak di sekolah menengah hingga ke kampus dan membawa ke zaman belia dan dewasa berpolitik, beliau mengabdikan diri kepada perjuangan tanpa sedikit pun rasa pamrih. Rekod perjuangannya boleh disamak tanpa khilaf. Malahan jika hendak diadukan dengan mana-mana pemimpin sebaya dengannya, hatta yang lebih senior iltizamnya lebih kemas dan konsisten. Bukan itu sahaja rakan sebaya dengannya yang “tewas” dan “karam” awal sudah lama meninggalkan gelanggang jihad.