Media senjata rakyat lawan pemimpin yang bobrok

 


Media senjata rakyat lawan pemimpin yang bobrok


Anakku, Profesor Syed Hussein Alatas seorang pemikir dan sosiologis tersohor negara kita meninggal dunia pada 23 Januari 2007.

Akan tetapi anakku, dalam puluhan atau ratusan tulisan almarhum yang sudah dan belum sempat diterbitkan itu, baba kira ada satu yang mudah dicerna kalian.

Ia bukanlah tulisan sebetulnya, tetapi lebih tepat buah fikir yang baba kutip daripada sebuah wawancara antara majalah Dewan Budaya dengan almarhum pada tahun 1988.

Anakku, kamu harus nanti menjadi pemikir. Hidup ini kita perlu sentiasa berjaga dan berfikir.

Menurut arwah Syed Hussein, pada tahun 1988 – dan baba kira masih atau lebih relevan pada tahun 2021 ialah kita mengalami dua masalah utama.

Menurut Syed Hussein, masyarakat kita berdepan dengan keruntuhan akhlak.

Yang beliau maksudkan dengan runtuh akhlak itu bukan “mabuk-mabuk atau suka main judi”, tetapi ketiadaan rasa taat kepada nilai-nilai moral.

Kalau anak-anak baba melihat keadaan moral kita hari ini. Ia sungguh melemaskan. Kita lihat sahaja suasana berpolitik pada tahun 2020-2021.

Rasuah dan korupsi demikian melata sehingga tidak dapat dibendung.

Syed Hussein bercakap tentang rasuah pada tahun 1998, tetapi lihatlah apakah yang terjadi pada tahun kalian terkurung di rumah kerana pandemik itu? Masih ingat bagaimana kalian lemas di rumah sahaja?

Pada tahun 1988, almarhum berkata, beliau keluar daripada politik kerana melihat tidak ada apa yang dapat dilakukan dalam ruang itu.

Pesan baba, kalian juga jangan sampai masuk ke dalam jurang dan lubuk politik. Ia demikian hina-dina dan kotor.

Kata ikon baba itu: “Politik binasa tidak lagi dapat dicegah,…memang disenchanted dengan politik keseluruhannya kerana pertama sekali perjuangannya tidak sungguh-sungguh dan arus korupsi kuat sekali mempengaruhi segala tindakan.

“Saya berasa tidak kuat untuk menahan atau merubah. Kalau kita tidak dapat mencegah, lebih baik mengasingkan diri”.

Hal ini sangat berkait dengan ketiadaan prinsip moral itu.

Dalam kalangan ahli politik baik pada tahun 1998 mahupun dalam tahun 2021, bahkan mungkin pada zaman kalian dewasa kelak.

Politik itu adalah mainan orang tiada akhlak. Atau yang Syed Hussein sebutkan medan di mana tiada objektiviti.

Maka kita melihat orang politik itu semberono, tiada moral, saling menindas dan kurang sekali khidmatnya untuk kita orang kecil.

Syed Hussein bilang begini, “…Kalau kita umpamanya menjadi anggota daripada satu parti politik, tergantung kepada akhlak juga.

“Kalau akhlak kita itu memang demikian sifatnya, kita tidak memburuk-burukkan parti lain. Kita tidak membaik-baikkan dengan sengaja atau menutup keburukan parti sendiri. Sifat objektif itu boleh dipelihara di mana-mana pun.

“Bahawa seseorang itu memihak tidak bererti hilang objektivitinya. Objektiviti itu sikap, bukan ambil pihak”.

Selain persoalan akhlak yang sudah terbarai itu anak-anakku, baba kira yang paling mustahak dan perlu diberi perhatian teliti ialah umat kita, dalam masyarakat kita tiada pemikir.

Orang kita tidak mahu berfikir, meskipun ada masalah mereka enggan memikirkannya.

Contohnya kalian tercicir pelajaran dalam tahun 2020-2021, adakah pemimpin yang menawarkan idea untuk keluar daripada kemelut tersebut dengan berfikir?

Kenapakah kita tidak berfikir?

Menurut Syed Hussein Alatas, ia berlaku kerana “kebiasaan tradisi”. Memang, kalau kita melihat sejarah kita, mereka yang berfikir dan cuba memberi nilai tinggi kepada pemikiran tidak pernah pun dihargai.

Bahkan baba amat menyetujui pandangan almarhum bahawa kebiasaan menganalisis dan berfikir itu hampir tiada.

Apabila Syed Hussein menyebutkan tentang “kebiasaan tradisi”, yang beliau maksudkan dengan tradisi adalah satu.

Kata beliau, “tradisi yang saya maksudkan ialah tradisi feudal. Tradisi feudal memang kontra fikir”.

Paling baba khuatiri pada tahun-tahun kalian terkurung dek pandemik itu ialah dalam persekolahan kalian yang terbengkalai itu sudah tidak ada pun dorongan untuk berfikir.

Mengapakah sekolah kalian tidak menggalakkan unsur berfikir?

Kata Syed Hussein, puncanya ahli politik, yang mana ketika kalian terpasung di rumah pada tahun 2020 dan 2021 itu politikus bertanggungjawab bernama Mohd Radzi Md Jidin.

Kata Syed Hussein Alatas begini: “Mengapa sekolah tidak menggalakkan unsur-unsur berfikir? Kerana tidak dipandu dan diarah oleh mereka yang berkuasa ke atas sekolah.

“Mereka yang berkuasa, pemimpin tidak memandu dan menggalakkan ke arah itu kerana mereka tidak terdesak oleh rakyat, untuk menghidupkan nilai-nilai itu”.

Justeru menurut Syed Hussein, cara membetulkannya ialah agar rakyat mendesak pemimpin mereka supaya melakukan sesuatu yang mendorong penggunaan akal atau berfikir.

Ini kerana (jika) tidak ada desakan daripada rakyat, pemimpin pun tidak mementingkan soal berfikir.

Malahan kebanyakan mereka tidak berfikir. Jadi arahan terhadap sekolah tidak juga timbul kerana mereka tidak merasai perlunya berfikir.

Ibu-bapa yang semestinya menekankan peranan berfikir ini dalam keluarganya, mereka tidak berbuat demikian.

Oleh sebab itu anak-anakku harus ada yang berani melangkah ke depan untuk memecahkan “lingkaran setan”.

Baba berpegang kepada pendapat Syed Hussein Alatas yang menjelaskan, kita yang harus ke tengah untuk memecah kebuntuan.

Syed Hussein menyatakan: “Untuk memecahkan lingkaran ini, satu-satunya jalan ialah beberapa orang tampil ke muka untuk berusaha dan mengambil peranan itu.

“Siapa sahaja boleh mengambil peranan ini, tanpa memandang kedudukan, tanpa memandang harta tanpa memandang apa-apa”.

Apabila kalian dewasa kelak, kalian mungkin akan tertanya-tanya mengapa baba tidaklah pernah lelah melawan dan mencari jalan membetulkan keadaan di universiti tempat baba berkhidmat.

Ini kerana baba percaya kepada berfikir.

Baba sangat yakin kepada dorongan pemikiran. Baba tidak ragu bahawa dengan berfikir kita boleh merubah keadaan yang terbantut.

Hal ini tertanam dalam fikiran kerana baba sangat menghadami kata-kata Syed Hussein Alatas bahawa kalau keazaman kita kuat, kita dapat membetulkan korupsi, apatah lagi kalau korupsi itu di universiti.

Jadi baba percaya dengan kata-kata Syed Hussein Alatas.

Begini kata beliau: “Satu sahaja cara, intelektual membiak, iaitu dengan berusaha menimbulkan sifat-sifat itu dalamkalangan rakan-rakan.

“Umpamanya kalau dalam satu jabatan universiti, hanya ada satu atau dua orang yang berminat dalam soal-soal intelektual sedang yang lainnya tidak, caranya ialah seorang dua yang berminat ini mesti mencuba mengatasi yang lain.

“Dan yang dua itu mesti mengeluarkan karya-karya sebagai contoh usaha mereka dan kedua-dua orang itu mesti banyak mempersoalkan hal-hal ini dengan mahasiswa mereka.

“Jadi mereka mesti menjadi mubaligh dengan amalan dalam penerbitan, dalam tulisan.

“Dengan cara demikian baru dapat mereka membiak, menambah jenis-jenis mereka.

“Tidak ada cara lain, sebab seorang intelektual itu tidak dibentuk oleh ijazah kertas.

“Jadi soal motivasi, soal keazaman yang kuat ini mesti ada dalam jiwa intelektual itu.

“Dengan ini dia dapat mempengaruhi yang lain ke arah-arah itu”.

Jadi itulah sebabnya hampir tiap malam kalian anak-anakku rimas melihat baba menulis, berkaca mata mencatat atau juga selalu sahaja memberi kuliah atas talian kepada aneka macam grup dan kumpulan anak muda; baik secara terangan atau rahsia.

Kalian anak-anakku mungkin tertanya-tanya mengapa baba tidak menjadi seperti seorang dua kawan di universiti yang tidak pun peduli. Makan gaji dan selamat.

Mereka ini hanya mengalir sahaja dengan masa tanpa pun mahu memecah lilitan setan itu.

Ini juga sekali lagi kerana baba percaya kepada kata-kata almarhum Syed Hussein Alatas. Kalau pun universiti menghukum baba, atau menyekat kemajuan baba, atau tidak mempedulikan, baba tetap harus melakukan.

Syed Hussein dengan keras mengingatkan begini: “Kalau pun terjadi, kerana kehilangan seniority. Umpamanya begini, kawan kita yang dianggap bodoh dia mendapat jawatan, kita tidak. Apa benar kita mesti membodohkan diri, menjadi bodoh pula. Kalau kita anggap diri kita menyumbang dalam pemikiran, tetapi tidak diakui tidak bermakna kita mesti berhenti”.

Akan tetapi anak-anakku, ada beberapa rakan universiti baba itu dek kecewa macam-macam mereka bukan sahaja tidak melawan kebobrokan dan korupsi, malah mereka duduk diam tidak menghasilkan apa-apa dan sekali-sekala berpura-pura ikut sibuk bahawa mereka itu wujud.

Anak-anakku, leter baba agak panjang. Kalian tentu bertanya, bagaimanakah kita boleh membetulkan masalah ketidaktaatan kepada prinsip moral dan ketiadaan usaha berfikir ini?

Misalnya kita tahu pemimpin pada zaman baba muda itu bejat dan bobrok, mungkin pada zaman kalian dewasa nanti akan lebih dahsyat lagi.

Maka apakah yang harus dilakukan – nah, anak-anak, sekali lagi kata Syed Hussein Alatas: “Ia tergantung kepada kita. Kata beliau, kuncinya desakan rakyat.

Apakah wahananya? Media.

Guna sahaja media. Ingat, baba bersenjata dengan pojok baba di portal berita. Ada orang berkincah di media sosial (Instagram, Twitter, atau Facebook).

Ini sudah disebutkan oleh Syed Hussein Alatas, “melawanlah di media”

Kata arwah begini: ”Jalan yang utama melalui media. Ertinya tulisan, ucapan, supaya kita menambahkan lagi kajian, dan desakan rakyat.

“Kalau ini merupakan satu unsur yang berpengaruh, bagus. Umpamanya kalau ada pemimpin kita yang berani, terang-terang berani, kurang ajar, rakyat akan marah.

Oleh kerana dia tahu rakyat akan marah, dia hati-hati. Begitu juga kalau dia tahu rakyat marah kalau dia rasuah – dia akan lebih hati-hati.

Jadi adanya pandangan daripada rakyat menjadi satu ukuran yang kuat. Kalau ini ada, dipengaruhi oleh yang lain-lain”.

Demikianlah anak-anakku sikap baba pada hari kalian terpenjara oleh pandemik dulu.

Ingat anak-anakku, orang lain mungkin masih tidur, akan tetapi tanggungjawab kita yang sudah terjaga atau memang berjaga untuk menggerakkan mereka yang masih lena berdengkur ini.

Jika mereka sudah dikejutkan, tetapi mahu kekal diulit mimpi, argh biarkan, tetapi kalian wajib bangkit dan bergerak segera.

Tinggalkan mereka biar kesiangan. Lambat laun mereka akan sedar dan menurut di belakang kamu. – FMT


No comments: