BUKAN LIMA, TAPI ENAM MP UMNO DISEKAT PERUNTUKAN, JADI BERAPA TINGGAL MAJORITI MUHYIDDIN SEKARANG?

 

Dalam wawancara dengan sebuah saluran tv internet malam semalam, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, lima Ahli Parlimen UMNO telah dikurangkan peruntukan pembangunan untuk kawasan masing-masing oleh kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin bagi tahun 2021.

Katanya, berbanding Ahli Parlimen kerajaan lain yang diberi peruntukan sebanyak RM3.7 juta, lima Ahli Parlimen UMNO berkenaan hanya diperuntukkan sebanyak RM100 ribu sahaja.

Mereka yang dikurangkan peruntukan itu, tambah beliau adalah dirinya sendiri (Bagan Datuk), Najib Razak (Pekan), Ahmad Maslan (Pontian), Nazri Aziz (Padang Rengas) dan Ahmad Jazlan Yaakob (Machang),

“Setakat ini saya terima peruntukan sebanyak RM100,000 setahun untuk tahun 2021. Ahli Parlimen kerajaan yang lain dapat RM3.7 juta.

“Alhamdulilah saya mendapat RM100,000. ‘Cukuplah’ untuk Bagan Datuk rasanya.

“Kami sokong Belanjawan 2021 tiga kali, di peringkat dasar, jawatankuasa dan peringkat bacaan kali ketiga.

“Tetapi hadiah yang kami dapat, Alhamdulillah…peruntukan sebanyak RM100 ribu setahun.

“Saya ucapkan terima kasih atas peruntukan yang diberikan itu,” katanya dengan nada menyindir kepada Muhyiddin dan kerajaan PN.

Jika diperhati berdasarkan pendedahan Ahmad Zahid semalam, adalah jelas mereka yang dikurangkan peruntukan itu adalah merupakan Ahli Parlimen yang kuat mengkritik kerajaan PN, termasuk dua daripadanya telah mengumumkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Ahmad Jazlan dan Nazri Aziz telah mengumumkan tidak lagi menyokong kepimpinan Muhyiddin, manakala Ahmad Zahid dan Najib diketahui begitu lantang mengkritik Bersatu dalam ucapan di menyuarat perwakilan UMNO bahagian masing-masing baru-baru ini, selain dalam beberapa kenyataan media lainnya.

Majoriti UMNO bahagian-bahagian seluruh negara juga telah meluluskan usul putus hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.

Ahmad Maslan pula dipercayai dipercayai turut dipotong peruntukan pembangunan untuk kawasan Parlimennya kerana beliau adalah Setiausaha Agung UMNO dan BN serta kebelakangan ini turut kerap mengkritik Bersatu dan kerajaan.

Walaupun Ahmad Zahid mendedahkan hanya lima Ahli Parlimen yang dikurangkan peruntukan pembangunan untuk kawasan Parlimen yang mereka wakili, angka sebenar yang terlibat ialah enam orang.

Seorang lagi yang turut dimangsakan oleh kerajaan PN, tetapi mungkin terlupa disebut oleh Ahmad Zahid ialah Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang.

Lebih malang, menurut sumber yang dekat dengan Ku Li memberitahu, peruntukan untuk Gua Musang bukan saja dikurangkan, malah tidak diberikan langsung.

“Untuk tahun 2021, tiada peruntukan pembangunan walau satu sen pun diberikan untuk Gua Musang,” jelas sumber tersebut.

Sama seperti lima Ahli Parlimen UMNO yang dipotong peruntukannya itu kerana didapati kritikal terhadap Bersatu dan kerajaan serta dianggap tidak lagi menyokong Muhyiddin, Ku Li sejak awal memang diketahui tidak mengakui keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu berkali-kali menuntut agar usul undi tidak percaya dibenarkan dibentang di Parlimen bagi membuktikan Muhyiddin benar-benar memiliki majoriti yang sah serta diiktiraf.

Ku Li turut bertindak tidak mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2021 serta tidak hadir dalam semua pengundian belanjawan sebagai menunjukkan sikapnya yang tidak mengiktiraf kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Persoalan penting di sini, dengan memotong dan menyekat terus peruntukan pembangunan untuk enam Ahli Parlimen UMNO itu, ia dengan jelas dan sahih membuktikan Muhyiddin benar-benar telah hilang sokongan majoriti di Parlimen.

Ini kerana, sama ada secara sedar atau tidak, Muhyiddin telah meletakkan mereka itu dalam kategori yang setaraf dengan Ahli Parlimen pembangkang atau tidak lagi menyokongnya.

Lantaran dianggap tidak lagi menyokongnya, maka peruntukan pembangunan untuk kawasan Parlimen masing-masing yang mana peruntukan itu sebenarnya adalah untuk pengundi atau rakyat dan bukan untuk kepentingan wakil rakyat, telah dipotong atau disekat terus.

Oleh kerana dalam pengundian Belanjawan 2021 bagi bacaan kali ketiga baru-baru ini, undi yang menyokong adalah 111 berbanding 108 yang menentang, sekarang dengan lima daripada mereka itu (Ku Li tidak hadir ketika pengundian) telah disisihkan sendiri oleh Muhyiddin atau sokongannya tidak lagi diperlukan, maka berapakah lagi majoriti yang tinggal menyokong Perdana Menteri?

Tidakkah dengan tindakan ini sebenarnya Muhyiddin sendiri telah mendedahkan kepada umum bahawa majoritinya telah tiada lagi?

Dengan itu, kenapakah beliau masih tak malu duduk sebagai Perdana Menteri?

Dalam hal ini, apakah Muhyiddin juga telah menipu Agong mengenai jumlah sebenar majoriti yang dimilikinya? 


(Shahbudindotcom 04/02/2021)




No comments: