TOMMY THOMAS
3 Feb 2021 | http://chedet.cc/?p=3323
1. Saya terkejut membaca petikan dari buku Tommy Thomas My
Story: Justice in the Wilderness. Tommy adalah salah seorang peguam yang benci
saya. Tetapi sebelum saya menjadi Perdana Menteri semula, Tommy telah datang
bersama Zainur Zakaria dan Ambiga, kedua-duanya juga pernah pada satu masa
menentang saya dan Zainur telah cadangkan nama Tommy sebagai Peguam Negara.
2. Pada masa itu saya kecewa dengan sebilangan Peguam Negara
Melayu yang bersedia untuk taat kepada Perdana Menteri (Najib) walaupun disuruh
melakukan sesuatu yang salah. Saya fikir ia satu perkara yang baik untuk lantik
Peguam Negara bukan Melayu.
3. Apabila saya jadi Perdana Menteri ke-7, saya putuskan untuk
lantik Tommy Thomas. Saya sedar orang Melayu tidak akan suka. Tetapi Peguam
Negara Melayu tidak bersungguh dalam profesion mereka. Saya sedia terima
kritikan orang Melayu. Tetapi saya tidak dapat halang kecaman orang Melayu atas
pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.
4. Secara umum saya berpuas hati dengan kerja Tommy. Dia
jelaskan kepada saya bahawa tidak ada kes untuk dakwa yang dikatakan penyokong
LTTE ini. Saya terima penjelasan itu dan menulis kepada Muhyiddin, Menteri
Dalam Negeri. Tommy buang kes tersebut. Kemarahan orang Melayu kepada saya
memuncak.
5. Tommy tidak tahu apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan
saya. Menurut Tommy, saya beritahu kepadanya bahawa Agong mahukan Wan Azizah
sebagai Perdana Menteri Interim (sementara). Ini cerita karut. Selepas menerima
dengan berat hati peletakan jawatan saya, Agong cadangkan saya sebagai Perdana
Menteri Interim. Nama Wan Azizah tidak pernah disebut oleh Agong sebagai
Perdana Menteri Sementara.
6. Sebabnya saya letak jawatan ialah kerana parti saya sendiri,
Parti Pribumi Bersatu Malaysia menolak nasihat saya untuk tidak keluar dari Pakatan
Harapan kerana pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan kesemua ahli
telah bersetuju untuk serah kepada budi bicara saya tarikh sesuai untuk letak
jawatan. Jelas mereka tidak hendak saya letak jawatan dan beri laluan kepada
Anwar. Anwar dan Wan Azizah hadir dalam mesyuarat itu.
7. Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, pada hari
Ahad rayuan saya untuk diberi masa sebelum buat keputusan keluar dari PH
ditolak. Saya tahu apabila Bersatu bersama kumpulan PKR Azmin keluar dari PH,
Kerajaan PH akan jatuh kerana hilang majoriti.
8. Walaupun saya merayu untuk diberi masa seminggu untuk buat
keputusan, malam itu Bersatu, kumpulan Azmin dari PKR, UMNO dan PAS hadir makan
malam di Sheraton Petaling Jaya. Saya enggan hadir, kerana saya tidak dimaklum
apa-apa sebelum itu. Jelas sekali Bersatu, dipimpin Muhyiddin bersetuju bentuk
pakatan bersama UMNO, PAS termasuk kumpulan Azmin. PH tidak lagi jadi Kerajaan.
Mereka tidak boleh tunggu seminggu untuk saya buat keputusan.
9. Saya terfikir tentang penolakan nasihat saya oleh MPT Bersatu
dan penyertaan Bersatu di Sheraton. Nyata bahawa saya telah hilang keyakinan
dari Bersatu dan oleh sebab itu saya harus letak jawatan sebagai Pengerusi
parti. Jika saya letak jawatan sebagai Pengerusi, saya juga tidak lagi mewakili
Parti dalam PH. Jadi saya perlu juga letak jawatan sebagai Perdana Menteri.
10. Setelah diberitahu kepada pemimpin PH, saya menjangka akan
mengadap Agong di sebelah tengahari. Saya percaya YDPA telah terima surat
peletakan jawatan saya semasa pertemuan itu. Pada awalnya YPDA menolak
peletakan jawatan saya. Saya kekal dengan pendirian saya dan kemudian YDPA
terima keputusan itu. Tetapi YDPA minta saya jadi Perdana Menteri sementara.
11. YDPA tidak cadangkan nama lain, pastinya bukan Wan Azizah, Timbalan
Perdana Menteri (TPM). Saya tidak tawar diri tetapi tidak kena jika saya
menolak cadangan Agong.
12. Pada masa itu Kerajaan Pakatan Harapan telah jatuh rentetan
pengumuman Muhyiddin mengeluarkan Bersatu dari PH di sebelah tengahari. Wan
Azizah sebagai TPM tidak boleh ambil alih jawatan kerana PH bukan lagi
Kerajaan. Juga tidak ada satu pun ahli PH boleh ambil alih daripada saya.
13. Agong meminta 222 ahli Parlimen namakan Perdana Menteri baru
yang punyai sokongan majoriti ahli. YDPA mahu mereka buat pilihan dengan
tandatangan Akuan Bersumpah di hadapannya.
14. Ini mengambil masa selama 2 hari dengan YDPA menyaksi ahli
Parlimen menamakan calon dan tandatangan akuan tersebut.
15. Saya tidak menamakan diri sebagai calon tetapi saya telah
jangka akan menang. Seperti dinyatakan di atas, Majlis Presiden PH telah putus
menyerahkan kepada saya bila masa untuk saya letak jawatan. Sebaliknya YB
Hamzah Zainuddin yang merancang kejatuhan PH telah memperoleh Akuan Bersumpah
dari semua ahli Parlimen UMNO dan PAS untuk sokong saya sebagai Perdana
Menteri.
16. Saya fikir kedudukan saya telah diperkuat memandangkan
kesemua Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang menyokong saya. Tetapi rancangan
Hamzah ialah menjadikan saya Ketua kepada pakatan baru yang dianggotai UMNO,
PAS dan Bersatu. Saya masih lagi akan jadi Perdana Menteri dan ini akan
pengaruhi saya untuk tinggalkan PH.
17. Tetapi ahli Parlimen PH tidak namakan saya sebagai calon
mereka semasa tandatangan akuan bersumpah di hadapan Agong. Anwar yakinkan
mereka yang dia mendapat sokongan ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dan bersama
ahli parlimen PH, memperoleh majoriti untuk jadi Perdana Menteri. Dengan itu
mereka namakan Anwar sebagai calon PH.
18. Hakikatnya dia hanya disokong DAP, Amanah dan kumpulannya
dalam PKR. Mereka berjumlah 92. Saya cuma mendapat 62 sokongan. Jadi kami
berdua kalah.
19. Semasa Muhyiddin dinamakan sebagai Perdana Menteri, dia
tidak dapat sokongan majoriti. Tetapi setelah dilantik dia tawar jawatan
kabinet kepada ahli yang telah sokong saya. Mereka beralih sokongan dan
Muhyiddin mendapat lebihan dua majoriti.
20. Semasa Tommy Thomas jadi Peguam Negara, hubungan kami baik.
Dia akan berjumpa saya untuk isu-isu utama. Saya juga percaya dan pertahan dia
ketika dikecam orang Melayu. Tempoh khidmatnya hampir tamat. Saya cadangkan
anugerah Tan Sri untuk dia.
21. PAS tidak pernah secara langsung minta untuk dia digugurkan.
Tetapi saya telah terima banyak kecaman kerana dia, dan saya fikir dia tidak
perlu lagi disambung perkhidmatan setelah tamat.
22. Tetapi apabila saya letak jawatan sebagai PM dia datang
berjumpa saya untuk beritahu yang memandangkan saya yang lantik dia dan saya
bukan lagi PM maka dia juga rasa perlu letak jawatan.
23. Tulisannya berkenaan peletakan jawatan saya cukup
hebat
. Saya selalu dilabel diktator oleh pembangkang ketika jadi
Perdana Menteri. Tak mungkin pembangkang akan puja saya. Itu bukan sifat
pembangkang. Tetapi saya letak jawatan pada 2003 kerana rasa terlalu lama jadi
PM. Diktator biasanya tidak akan letak jawatan. Tapi sudah pasti yang menentang
saya tidak akan berhenti mendakwa saya diktator.
24. Saya tidak ingin bosankan dengan berjawatan terlalu lama.
Pada 2020 saya letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu bukan atas kehendak
saya, tetapi parti telah hilang kepercayaan kepada saya. Saya juga yakin PH
sudah hilang majoriti dan tidak boleh lagi jadi Kerajaan. Saya juga letak
jawatan Perdana Menteri. Sebenarnya tak perlu pun letak jawatan kerana
kejatuhan Kerajaan PH bermakna saya bukan lagi PM.
25. Berkenaan Kabinet pula, apabila PH hilang majoriti, Kabinet
juga tidak dapat kekal. Perkara 43 (4) Perlembagaan menyebut “Jika Perdana
Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka
Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas
permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
26. Ini berbeza dengan 1969, apabila Perikatan punyai majoriti.
Ia tidak ditumbangkan seperti PH. Tunku dijangka akan jadi PM. Tetapi darurat
diisytihar, MAGERAN ditubuh dan dipimpin oleh Tun Razak. Kemudian Tunku letak
jawatan dan Tun Razak dilantik sebagai PM. Dia masih punyai majoriti kerana
Perikatan telah menang dalam pilihanraya.
27. Begitu juga Barisan Nasional (BN) masih punyai majoriti
apabila Hussein putuskan untuk tidak mahu bertanding dan saya jadi Presiden
UMNO dan Perdana Menteri.
28. Semasa saya letak jawatan pada 2020 PH telah hilang majoriti
dan Agong tidak boleh terus lantik Wan Azizah, TPM sebagai Perdana Menteri.
Agong juga tidak meminta Wan Azizah menjadi Perdana Menteri Interim.
29. Sebenarnya tidak ada peruntukan untuk Perdana Menteri Interim.
Saya terima jawatan itu kerana proses pemilihan oleh 222 Ahli Parlimen
mengambil masa yang lama. Negara perlukan Ketua Kerajaan sementara. Setelah
ahli parlimen pilih Perdana Menteri baru, pelantikan saya terhenti. Tetapi ahli
parlimen tidak berikan majoriti jelas, Anwar peroleh 92 manakala saya 62 undi.
30. Ya. Peletakan jawatan ini pendirian peribadi. Saya tidak
hantar surat peletakan kabinet. Tetapi apabila Kerajaan PH tumbang, tidak ada
alasan untuk Kabinet kekal. Ia terbubar bersama Kerajaan.
31. Saya hairan bagaimana seorang peguam tidak faham yang ini
bukanlah pertukaran Perdana Menteri. Kerajaan PH telah tumbang. Agong tidak
boleh lantik Wan Azizah, TPM sebagai Pemangku PM. Sama seperti saya, dia juga
tidak punyai majoriti apabila PH ditumbangkan oleh Bersatu yang keluar bersama
kumpulan Azmin dari PKR atau Parti Keadilan. Samalah juga dengan Kabinet.
32. Sebagai Perdana Menteri Interim tugas saya ialah untuk
menubuh Kerajaan. Ahli politik sibuk bercakap tentang kepentingan parti mereka,
bukan tentang negara.
33. Saya berpendapat kita perlu lupakan tentang parti dan fikir
tentang negara. Oleh itu saya beritahu kepada semua Ketua Parti kita perlu ada
Kerajaan Perpaduan dan lupakan agenda peribadi. Kita juga perlu bawa bukan ahli
politik ke dalam Kerajaan.
34. Saya masih ingat dengan jelas Tun Razak, Pengerusi MAGERAN,
cuba untuk bawa kesemua parti pembangkang ke dalam Kerajaan. Dia berjaya bawa
bersama Gerakan, PAS dan SUPP. Tetapi DAP tolak. Masih dia rasa berhak untuk
namakan perikatan baru yang dikenali sebagai Barisan Nasional.
35. Saya fikir kita perlu perkara yang sama. Tetapi saya gagal
kerana Kit Siang dakwa saya mahu jadi Diktator. Dia sokong Anwar sebagai calon
PH. Jika 92 undi itu bersama saya, saya akan peroleh 154 undi. Bayangkan
bagaimana halatuju Negara jika kesemua parti meletakkan Negara ini sebagai
matlamat utama.
YBTUN DR MAHATHIR MOHAMAD.