Tiba masa kerajaan, pembangkang pertimbang Kabinet bayangan

 

Astro Awani
Tiba masa kerajaan, pembangkang pertimbang Kabinet bayangan
Felo penyelidik Policy Research Group (PRG), Nashril Abaidah berkata, cadangan itu seiring usaha -political reset- yang diusahakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang ketika ini. -Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan pembangkang disaran mempertimbangkan usaha untuk menginstitusikan Kabinet bayangan di peringkat Dewan Rakyat sebagai usaha mengukuhkan amalan demokrasi di negara ini.
Felo penyelidik Policy Research Group (PRG), Nashril Abaidah berkata, cadangan itu seiring usaha “​political reset”​ yang diusahakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang ketika ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, cadangan berkenaan hanya boleh direalisasikan sekiranya wujud iltizam politik ​yang tinggi untuk menubuhkan dan mengiktiraf Kabinet bayangan selaras dengan amalan demokrasi berparlimen.
“Kewujudan Kabinet bayangan secara sah sudah lama dinafikan.
“Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan sistem ini secara rasmi bagi membolehkan pembangkang memainkan peranan lebih penting dalam sistem demokrasi negara.
“Kerajaan dan pembangkang yang komited terhadap prinsip demokrasi akan memahami perlunya semak dan imbang, dan kewujudan sistem ini boleh menyuburkan lagi demokrasi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengesa pembangkang agar membentuk sebuah Kabinet bayangan dan memberikan tumpuan kepada pembangunan dasar yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
Namun, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata Pakatan Harapan (PH) buat masa ini tidak perlu mewujudkan Kabinet bayangan bagi proses semak dan imbang kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Sebaliknya, jelas beliau, Ahli Parlimen PH telah diberi portfolio tertentu untuk memberi fokus kepada subjek spesifik dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Nashril berkata kenyataan bahawa PH tidak memerlukan Kabinet bayangan disifatkan sebagai gagal mencerminkan semangat yang mendokong demokrasi berparlimen.
Katanya lagi, isu asas Kabinet bayangan bukan untuk PH semata-mata, sebaliknya ia perlu bagi menyuburkan demokrasi selaras dengan amalan Westminster.
Selain itu, Nashril berpandangan kegagalan untuk mewujudkan Kabinet bayangan sebelum disebabkan kekurangan dana dan maklumat.
“Ini kerana Kabinet bayangan bukanlah satu institusi yang diiktiraf sebagai sebuah institusi rasmi.
“Ketika ini hanya jawatan Ketua Pembangkang sahaja yang diiktiraf.
“Buat masa ini, Kabinet bayangan sukar untuk berfungsi berikutan kekurangan dana dan maklumat yang diperlukan anggota Kabinet bayangan untuk menjalankan tugas dengan berkesan.
“PRG percaya beberapa usaha untuk menjayakan Kabinet bayangan (secara tidak rasmi) sebelum ini juga gagal kerana kekurangan sumber,” ujar beliau.
Justeru, perkara itu katanya, menyebabkan tidak wujud sistem semak dan imbang yang mantap serta perdebatan yang berkualiti di Dewan Rakyat kerana maklumat dimonopoli oleh satu pihak sahaja.

No comments: