Jenayah penyeludupan 'kartel daging' cemar industri makanan halal Malaysia

 


Imej industri halal Malaysia terjejas teruk akibat jenayah penyeludupan 'kartel daging' yang dibongkar dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, penyeludupan daging tidak halal kemudian dibungkus semula dan meletakkan label halal benar-benar mencemar industri makanan halal negara yang berintegriti dan terkenal di peringkat antarabangsa.

Katanya, lebih jelik lagi, sindiket tersebut dilaporkan oleh akhbar New Straits Times (NST) mungkin telah berleluasa selama puluhan tahun atas "sokongan" daripada pegawai-pegawai kerajaan yang "dibeli".

"Meskipun Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan angka 40 tahun (sidiket), namun tidak mustahil ia telah berlarutan dalam tempoh lama kerana dilaporkan melibatkan ramai “orang dalam” dan aduan berkenaannya pernah dibuat.

"Tambah buruk apabila penyeludupan ini berlaku di banyak negeri seperti Kelantan, Sarawak dan Johor seperti yang disahkan oleh Bukit Aman.

"Operasi dan serbuan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa di Taman Perindustrian Senai baru-baru ini mendapati sebuah gudang digunakan sebagai lokasi membuat cap palsu yang kemudiannya ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula. Ia seolah-olah satu perbuatan yang dirancang malah dibantu oleh tangan ghaib penguasa.

"Selaku Ahli Parlimen bagi kawasan Johor, saya menyeru agar Kerajaan Negeri lebih tangkas mengawal keadaan agar tidak menjadi kronik. Saya dimaklumkan, aduan berkenaan kegiatan ini pernah dilaporkan kepada pihak Kastam Johor sebelum ini namun tidak ada tindakan yang diambil," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim mencadangkan buat sementara waktu ketika siasatan terperinci dijalankan oleh pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa tindakan susulan boleh diambil.

Terutamanya, usaha sepadu oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Lembaga Pelabuhan Johor untuk membanteras penyeludupan. Usaha tersebut harus meliputi meninjau kelemahan prosedur, sistem import eksport, kelonggaran pintu masuk serta integriti pegawai yang terlibat.

Kerajaan juga, menurut beliau wajar mengesan daging beku yang dikenalpasti secara dokumentasi telah diedarkan serta mengambil tindakan sewajarnya sama ada merampas atau menyita demi pengguna.

Selain itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor itu juga menyeru agar diselesaikan segera bidang kuasa agensi yang terlibat supaya tidak timbul konflik kelewatan atau birokrasi yang dikhuatiri terdapat pertindihan perundangan dan bidang kuasa sehingga menjejaskan tindakan membanteras dan menjaga kepentingan rakyat.

"Akhirnya, sebagaimana saranan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, saya juga menyeru semua Kementerian dan agensi yang terlibat untuk tampil kehadapan dan berani menggalas tanggungjawab untuk bersemuka dengan rakyat dalam isu ini.

"Sekiranya dakwaan ini benar maka ianya wajib dibongkar dan dibanteras habis-habisan. Rakyat wajar dimaklumkan. Semua mereka yang bersekongkol dalam jenayah penyeludupan dan komplot kartel termasuk pemegang Permit Import (AP) serta perasuah wajib dibawa ke muka pengadilan, tidak kira pangkat atau kedudukan," katanya lagi.

 

No comments: