PENDIRIAN YANG BETUL BAGI UMNO IALAH "NO BERSATU"

 

Sebagaimana sudah agak kerap saya menulis sebelum ini, hakikat bahawa baik Anwar Ibrahim atau DAP, kedua-duanya bukanlah musuh yang sebenar bagi UMNO, ia kini nampaknya mula disedari.

Terbaru, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, slogan “No Anwar No DAP” hanyalah sentimen semata-mata.

Ahli MT UMNO, Dr. Puad Zarkashi juga menekankan perlunya UMNO bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan DAP.

Menurut Ku Li, pendirian yang dipegang UMNO itu tidak seharusnya menjadi pendirian yang muktamad.

“Saya rasa itu (pendirian) sentimen tebal sahaja. Bagi saya dalam politik itu semua tak diambil kira, yang penting rakyat, rakyat mesti diambil kira.

“Kalau masalah itu memerlukan kita melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada kepada rakyat, maka itulah yang didahulukan.

“Soal kita dengan DAP, kita sebagai pemimpin mesti bijak, bijak menguruskan, bijak membahagikan kuasa, bijak menentukan dan memantau apa yang boleh diberi dan dilakukan oleh rakan (politik) kita.

“Jadi, kalau kita menguasai keadaan, saya rasa itu tak menjadi perhitungan. Yang penting, rakyat,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu lagi.

Harus juga disedari, UMNO bukan saja tidak bertembung dengan DAP dalam pilihanraya, bahkan dengan PKR pun, pertembungan hanya berlaku di kawasan terpilih saja.

Jadi, kenapa perlu bimbang dengan DAP dan Anwar?

Tetapi, sebagaimana diketahui umum, sangat kerap dan lantang UMNO melaungkan slogan “No DAP No Anwar” ini dalam mengisi perjuangannya.

Dalam keadaan MCA dan MIC tidak lagi diterima oleh pengundi bukan Melayu, UMNO sepatutnya menjadikan DAP dan PKR sebagai rakan strategik mereka, bukan saja demi kelangsungan kuasa, bahkan untuk kepentingan negara dan rakyat berbilang kaum yang menghuni Malaysia ini.

Lagi pula, dengan peredaran masa dan keterbukaan pemikiran rakyat, menggunakan isu kaum sebagai modal politik bukan lagi pilihan yang terbaik, sebaiknya perjuangan politik harus bersandarkan keperluan sebenar rakyat dalam kehidupan dan membina negara.

Dulu, musuh UMNO adalah Pas dan ia memang wajar kerana kedua-duanya bertembung di kawasan yang sama, tetapi sejak UMNO bermuafakat dengan Pas, musuh sebenar UMNO adalah Bersatu.

Bersatu yang ingin mengenepikan UMNO dengan cara menindas dan membuli parti itu bagi membolehkan lebih banyak kerusi Melayu diperolehi, mentang-mentang kuasa lebih banyak terkumpul di tangan mereka.

Sebagai parti Melayu yang baru, Bersatu hanya boleh terus hidup jika ia berjaya membenamkan UMNO, manakala jika gagal berbuat demikian, Bersatu sendiri yang akan tersungkur dibuatnya.

Untuk itu, UMNO sebagai parti lama, terbesar dan pernah berkuasa sebelum ini, mereka harus tahu siapa musuh dan siapa yang boleh dibuat kawan.

Anwar, PKR dan DAP bukanlah musuh bagi UMNO, tapi lebih bermanfaat jika dibuat kawan.

Pilihan yang betul bagi UMNO ialah “No Bersatu”, bukan “No Anwar No DAP”, bahkan lagi lama UMNO membiarkan dirinya duduk bersama Bersatu dalam kerajaan PN, lagi mudah untuknya dijadikan tidak bermaya oleh parti pimpinan Muhyiddin itu.


 (Shahbudindotcom 25/12/2020)




No comments: