PPBM Selangor tidak ketagih ‘simpati’ UMNO, sedia lawan, jika terpaksa, pada PRU, kata Rashid


PETALING JAYA: PPBM Selangor masih berusaha berunding dengan UMNO mengenai pengagihan kerusi di Selangor, namun bersedia “bertembung” dengan parti itu pada pilihan raya umum ke-15, jika terpaksa, kata Pengerusi PPBM Selangor, Abdul Rashid Asari.

Beliau membayangkan bahawa UMNO setakat ini menolak usaha PPBM untuk merungkai isu pengagihan kerusi di Selangor dalam menghadapi PRU yang dijangka diadakan tahun depan apabila pandemik Covid-19 reda.

“Jika (kena) bertembung (dengan UMNO), maka bertembunglah. Hendak buat macam mana lagi. Sudah jelas rakyat Selangor tidak menerima UMNO sebagai pemimpin di Selangor. Jadi, kita akan teruskan agenda kita bawah Perikatan Nasional (PN),” kata beliau kepada FMT.

Rashid berkata pengundi Selangor menolak UMNO dalam tiga PRU lalu dan jelas, perlu ditawarkan alternatif baru dalam bentuk PN yang menggabungkan PPBM dan PAS sebagai tonggak utamanya.

Beliau berkata PPBM Selangor akan berusaha menunaikan hasrat presiden parti, Muhyiddin Yassin, yang mahukan PPBM berunding dengan UMNO, bagi mengelakkan pertembungan pelbagai penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

Namun, pada masa sama, PPBM negeri akan bersikap realistik dan tidak menagih simpati UMNO, kata Rashid.

“Kita akan teruskan perbincangan dengan UMNO tetapi kalau mereka menolak perbincangan, pertemuan, apa lagi yang kita hendak buat. Saya akan cuba teruskan perbincangan, perjumpaan dengan mereka, sekiranya mereka sudi,” kata beliau.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar, dilaporkan berkata, UMNO akan mengelakkan pertembungan dengan PAS pada PRU15 namun bersedia melawan PPBM jika parti itu “menganggu” kerusi milik UMNO.

“Kalau PPBM cuba nak ganggu kawasan kita, UMNO tiada pilihan melainkan terpaksa melawan PPBM,” kata beliau.

Rashid berkata PPBM dan PAS bawah naungan PN sepakat untuk terus berusaha menawan hati pengundi, bagi memastikan gabungan kerajaan itu memenangi kerusi yang disasarkan pada PRU15.

“Kita bukan tagih simpati tetapi kita rasakan bahawa sekiranya PPBM dan UMNO bersatu di Selangor, kita akan merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH). Itu usaha yang kita akan teruskan,” katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, sekiranya UMNO berterusan menutup pintu perbincangan, PPBM tidak akan tersasar daripada meneruskan kerjasama dengan PAS dalam membawa agenda perjuangan PN.

“UMNO dan PAS ada Muafakat Nasional tetapi tidak didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, berbeza dengan PN. Ia sudah didaftarkan dan diluluskan. Jadi, apa yang sah hanyalah PN, sebab itu kita (PPBM dan PAS) akan gunakan logo PN menjelang pilihan raya akan datang,” katanya.

Rashid turut berterima kasih dengan PAS kerana begitu konsisten dalam pendirian mereka untuk terus menerus menyokong PN.


No comments: