Panas! Umno dakwa Pas “main dua kolam”

 

Panas! Umno dakwa Pas “main dua kolam”


Pas perlu membuat keputusan segera sama ada mahu bersama-sama dengan Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini kerana setakat ini, parti itu masih belum pendirian yang jelas mengenai kerjasama mereka untuk menghadapi PRU-15.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, keputusan segera diperlukan kerana PRU-15 mungkin akan diadakan tidak lama lagi.

“Kalau kita terpaksa berdiri sendiri, kita masih yakin dan saya yakin kita boleh. Tapi kalau seeloknya boleh kekal bersama Pas dengan UMNO lagi baik.

“Sekarang ini dia orang (Pas) belum lagi bercakap (belum) buat keputusan yang jelas. Cuma dia kata UMNO pun nak bersama dengan Muafakat Nasional dan dia pun nak juga MN menerima Bersatu.

“Kita (UMNO) nak Pas buat keputusan nak bersama dengan UMNO dalam MN ke tidak, lekas buat keputusan sebab kita nak pilihan raya ini,” kata beliau.

Tajuddin berkata demikian selepas menyampaikan bantuan persekolahan di bawah Program Sejambak Kasih anjuran Malaysia Dept Venture Berhad (MDV) di Kampung Gajah, Perak pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi MDV, Khairul Azwan Harun.

Tajuddin dalam masa sama menasihatkan Pas supaya membuat perkiraan terlebih dahulu lebih untuk bersama UMNO dalam MN atau Bersatu di dalam PN.

Bagaimanapun, beliau yakin, Pas akan lebih beruntung sekiranya bersama MN kerana UMNO telah mempunyai struktur yang kukuh, termasuk di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pasir Salak itu menggesa Pas agar membuat keputusan dengan segera serta tidak menunggu hingga saat-saat akhir.


No comments: