KENYATAAN MEDIA


1. Baru-baru ini negara telah digemparkan dengan isu sendiket kartel daging import yang menyeludup daging murah dari negara yang tidak diiktiraf persijilan halalnya. Ada laporan mendakwa sendiket ini telah mencampurkan daging halal dengan daging haram kemudian ianya dipasarkan kepada orang ramai.


2. Isu ini bukan sahaja melibatkan status halal yang diragui  bahkan dari sudut kebersihan juga tidak terjamin kerana tidak dipantau mengikut tatacara ketat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa. 


3. Kawan-kawan saya ramai dikalangan muslim dan kakitangan saya juga ramai muslim. Apa-apa isu melibatkan halal, haram dan kebersihan makanan tersangatlah sensitif dan penting bagi mereka. Terutamanya apabila terkait dengan soal ibadah. Saya difahamkan, mengikut kepercayaan agama Islam, ibadah  sukar diterima Tuhan jika penganutnya memakan makanan haram atau status halal yang diragui. 


4. Dalam bab ini, walaupun saya bukan muslim, atas semangat rakyat Malaysia, saya bersolidariti untuk kawan-kawan muslim saya dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan sendiket kartel daging ini. 


5. Selain itu, memakan makanan yang bersih sememangnya dituntut bukan sahaja oleh agama Islam tetapi juga agama lain supaya beroleh tubuh badan yang sentiasa sihat dan cergas.


6. Satu lagi masalah dalam isu ini adalah rasuah yang dilihat semakin membarah. Dilaporkan habuan seperti wang dan seks telah ditawarkan oleh sendiket daging untuk memastikan aktiviti haram mereka dapat dijalankan dengan bebas. 


7. Sebab itu, saya merasakan apa yang telah dilakukan oleh sendiket kartel daging import dan pegawai kerajaan yang terlibat adalah sangat berat kesalahannya, tidak bertanggungjawab dan mencemarkan nama baik industri halal negara. 


8. Kegiatan mereka ini tiada beza daripada insiden di negara lain yang memproses beras dan telur palsu. Demi keuntungan maksimum mereka sanggup memberi orang ramai makan makanan yang kotor. Amat menjijikkan sekali.


9. Justeru, saya mendesak agar kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Majlis Agama Islam dan lain-lain agensi berwajib agar mengambil tindakan tegas dan sekeras-kerasnya terhadap mereka yang terlibat tanpa mengira agama dan bangsa. Kerajaan juga perlu memberi jaminan kepada rakyat supaya isu seperti ini tidak lagi berulang di masa akan datang. 


10. Bagi pihak Keadilan Johor, saya akan terus memantau dari masa ke masa perkembangan kes ini demi kesejahteraan rakyat.


YB JIMMY PUAH WEE TSE

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, 

ADUN Bukit Batu


26 Disember 2020, Sabtu