Akar umbi UMNO pasti tolak cadangan gabungan perdana, kata Nur Jazlan

 

Akar umbi UMNO pasti tolak cadangan gabungan perdana, kata Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed berkata, prinsip demokrasi berparlimen adalah majoriti menentukan nasib minoriti, bukan sebaliknya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Timbalan Ketua UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed berkata, pemimpin akar umbi dan ahli parti itu tidak akan bersetuju dengan penubuhan gagasan perdana membabitkan Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak untuk memenangi pilihan raya umum ke-15.

Beliau menyifatkan PPBM sebagai parti minoriti lemah yang tidak mempunyai kekuatan akar umbi apabila kehilangan jawatan menteri besar di Johor, Kedah dan Perak selepas PRU14 lalu.

“Contohnya, kegagalan menteri besar daripada PPBM di Perak menjaga kepentingan bersama PN telah menimbulkan tindak balas daripada ADUN UMNO yang menyebabkan penyingkirannya,” katanya kepada FMT.

Beliau mempersoalkan bagaimana gabungan itu mahu berunding dan menentukan pembahagian kerusi yang tidak memihak kepada UMNO, tetapi meminta parti itu berusaha memenangkan calon PPBM.

“Prinsip demokrasi berparlimen adalah majoriti menentukan nasib minoriti, bukan sebaliknya,” katanya mengulas cadangan Setiausaha Agung PN dan PPBM, Hamzah Zainudin hari ini untuk PN, BN dan GPS bersatu di bawah sebuah gagasan perdana bagi memastikan kemenangan pada PRU15.

Katanya, gagasan itu perlu menggubal “Piagam Persefahaman Politik” untuk meyakinkan rakyat ia menawarkan kestabilan politik kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar berkesan.



No comments: